Followers

Friday 14 August 2015

Cerpen: Seindah Lebaran

JAMILAH merengus keras. Mencerun matanya memandang dua orang manusia di depannya. “Sampai hati Dir ingkar arahan mak!” Keras nada suaranya memarahi anak sulungnya, Khidir.
            “Maafkan Dir, mak... Dir bukan nak ingkar arahan mak tapi Dir sayangkan An. Dir tak boleh nak ikut arahan mak supaya berpisah dengan dia.” Khidir menggenggam kemas tangan Raihan di sebelahnya. “Lagipun mak jugak yang nak sangat menantu, kan... sekarang Dir dah bawakkan menantu untuk mak.”
            Membara hati Jamilah mendengarnya. “Memang mak nak menantu tapi mak tak nak dia yang jadi menantu mak!” Jari telunjuk dituding ke arah Raihan yang sedari tadi menunduk. “Apa, kurang sangat ke perempuan Melayu kat kampung ni sampai anak Cina mana entah yang kamu ambil jadi bini kamu?!”
“Memang Raihan anak orang Cina tapi dari kecik dia dibesarkan oleh orang Melayu. Dia dah lama kenal Islam la, mak.”
            “Aku tak peduli dia dibesarkan oleh orang Melayu ke apa yang penting dia tetap Cina! Lahir dari keturunan Cina!” Makin meninggi suara Jamilah. Dia kecewa dengan anak lelakinya yang sanggup berkahwin tanpa restunya. Lagi dia bertambah kecewa apabila Raihan yang menjadi pilihan Khidir.
            Khidir berdiri. “Apa masalahnya kalau dia lahir dari keturunan Cina? Dia pun manusia jugak macam kita. Darah dalam badan dia pun merah, bukannya hijau atau kuning!”
            “Abang...” Raihan memegang tangan suaminya. Kepalanya digelengkan, tak mahu suaminya meninggikan suara pada wanita yang telah melahirkan suaminya.
Khidir duduk kembali. Wajahnya diraup lantas melepaskan keluhan lemah.
            “Kau tengok! Anak aku tak pernah tinggikan suara pada aku. Bila dia kahwin dengan kau, dia dah pandai kurang ajar. Langsung tak hormat aku sebagai ibu dia!” Mencerun mata Jamilah memandang Raihan.
            “An minta maaf, mak... An...”
            “Siapa mak kau?! Jangan berani-berani panggil aku mak ya! Aku tak sudi nak terima kau sebagai menantu aku! Huh!” pintas Jamilah tanpa sempat Raihan menghabiskan ayatnya.
            Raihan menunduk.
            “Ooo... kalau Saliza yang jadi menantu mak, mak sukalah ya?”
            “Memang aku suka! Dari dulu lagi aku suka dia. Dia tu baik, pandai hormat orang tua dan yang paling penting, orang MELAYU!” Sengaja dia menekankan perkataan Melayu. “Kalau kamu tak tolak lamaran dia dulu, mesti dia takkan lari dari kampung ni. Kamu ingat senang ke seorang perempuan nak melamar lelaki? Liza tu sanggup tebalkan muka dia datang melamar kamu sebab dia cinta sangat kat kamu tapi kamu pulak...” Dia mengeluh mengenangkan wajah sedih Saliza. “Heiii... entah jampi apa yang perempuan tu guna sampai kamu tergila-gila kat dia!”
            “Liza tu mak kata baik? Heh, depan mak je dia berlakon baik, suci tapi belakang-belakang buat kerja tak senonoh sampai buntingkan anak haram. Mak dia hantar ke universiti suruh belajar tapi lain yang dia buat. Perempuan macam tu ke yang mak nak suruh jadi bini Dir? Nak suruh Dir jadi pak sanggup?”
            Jamilah tak percaya. Tak mungkin gadis pilihannya berperangai begitu. “Kamu jangan nak buat ceritalah, Dir. Jangan sebab aku tak nak terima perempuan tu kau fitnah Liza. Dia tak macam yang kamu kata. Kalau betul dia mengandung, mesti dah heboh satu kampung.”
            “Terpulanglah mak nak percaya atau tak. Dir pun tak suka nak buka aib orang, bukan dapat apa pun.” Lama Khidir memandang wajah menyinga Jamilah sebelum dia bangun berlutut di depan wanita itu. Kedua-dua belah tangan emaknya dipegang. “Mak... Dir merayu sangat pada mak. Tolonglah terima perkahwinan Dir ni. Cuma An je yang Dir mahu untuk menjadi pendamping Dir. Tanpa dia, hidup Dir tak sempurna. Tanpa restu mak, masjid yang Dir bina nampak sumbing. Cacat!”
            Jamilah tersenyum sinis. “Heh, pandai kamu bercakap kan, Dir. Lain kali fikir dulu sebelum kamu bernikah dengan perempuan tu. Kamu tahu aku ni macam mana kan... kalau aku tak suka, sampai bila-bila pun aku takkan suka!” Dia berjeda. “Aku nak kamu ceraikan dia sekarang jugak! Aku tak nak tengok dia jadi menantu aku. Lepas ceraikan dia, aku nak kamu cari Liza dan kahwin dengan dia. Hanya dia je yang layak jadi menantu aku.”
            Terlepas pegangan tangan Khidir. Dia menoleh sekilas pada Raihan yang turut terkejut dengan permintaan itu. “Sampai hati mak suruh Dir buat perkara yang dibenci Allah...” Sayu suaranya.
            “Kamu pun sampai hati kahwin dengan anak Cina tu tanpa pengetahuan aku!” balas Jamilah. “Dan kau, anak Cina! Macam ni ke keluarga angkat kau ajar? Sanggup kau hancurkan hati seorang ibu semata-mata nak kahwin dengan anak aku! Aku pernah suruh kau jauhkan diri dari anak aku, kan? Tapi ini yang aku terima.” Anak matanya ditujah ke wajah Raihan yang sudah teresak-esak. Meluat dia melihatnya. “Kau ingat bila kau jadi menantu aku, aku akan terima kau ke, perempuan? Jangan mimpilah!”
            “An tak salah, mak. Dir yang ajak dia kahwin. Mulanya memang dia nak berpisah dengan Dir tapi Dir yang pujuk dia supaya terima Dir. Kami dah dapat restu keluarga angkat dia sebelum kami bernikah. Dir takkan sesekali ceraikan An!” Tegas Khidir bersuara.
            Jamilah mengetap gigi. “Baik! Kalau kamu tak nak ceraikan dia, kamu keluar dari rumah ni! Aku tak ada anak yang bernama Ahmad Khidir lagi! Keluar sekarang!” Jamilah menolak badan Khidir yang masih melutut di depannya.
            “Mak... janganlah buat macam ni. Mak tak kesian kat Abang Dir ke? Janganlah halau abang, mak...” Syakilla yang sedari tadi menjadi pemerhati mula bersuara.
Jamilah menjeling anak bongsunya. “Kalau kamu tak nak kena halau macam abang kamu ni, baik kamu duduk diam, Killa! Kamu tu baru enam belas tahun, jangan masuk campur urusan aku! Sekolah pun aku yang tanggung tau, bukan abang kamu ni!”
“Puan... kalau puan tak sukakan saya pun tak apa, saya reda. Tapi tolong jangan buang abang. Abang satu-satunya anak lelaki puan.” Tersedu-sedan suara Raihan. “Kalau puan nak abang ceraikan saya, saya terima demi membahagiakan hati puan,” sambungnya lagi. Wajahnya jelas menunjukkan yang dia terpaksa.
             “Apa yang An cakap ni? Abang takkan sesekali ceraikan An la!” Khidir tak senang dengan kata-kata isteri yang baru sehari dinikahi. Dia bangun dan duduk di sebelah Raihan.
            “Tapi, bang... An tak nak abang hilang keluarga. Abang ikutlah cakap puan. Isteri boleh dicari, bang tapi emak hanya satu...” pujuk Raihan.
            Jamilah tersenyum sinis melihat drama di depannya. Sikit pun dia tak rasa terharu tapi dia terasa semakin meluat melihat air mata Raihan yang dirasakan seperti air mata palsu. “Kamu dengar tu, Dir. Isteri kamu pun dah setuju untuk dilepaskan. Apa lagi yang kamu tunggu?”
            “Tak! Dir takkan ceraikan An. Dir kahwin dengan dia bukan untuk diceraikan!”
            Senyuman di bibir Jamilah mati. Dia mengetap gigi menahan geram.
            “Abang, dengarlah cakap mak abang. Takkan abang sanggup kehilangan ibu? Berdosa, bang kalau seorang anak menghancurkan hati ibu. Abang lepaskan An ya?” rayu Raihan dengan air mata yang makin lebat membasahi pipinya.
            “Tak! Keputusan abang muktamat. Walau apa pun terjadi, abang takkan dan tak mungkin  lepaskan An. An tahu kan susah payah abang cuba yakinkan abah dan ibu An... abang dah janji dengan dia orang yang abang akan jaga dan tak akan sia-siakan An. Tolong jangan minta abang lepaskan An.” Khidir mengesat air mata di pipi isterinya. Kemudian dahi isterinya dikucup tanpa menghiraukan pandangan berapi Jamilah.
            “Tapi, bang... puan tak suka kita bersama. Keredaan Allah terletak pada keredaan ibu dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu, bang... macam mana kalau kita tak bahagia? Puan tak restu pun hubungan kita. Syurga seorang anak terletak pada telapak kaki ibu. An tak nak abang jadi anak derhaka.”
            “An, dengar sini... tak jatuh berdosa pun kalau abang tak ikut permintaan mak. Tak ada sebab untuk abang lepaskan An. An masih lagi ikut semua ajaran Islam. An tahu kan, bergegar tiang Arasy bila seorang isteri meminta dirinya dilepaskan? Abang tak nak dengar An sebut lagi pasal benda tu. Kalau mak benci An bermakna mak turut membenci abang. Jom kita balik KL, kat sini dah tak ada apa-apa lagi untuk kita.” Khidir menarik tangan Raihan agar mengikutnya.
            “Tapi, bang...”
            Khidir memandang Raihan yang masih belum berdiri. “Syurga seorang isteri terletak di bawah telapak kaki suami kan, Nur Raihan... dengar cakap abang, kita bina hidup baru kat KL. Insya-Allah, abang akan cuba jadikan keluarga kita keluarga yang bahagia biarpun tanpa restu mak.”
            Raihan bangun. Dia akur dengan kata-kata suaminya.
            “Abang... janganlah pergi...” Syakilla menarik lengan Khidir yang sudah hampir ke pintu keluar.
            Khidir berpaling. Rambut adiknya diusap. “Killa jaga mak baik-baik, belajar rajin-rajin. Nanti bulan-bulan abang akan masukkan duit kat dalam akaun Killa.”
            “Tak payah susah-susah nak masukkan duit dalam akaun anak aku. Aku tak hadap dengan duit kamu! Duit pencen arwah suami aku pun cukup untuk sara kami dua beranak. Kamu pahatkan betul-betul kat ingatan kamu apa yang akan aku cakap ni, Ahmad Khidir... jangan sesekali kamu jejakkan kaki kat rumah ni lagi! Sekali aku benci, sampai bila-bila pun aku tak akan terima!” Jamilah memberi amaran. “Killa, tutup pintu tu!”
            “Mak...”
            Jamilah tersentak. Hilang terus kenangan tujuh tahun dulu. Dia berpaling melihat Syakilla di belakangnya.
            “Mak menungkan apa tu?” Syakilla duduk di tangga di sebelah emaknya sambil memandang ke laman rumah. Cuaca petang itu mendung, semendung wajah emaknya.
            Jamilah tak menjawab. Matanya kembali menyorot ke arah jalan raya yang lenggang.
            “Mak rindukan Abang Dir eh?”
            Tiba-tiba saja air mata Jamilah tumpah apabila mendengar nama Khidir disebut.
            Syakilla kaget. Bahu emaknya dipeluk. “Mak, kenapa mak nangis ni? Mak rindukan Abang Dir ke?” tanyanya lagi sambil mengesat air mata di pipi emaknya.
            Jamilah masih lagi tak bersuara. Tangisannya mula berubah rentak. Sebelah tangan menekup ke muka. Khidir... anak yang selalu menyenangkan hatinya tapi kerana seorang perempuan, sikap anaknya terus berubah. Langsung tak mahu mendengar katanya.
            “Killa telefon Abang Dir eh, mak?” Syakilla bangun mahu mendapatkan telefon rumah namun lengannya dipegang.
            “Tak payahlah telefon dia,” halang Jamilah tanpa memandang wajah Syakilla.
            “Kenapa, mak?” Syakilla melabuhkan duduk di sebelah Jamilah semula.
            “Tak payah telefon dia!” Air mata Jamilah kesat dengan lengan baju kurung Kedah.
            “Tapi kenapa? Bukan mak rindu kat Abang Dir ke?” Syakilla tak berpuas hati selagi Jamilah tak menjawab soalannya.
            “Biarlah dia. Mak tak nak ganggu dia. Lagipun mak tak rindukan dia pun!” Tegas Jamilah menjawab.
            “Tapi tadi mak...”
            “Sudahlah, Killa... mak tak nak dengar apa-apa lagi. Kalau mak kata tak tu, maknanya taklah!” bohong Jamilah. Memang dia rindu sangat dengan Khidir tapi dia berasa malu mahu mengaku setelah apa yang telah dia buat pada anaknya tujuh tahun dulu. “Dah, jom ke dapur tolong mak masak lauk berbuka.” Dia bangkit meninggalkan Syakilla.
            Syakilla mengeluh dengan keegoan emaknya. “Mak dengan abang sama je. Sama-sama degil!” Dia menggeleng kepala.
*****
SYAKILLA mengunci pintu rumah sebaik pulang dari terawih. Telekung di kepala dicabut lantas disidai di penyidai di biliknya. Telefon pintar di meja solek dicapai lantas menghubungi seseorang. Dia duduk di atas katil sementara menanti panggilannya bersambut.
            “Assalamualaikum...” Kedengaran suara seorang wanita menyambut panggilan itu.
            “Waalaikumussalam, Kak An. Abang Dir ada?”
            “Abang Dir ada kat luar, tengah layan Dinie main bunga api. Nak cakap dengan abang ke? Kejap eh, akak bagi phone ni kat dia.”
            “Eh tak apalah, kak... biarlah Abang Dir layan Dinie. Killa cakap dengan akak je.
            “Ada apa-apa yang berlaku pada puan ke, Killa?” tanya Raihan risau.
            Syakilla mengeluh mendengar panggilan nama yang disebut oleh Raihan untuk emaknya. “Sampai bila akak nak panggil mak puan? Akak tak teringin ke nak tukar panggilan puan tu kepada mak?” Setiap kali dia singgah ke rumah abangnya, panggilan puan masih tak lekang dari bibir kakak iparnya.
            “Memang akak teringin sangat nak ubah panggilan tu tapi selagi tak dapat keizinan puan, akak tak akan sesekali mengubahnya.”
            Syakilla menggaru kening, pening memikirkan pendirian kakak iparnya. “Tapi mak bukannya tahu pun akak tukar nama panggilan tu. Rasa lain macam je telinga Killa ni dengar akak panggil mak puan. Rasa macam bukan bercakap dengan menantu mak je,” sungutnya.
            “Selagi puan tak restu akak sebagai menantu, selagi itu akak akan panggil dia puan. Lagipun akak memang bukan menantu pilihan puan, kan... akak tak akan berhenti berdoa pada Allah agar bukakan pintu hati puan untuk terima akak sebagai menantu.”
            Sebak hati Syakillla mendengarnya. Dia tak tahu kenapa emaknya begitu membenci Raihan. Pada pandangan matanya, tiada apa yang kurang pada diri kakak iparnya itu. Selama dia tinggal di rumah abangnya, tak pernah dia melihat Raihan mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam, isteri dan ibu walaupun sibuk menyiapkan baju yang ditempah oleh jiran. Ada ketikanya dia terdengar kakak iparnya mengaji. Lancar saja sebutannya.
            “Puan sihat ke, Killa?”
            Suara Raihan mengembalikan Syakilla dari lamunan. “Erk... apa dia, kak?”
            “Puan sihat ke?” Raihan mengulang soalan.
            “Mak sihat, cuma...” Syakilla senyap seketika apabila Jamilah melintasi biliknya yang tak bertutup. Dia bangun dan menutup pintu bilik, tak mahu perbualannya ditangkap. Tambahan pula petang tadi emaknya melarangnya menghubungi Khidir.
            “Cuma apa, Killa?” tanya Raihan tak sabar. Nadanya sedikit cemas.
            “Tadi mak menangis...” beritahu Syakilla dengan nada perlahan.
            “Kenapa puan nangis?”
            “Entahlah, kak. Killa rasa mak rindukan Abang Dir kot. Bila tanya, mak tak nak jawab. Bila Killa sebut nama abang, makin teruk mak nangis.”
            Kedua-duanya diam seketika. Yang kedengaran hanya bunyi cicak dan cangkerik.
            “Kak... Killa nak minta tolong boleh?” Syakilla kembali bersuara.
            “Tolong apa, Killa?” Suara Raihan kedengan serak. Mungkin sebak mendengar apa yang diberitahu oleh Syakilla tadi.
            “Boleh tak akak tolong pujuk Abang Dir? Akak ajaklah abang balik kampung. Dah tujuh tahun abang tinggalkan kampung. Manalah tahu hati mak dah sejuk dah boleh terima Abang Dir dengan Kak An balik ke...” Syakilla yakin yang emaknya sudah dapat menerima abang dan kakak iparnya. Tujuh tahun lalu jika dia menyebut saja nama abangnya, emaknya pasti akan melenting.
            Raihan mengeluh. “Kenapa bukan Killa sendiri yang pujuk abang?”
            “Akak bukannya tak tahu abang tu sama degil macam mak. Kalau Killa yang pujuk, gerenti tak jalan punya.” Syakilla mengubah posisi telefon pintar ke telinga kiri. Kemudian dia bangun membuka tingkap membiarkan angin malam menerobos masuk ke dalam bilik.
            “Nanti akak cuba. Mudah-mudahan hati Abang Dir lembut la. Killa bila balik KL?” Raihan mengubah soalan.
            “Lusa, kak. Ingat nak tidur semalam kat rumah sana sebelum balik kolej.”
            “Eh, datanglah. Pintu rumah ni sentiasa terbuka. Killa... ukuran badan puan masih sama lagi ke?”
            “Haah, masih sama lagi. Tak ada bertambah dan tak ada berkurang. Akak nak buatkan baju untuk mak lagi ke?” Sejak Syakilla mendapat tawaran belajar di universiti, tiap tahun hari raya aidilfitri pasti ada saja baju raya untuk emaknya.
            “Haah. Ukuran baju puan yang Killa bagi dulu tu akak masih simpan lagi. Tapi jangan risau, untuk Killa pun akak akan buatkan.”
            “Thanks, Kak An... ni yang sayang akak lebih ni. Untunglah dapat kakak ipar pandai jahit. Tapi macam biasa eh, kak... Killa punya baju tak nak letak span. Lagi satu, tahun ni ingat nak suruh Kak An buatkan mini kurung. Nanti Killa WhatsApp design kat nombor akak.”
            “Okey... boleh je.
            “Raya tahun lepas mak puji lagi baju tu. Mak kata cantik, jahitan kemas dan selesa bila pakai.”
            “Killa jangan bagitau puan eh. Kalau puan tahu, mesti dia tak nak pakai baju tu. Yalah, akak ni bukan menantu pilihan puan. Hanya ini je cara yang akak boleh buat untuk menjalankan tanggungjawab sebagai menantu.” Sayu suara Raihan.
            “Killa akan cakap macam tahun dulu yang Killa beli kain untuk mak dan suruh kawan punya mak yang jahitkan.”
            “Abang Dir dah masuk bilik ni. Killa cakap dengan dia ya.”
            Syakilla kembali duduk di atas katil sambil menunggu telefon bertukar tangan.
            “Assalamualaikum, Killa...”
            “Waalaikumussalam, Abang Dir...” jawab Syakilla sebaik saja Khidir memberi salam. “Dah habis layan Dinie main bunga api ke?”
            “Dah. Penat betul melayan budak kecik tu. Balik je dari terawih tadi dah ajak main bunga api. Bila bunga api dah habis, disuruhnya abang beli lagi. Bila abang cakap esok je beli, terus dia merengek. Nasib baik kedai kat hujung rumah tu bukak lagi, kalau tutup terpaksalah dengar suara nyaring dia.” Ceria nada suara Khidir bercerita.
            Syakilla tersenyum. Senang dia melihat abangnya bahagia. “Budak-budak, bang... biasalah tu. Dah besar dah Dinie tu kan? Dah enam tahun pun. Sekejap je masa berlalu.”
            “Duit ada lagi tak, Killa? Kalau tak ada, nanti abang bank in.
            “Abang Dir ni bila Killa call je tanya pasal duit. Bila Abang Dir call je tanya pasal duit. Tak ada benda lain ke nak tanya?” Syakilla merungut.
            “Hai, tanya pun salah ke? Manalah tahu kot-kot duit Killa tak cukup ke...”
            “Duit Killa cukuplah, bang. Duit yang abang kasi tu pun ada lagi.”
            “Kalau tak cukup jangan lupa bagitahu abang tau.”
            “Baiklah, Abang Dir... Abang, lusa nanti Killa nak tidur rumah abang. Nanti abang tolong ambil Killa eh...”
            “Boleh je... dekat TBS, kan?”
            “Taklah, kat rumah mak...” Sengaja Syakilla menguji abangnya.
            Talian senyap seketika. Tiada balasan dari Khidir.
            Ni betul-betul terasa hati ni sampai aku sebut rumah mak je terus Abang Dir senyap. “Abang ni, mestilah kat TBS. Dah tahu lagi mahu tanya!” Syakilla bersuara memecahkan kesenyapan Khidir.
            “Nanti dah nak dekat sampai TBS call abang.” Suara Khidir sudah tak seceria tadi.
            “Baikkk....” Syakilla angkat tabik. Padahal Khidir bukannya boleh nampak pun. “Abang nak tahu, Kak Liza dah balik kampung tahun lepas. Dia balik bawak seorang budak lelaki. Tua setahun dari Dinie tau. Dia cerita kat mak, budak tu anak angkat dia. Mak budak tu meninggal dan suruh dia jaga budak tu. Mak pulak boleh percaya bulat-bulat cerita dia.”
“Biarlah dia. Lantaklah dia nak tipu ke apa. Dia tak ada kena mengena dengan hidup abang. Tak penting pun.”
Hmmm... okeylah, bang... nanti peluk cium Dinie untuk Killa eh. Rindu kat anak buah Killa tu. Assalamualaikum, bang.”
            “Yalah, waalaikumussalam. Lusa nanti bolehlah jumpa Si Dinie tu. Dia asyik sebut nama mak su dia je.
*****
RAIHAN menarik selimut hingga ke paras dada Dinie. Rambut anaknya dielus perlahan. “Dinie suka tak kalau dapat balik kampung?” tanyanya.
            “Kita ada kampung ke, mama?” Mata Dinie yang mengantuk mula segar.
            “Ada... dekat Alor Gajah, Melaka.
Mata Dinie terbeliak. “Haaa... kat situ ada gajah ke?”
Raihan ketawa. “Mana ada gajah, tu cuma nama tempat jelah. Dinie suka tak kalau dapat jumpa opah?
            “Opah tu siapa?” Dinie mengerut dahi.
            “Opah tu mak baba. Dinie nak tengok dia tak?”
            “Kenapa opah tak pernah datang sini tengok Dinie?”
            Raihan kematian kata. Dia tak tahu hendak memberi jawapan apa. Seboleh-bolehnya dia tak mahu menceritakan perkara sebenar kepada Dinie yang masih kecil dan tak tahu apa-apa. “Erk... opah bukannya tak nak datang sini. Kalau dia datang sini, siapa nak jaga ayam-ayam dia kat kampung tu?”
            “Bawaklah sekali ayam-ayam tu kat sini.” Dinie memeluk erat anak patung di sisinya.
            “Kalau bawak kat sini, mana ada reban nak letak ayam-ayam tu...” Tenang Raihan menjawab.
            “Peti ais ada... letak jelah dalam peti ais,” jawab Dinie polos.
            “Ya Allah budak ni!” Raihan mencubit pipi montel Dinie. Tak dapat dia membayangkan ayam yang masih hidup diletakkan di dalam peti ais. “Ayam yang hidup mana boleh letak dalam peti ais, matilah dia nanti.”
            “Kalau ayam tu mati mama masaklah sup. Dinie suka makan sup ayam yang mama masak. Sedap!” Dinie menaikkan ibu jarinya.
            Tergeleg-geleng kepala Raihan. “Dinie, ayam yang dah mati macam tu dipanggil bangkai tau. Haram bagi orang Islam makan bangkai. Makanan haram ni akan menimbulkan mudarat dalam diri kita. Kat akhirat nanti akan dicuci dengan api neraka.” Dia berjeda. “Kalau kita nak makan ayam, kita kena sembelih dulu ayam tu hidup-hudup. Kalau kita letak ayam yang masih hidup kat dalam peti ais dengan sengaja, tu namanya menyeksa haiwan. Berdosa seksa haiwan macam tu. Allah tak suka.”
            “Tapi kalau kita makan ayam tu bukan menyeksa haiwan jugak ke, mama? Allah tak marah ke?” Dinie kembali mengerut dahi.
            “Allah tak marah, sayang... ayam tu merupakan makanan harian kita dan memberi tenaga pada tubuh badan kita. Hanya ayam yang disembelih je yang halal dimakan. Dinie nak masuk neraka ke makan ayam yang tak disembelih?”
            Dinie menggeleng kepala laju. “Tak naklah, mama. Takut...” jawabnya pantas.
            Raihan senyum. “Dinie nak balik kampung jumpa opah tak?”
            “Nak! Bila kita nak balik kampung, mama? Tak sabar nak main dengan ayam.” Wajah Dinie sudah berseri-seri.
            “Nanti mama tanya baba dulu. Kalau baba kata okey, baru boleh beraya kat kampung. Dah, sekarang Dinie tidur.” Raihan membetulkan kembali selimut di badan Dinie lantas menepuk perlahan tubuh kecil itu. Apabila melihat anaknya sudah lena, dia mengucup dahi anaknya dan melangkah keluar dari bilik.
            “Dinie dah tidur?” tanya Khidir sebaik saja Raihan melabuhkan duduk di sebelahnya.
            “Dah...” jawab Raihan sepatah. Lama dia memandang Khidir yang leka membaca. “Abang...”
            “Hmmm...” sahut Khidir tanpa mengalihkan pandangan dari buku di tangan.
            “Killa ada cakap apa-apa kat abang tak?” Manalah tahu kalau-kalau Syakilla sudah memberitahu suaminya. Melihat reaksi suaminya yang tenang, sudah terjawab persoalan yang timbul dibenaknya. Tapi dia masih mahu bertanya, mahu mendengar sendiri jawapan yang keluar dari mulut suaminya.
            “Cakap apa?” Khidir memandang Raihan. Buku di tangan sudah diletakkan di meja lampu. Tangan isterinya digenggam.
            “Pasal puan...”
            Air muka Khidir berubah. Pegangan tangannya mula longgar. Hanya seorang saja yang isterinya panggil begitu. Tak lain dan tak bukan, emak kandungnya. Sudah lama dia tak mendengar nama itu keluar dari bibir isterinya. Dadanya terasa ngilu apabila mengenang kembali herdikan emaknya.
            “Abang...” Raihan memegang tangan suaminya. “Tahun ni kita beraya kat kampung abang ya?”
            Khidir menggeleng kepala. “Kita akan beraya kat KL. Kat rumah ibu dan abah sayang.”
            “Tapi puan rindukan abang. Lagipun, abang dah lama tak balik kampung.”
            “Mana sayang tahu? Sayang tak ingat ke mak dah halau kita? Mak dah buang abang dari hidup dia!” Mata Khidir sudah mencerun.
            “Killa cakap puan nangis petang tadi. An tahu yang dia rindukan abang.”
“Tak semestinya mak rindukan abang. Mungkin mak rindukan arwah ayah ke...”
“Betul, bang... Killa cakap bila dia sebut nama abang, puan terus nangis.”
“Tak mungkinlah. Abang kenal sangat dengan mak abang tu. Kalau dia dah marahkan seseorang, sampai bila-bila pun dia takkan maafkan. Abang ingat lagi masa abang cuti sem dulu, arwah Mak Jemah serang mak kat rumah. Dia tuduh mak bomohkan laki dia sampai laki dia tu tergila-gila kat mak. Masa tu baru sebulan arwah ayah meninggal. Sampai arwah Mak Jemah meninggal pun mak tak maafkan dia. Lepas tu mak langsung tak datang melawat masa arwah tengah nazak.”
“Tapi abang tak sama dengan arwah Mak Jemah tu. Abang anak kandung dia. Seorang ibu tak akan pernah membenci anak yang dia sendiri lahirkan dengan susah payah. Kalaupun dia marah, dia takkan marah lama-lama. Mesti sekarang hati puan dah sejuk. Nak dekat raya nanti kita balik kampung ya, bang? Kesian kat puan.”
            “Kat diri sendiri sayang tak kesian ke? Kan dulu mak maki sayang. Tak ingat ke?” Sedikit meninggi suaranya.
            Raihan senyum hambar. “An ingat, bang. An tak pernah lupa apa yang puan cakap. Tapi An tak berdendam dengan puan sebab dendam tak boleh dibawak ke mana-mana. Lagipun, dia ibu mentua An. Walaupun dia tak terima An sebagai menantu, An masih menghormati dia sebagai ibu yang telah melahirkan abang. Kalau tak ada puan, mesti jodoh An bukan dengan abang.”
            Terharu Khidir mendengar jawapan Raihan. Ternyata dia tak salah memilih pasangan hidup. Isterinya benar-benar seorang yang berhati mulia.
            “An tahu jauh di sudut hati, abang jugak rindukan puan. An pernah nampak abang peluk gambar puan kat bilik kerja.”
            Wajah Khidir berubah. Dia tak menyangka perbuatannya pernah dilihat oleh isterinya.
            “Semua ni berpunca dari An. Kenapalah An terima lamaran abang? Kenapalah An sanggup lukakan hati seorang ibu? An nampak muka kecewa puan bila dapat tahu kita dah bernikah. Mesti dalam luka kat hati dia tu. Kalaulah kita tak kahwin dulu, mesti puan takkan buang abang.” Dada Raihan terasa sebak. Perlahan-lahan air mata menuruni pipinya dan wajahnya ditundukkan.
            Khidir terkejut mendengar kata-kata yang keluar dari mulut isterinya. Dia mengangkat dagu isterinya agar memandangnya. “Sayang menyesal ke kahwin dengan abang?”  tanyanya keras. Baru tadi dia rasa terharu dengan kemuliaan hati isterinya, kini isterinya meluahkan kata-kata yang mencucuk tangkai hatinya pula.
            Raihan diam. Tangisannya masih berlagu.
            “Sayang, jodoh setiap manusia semuanya ditentukan oleh Allah. Sayang percayakan takdir Allah, kan?” Nada Khidir kembali lembut.
            Raihan mengangguk.
            “Kalau sayang percaya, kenapa perlu ada rasa menyesal?”
            “Sebab puan bu... buang abang kerana An. An dah han... hancurkan hati mak ab... abang...” jawab Raihan tersedu-sedan.
            “Kalau dah tertulis kat sana yang jodoh abang dengan sayang, buatlah macam mana pun jodoh abang tetap jugak dengan sayang. Abang tak nak dengar lagi sayang salahkan diri sendiri. Semua ni bukan salah sayang. Dah takdir kita macam ni.” Khidir menarik Raihan ke dalam pelukan. “Walaupun tak dapat restu dari mak abang, kita masih ada restu ibu dan abah sayang, kan?”
            Raihan mengangguk lantas membalas pelukan suaminya. “Kalau An minta abang buat sesuatu boleh?”
            Khidir merungkaikan pelukan. Air mata di pipi Raihan dikesat dengan ibu jari. “Isteri abang ni nak suruh abang buat apa? Masak untuk sahur esok ke? Boleh je... abang memang pandai masak!” Nada suaranya diceriakan.
            “Kalau suruh abang masak, alamat makan lauk lori garam terbaliklah nanti.” Raihan tergelak. Dia ingat lagi ketika dia sibuk menjahit, Khidir menawarkan diri untuk memasak lauk makan malam. Apabila tiba waktu makan malam, masing-masing tak boleh menelan kerana lauk sambal ayam yang dimasak oleh Khidir terlalu pedas dan masin. Sudahnya makan di kedai saja.
            “Amboi, perli nampak!” Membulat mata Khidir. “Habis tu sayang nak suruh abang buat apa, hmmm?
            Raihan menarik nafasnya perlahan. “An nak abang telefon puan...” pintanya dengan pandangan mengharap.
            “Nur Raihan... kan abang dah cakap yang mak tak...”
            “Takkan maafkan abang?” sambung Raihan.
            Khidir mengeluh keras.
“Percayalah, bang. An dapat rasakan yang puan dah maafkan abang. An jugak seorang ibu.” Raihan meletakkan tangan ke dada. “An tahu macam mana rasanya perasaan seorang ibu yang sangat merindui anaknya. Kalau abang tak nak balik kampung, abang telefon puan pun dah cukup. Puan mesti gembira dapat dengar suara abang. Please, bang... hanya ni je yang An minta.” Dia menyentuh pipi Khidir.
            Khidir menolak perlahan tangan Raihan. Dia buntu dengan permintaan isterinya. Wajahnya diraup perlahan lantas mengeluh kuat. “Keputusan abang muktamat! Seperti permintaan mak dulu, abang takkan sesekali jejakkan kaki ke kampung. An pun tahu abang ni bukan jenis yang suka mungkir janji, kan? Dan maaf... abang terpaksa tolak permintaan An.” Walaupun abang teringin sangat nak dengar suara mak, sambungnya di dalam hati.
            Raihan memejam mata. Dia kecewa dengan keputusan suaminya. Ya Allah, tolonglah lembutkan hati suami aku, doanya di dalam hati. Dia membuka kembali matanya. “Kalau puan sendiri yang telefon abang dan suruh abang balik kampung, abang akan balik tak?” Dia masih mahu mencuba.
            “Abang dah mengantuk, tak nak bincang pasal ni lagi.” Khidir baring membelakangi Raihan dan memejam mata. Soalan isterinya tadi cuba dibuang jauh-jauh dari ruang otaknya. Mana mungkin emaknya akan menelefonnya.
            Raihan memicit kepala. Nampaknya dia sudah gagal memujuk suaminya. “An minta maaf, bang. An tahu abang marah.” Sedih hatinya melihat Khidir tidur membelakanginya, tak seperti selalu.
            “Tak ada la, mana ada abang marah,” jawab Khidir tanpa membuka mata.
            “Kalau tak marah, kenapa tidur menghadap belah sana? An tahu abang marah sebab An paksa abang, kan? An minta maaf kalau An dah buat abang marah.” Sayu suara Raihan.
            Khidir mengeluh, kemudian dia berpusing menghadap Raihan. “Abang tak marah pun dan abang maafkan sayang. Dah, jangan sedih-sedih lagi, esok nak bangun sahur. Meh, tidur sini.” Tangan kanannya didepangkan.
            Raihan mengelap air mata dan berbaring di atas lengan Khidir. Tidurnya terasa tak aman selagi hubungan suami dan ibu mertuanya belum pulih.
*****
“JOM masuk, Killa... panas kat luar ni.” Raihan mengajak Syakilla masuk ke rumah sebaik saja kereta Khidir meninggalkan kawasan perumahan itu untuk ke tempat kerja.
            “Akak dah cuba pujuk abang ke?” tanya Syakilla sambil melabuhkan duduk di sofa. Beg pakaiannya di letakkan di tepi.
            “Dah.” Raihan mengeluh lemah.
            “Tak jalan ke?” tebak Syakilla apabila melihat wajah muram kakak iparnya.
            “Abang Killa tu keras hati sangat. Akak dah tak tahu nak tambah perasa apa untuk lembutkan hati dia.” Raihan mengeluh lagi mengenangkan peristiwa kelmarin.
            “Elsa... nanti kita nak balik kampung baba tau. Kampung baba kita kat Melaka. Mama cakap nak bawak kita jumpa opah. Mesti opah baik macam nenek kan...” Dinie menggoyangkan kepala anak patung di tangannya.
            Syakilla dan Raihan memandang Dinie yang sedang duduk di atas permaidani sambil bermain dengan anak patung Elsa.
            Sayu hati Raihan apabila melihat wajah teruja Dinie yang betul-betul berharap dapat berjumpa dengan opahnya. Maafkan mama, sayang... mama tak dapat nak tunaikan janji untuk beraya kat Melaka.
 Syakilla mengerut dahi cuba memikirkan sesuatu. Kemudian dia tersenyum. “Dinie, sini duduk kat mak su...” Dia menepuk sofa di sebelahnya. “Dinie betul-betul nak jumpa opah ke?” tanyanya sebaik saja Dinie duduk di sebelahnya.
            Dinie mengangguk laju. “Opah tu orang dia macam mana, mak su?”
            “Opah tu macam opah Upin Ipin. Baik macam opah dia orang jugak.
            Bersinar-sinar mata Dinie mendengarnya. Wajah opah drama kartun Upin dan Ipin sudah terbayang di ruang mindanya. “Opah kenal Dinie tak, mak su?”
            Syakilla menggeleng kepala.
            Raihan hanya mendengar saja perbualan dua orang itu.
            Dinie mengerut dahi. “Kenapa tak kenal pulak?” Dia menayang muka tak puas hati.
                “Kan Dinie tak pernah balik kampung, macam mana opah nak kenal Dinie.” Syakilla menggosok bahu Dinie perlahan.
            “Ooo... nanti Dinie, mama dengan baba nak balik kampung bolehlah opah kenal Dinie kan, mak su...” ujar Dinie polos.
            Syakilla menggeleng kepala. “Opah takkan dapat kenal Dinie sampai bila-bila.” Dia berpura-pura sedih.
            Dinie sudah bercekak pinggang. “Kenapa pulak?
            “Baba Dinie tak nak beraya kat kampung.”
            “Kenapa pulak baba tak nak? Mama kata mama nak ajak baba kan, mama?” Dinie mengalihkan pandangan pada Raihan.
            Raihan terkulat-kulat, tak tahu mahu menjawab apa.
            “Baba busy. Baba Dinie kan doktor... pesakit-pesakit kat hospital perlukan baba.” Syakilla bermain dengan rambut anak patung Elsa di tangan Dinie.
            “Busy? Habis tu pergi rumah atok dengan nenek tak busy pun?” Tak berkelip mata Dinie memandang Syakilla.
            “Rumah atok dekat je... rumah opah jauh sangattt...  kena naik kereta.”
            “Alaaa... tak bestlah macam tu!” Dinie menyandarkan badan sambil menyilang tangan ke dada. “Dinie nak jugak kenal dengan opah. Elsa pun nak kenal jugak, kan?” Dia menggoyangkan anak patungnya.
            “Kalau Dinie nak balik kampung, Dinie kena ikut cakap mak su. Boleh?” Syakilla menjungkit kening. Kemudian dia memandang Raihan dan mengenyit mata tanda umpannya mengena.
            Raihan senyum dan menggeleng kepala.
            “Boleh! Apa dia, mak su?” tanya Dinie tak sabar.
            Syakilla membisikkan sesuatu ke telinga Dinie. “Boleh tak?”
            Dinie mengangguk laju.
            “Dah, pergi main sana.” Dia menolak bahu Dinie supaya bermain di bawah.
            “Apa yang Killa suruh Dinie buat?”
            “Ada laaa...” Syakilla sengih.
*****
“ANAK baba buat apa tu?” Khidir melabuhkan duduk di sofa sebelah Dinie yang sedang leka dengan tablet di tangan.
            “Tengok Upin Ipin,” jawab Dinie tanpa mengangkat muka.
            Khidir mengusap rambut Dinie. Matanya turut dihala pada tablet yang memaparkan Upin dan Ipin sedang berbual dengan opah. Penat bekerja hilang apabila melihat keletah anaknya yang comel dan tembam.
            Dinie menekan butang pause pada video dan memanggung kepala memandang babanya. “Baba ada beli bunga api tak?”
            Khidir senyum mendengar pertanyaan Dinie. Anaknya ini tak habis-habis dengan bunga api. Satu hari tak bermain bunga api memang tak sah! “Ada... lepas terawih nanti kita main. Ajak mak su sekali ya...”
            “Okey...” Lebar sengihan Dinie. Tak sabar dia mahu bermain bunga api dengan baba dan mak sunya. Ketika melihat ada budak bermain mercun di masjid, dia pernah terasa ingin bermain sama tapi babanya tak bagi. Bahaya katanya. Tambahan pula banyak kes orang yang cedera kerana bermain mercun.
            “Jom pergi kat meja makan. Dah berbuka dah ni,” Ajak Khidir apabila terdengar laungan azan maghrib. Tablet di tangan Dinie diambil dan diletakkan di meja makan. Kemudian tangan anaknya ditarik ke meja makan.
            “Baba... Melaka tu rumah siapa?”
            Khidir yang sedang mengunyah buah kurma terasa mahu tercekik mendengar pertanyaan Dinie. Air bandung soda diteguk rakus.
            Raihan memandang Syakilla yang sudah mengenyit mata. Okey... dia sudah tahu ini rancangan Syakilla. Dia mula gugup apabila Khidir memandangnya dengan pandangan, mana-Dinie-tahu? Dia cepat-cepat menggeleng kepala.
            Syakilla pula buat-buat tak nampak apabila abangnya beralih memandangnya. Selamba dia menyudu lauk ke pinggan bagai orang tak bersalah.
            “Kenapa Dinie tanya?” Muka Khidir serius.
            “Tiap kali mak su cuti, mesti mak su balik Melaka. Semalam pun mak su datang dari Melaka. Kat situ rumah siapa, baba?” Paha ayam Dinie gigit sambil memandang Khidir yang menyuap nasi ke mulut.
            Lambat-lambat Khidir mengunyah. Sesuap... dua suap... tiga suap nasi disumbat ke mulut. Berat mulutnya mahu menjawab. Semalam Raihan ada menyebut pasal emaknya. Malam ini Dinie pula. Melihat wajah ingin tahu anaknya, terpaksa juga dia menjawab. “Rumah mak baba. Opah Dinie.” Bagaikan tak terkeluar suaranya.
            “Rumah opah ada tak macam rumah Upin dengan Ipin?” Dinie teruja. Sempat dia mengenyit mata pada Syakilla yang menaikkan ibu jari kiri.
            Khidir mengangguk. Nasi di pinggan digaul perlahan. Wajah tua emaknya mula terbayang. Entah berbuka apalah emaknya malam ini.
            “Baba... raya nanti kita raya kat rumah opah nak?”
            Khidir mengangkat muka memandang Dinie. Serentak dengan itu suara emaknya yang menghalaunya terngiang-ngiang di telinga. “Tak boleh, sayang... kita raya            kat rumah atok dan nenek je ya... nanti atok dengan nenek sedih pulak kalau kita tak beraya dengan dia,” lembut dia menjawab.
            “Tak nak... Dinie nak raya dengan opah jugak. Kawan-kawan kat tadika semua beraya kat kampung. Dia orang cakap...” Dinie mengerut dahi cuba mengingati apa yang diajar oleh mak sunya. “Dia orang cakap kat kampung boleh dapat banyak duit raya. Boleh tengok orang masak dodol dengan lemang. Lepas tu, raya kat kampung lagi meriah daripada kat sini. Ada baaaanyakkkk pelita!”
            “Kat sini pun boleh makan lemang dengan dodol jugak, sayang. Duit raya pun dapat. Kalau nak pelita, nanti baba boleh pasang pelita banyak-banyak kat luar rumah. Sama je...
            Dinie menghempas ayam goreng ke pinggan. “Tak sama!”
            Khidir dan Raihan terkejut.
            Syakilla pula tak berkelip mata memandang Dinie. Ini macam dah terover sangat budak Dinie ni berlakon. Rasanya aku tak ada suruh dia tinggikan suara. Dia menggaru kepala.
            “Dinie nak raya dengan opah kat kampung jugak. Tak nak kat sini. Kat sini tak best!” Nafas Dinie sudah turun naik.
            Raihan nampak wajah Khidir sudah berubah merah. Dia mahu menegur anaknya tapi Syakilla menahan. Membuat isyarat suapaya menunggu.
Mencerlung mata Khidir. “Kenapa degil sangat ni?! Kalau baba kata kita raya kat sini, kita tetap akan beraya kat sini! Dah, makan nasi tu. Depan rezeki tak baik buat perangai!”
            Dinie terasa mahu menangis apabila Khidir meninggikan suara. Tapi dia tak akan mengalah selagi tak buat babanya bersetuju untuk balik ke kampung. Tangan dicelup ke mangkuk basuh tangan, kemudian dia meninggalkan meja makan.
            “Nur Dinie Rahizar... nak ke mana tu? Habiskan nasi dulu!” Melengking suara Khidir.
            “Tak nak! Baba tak nak balik kampung... Dinie tak nak kawan baba! Baba jahat, baba marah Dinie.” Dengan suara serak Dinie menahan tangis. Pertama kali kena marah, dia memang berasa sedih. Dia berlari laju menaiki tangga.
            Khidir mengeluh. Dia menopang tangan kiri ke dahi. “An duduk makan. Biarkan dia nak merajuk ke apa.” Dia bersuara apabila Raihan mahu berdiri.
            Raihan kembali duduk. Dia risaukan Dinie yang hanya makan dua suap nasi sahaja. Tak pernah-pernah anaknya merajuk begitu. Dulu kalau anaknya merajuk, nasi tetap dihabiskan. Lagi-lagi apabila ada ayam goreng, lauk kegemaran anaknya. Memang dua pinggan akan ditambah.
            “Kecik-kecik lagi dah pandai nak mogok. Haihhhh...” Khidir menggeleng kepala.
            “Dinie tu ikut perangai Abang Dir la. Dulu masa mak tak bagi abang pergi melastik burung kat hutan dengan Abang Ejam dengan Abang Manan... bukan Abang Dir pun merajuk sampai tak nak makan ke?” Syakilla mengecilkan mata.
            Raihan tersengih mendengar cerita Syakilla. “Ya ke, Killa? Abang tak pernah cerita pun.” Sengihannya makin melebar apabila melihat wajah Khidir bertukar merah menahan malu.
            “Haah, Kak An... hari-hari mak masak lauk kegemaran abang sebab nak pujuk abang tapi langsung tak jalan. Dia tahan jugak tak nak makan. Tapi rupa-rupanya tengah-tengah malam dia pergi melantak kat dapur.”
            Tersembur ketawa Raihan.
            “Sudah... tutup cerita lama. Makan cepat, kejap lagi nak sembahyang maghrib. Tengok jam tu dah pukul berapa dah ni.” Khidir menyuap suapan terakhir. Mengenangkan kisah lama membuatkan dia rindu dengan air tangan emaknya. Mak... Dir rindu kat mak... dia menarik nafas menahan sebak.
*****
“MAMA... nak dukung. Dinie ngantuklah...” Dinie menenyeh mata yang sudah layu. Di masjid tadi sempat dia lelap sekejap sementara menanti mamanya menunaikan terawih.
            “Lagi sikit je nak sampai rumah kan... Dinie jalan sendirilah.” Raihan memimpin tangan Dinie.
            “Meh, baba dukung.” Khidir memegang bahu Dinie tapi anaknya menepis. Khidir mengeluh. Kebiasaannya jika dia berpeluang berterawih dengan isterinya di masjid, dia yang akan mendukung anaknya hingga sampai ke rumah. Tapi sejak mogok suara dengannya, Dinie langsung tak mahu bercakap dengannya. “Tadi kata mengantuk, kan... mehlah baba dukung.” Lembut dia memujuk.
            “Tak nak baba, nak mama! Nak mama!” Dinie sudah menangis. Rasa mengantuk yang amat sangat membuatkan dia cengeng.
            “Sayang dukunglah Dini. Beg tu biar abang bawak.” Khidir mengambil beg yang berisi kain telekung di tangan Raihan. Dia mengusap kepala Dinie yang sudah terlentok di bahu kiri isterinya.
            “Dinie... kejap lagi nak main bunga api dengan baba tak? Yang kelmarin kita tak main lagi sampai mak su dah balik kolej dah pun. Tak sempat nak ajak dia main. Dinie suka main bunga api, kan?” Khidir cuba memancing perhatian Dinie.
            “Tak nak! Baba marah Dinie hari tu. Baba tak nak balik kampung pun. Kawan-kawan Dinie semua cerita pasal kampung dia orang tapi Dinie tak pernah balik kampung. Dinie tak nak kawan dengan baba!” Dinie memalingkan muka ke bahu sebelah kanan.
            Raihan menggosok perlahan bahu Khidir. “Sabar ya, bang. Dinie ni budak lagi. Biasalah, suka memberontak bila tak dapat apa yang dia nak.”
            Khidir mengeluh lagi. Anaknya masih kecil untuk memahami cerita duka dia dan isterinya. Buatnya apabila dia balik ke kampung nanti emaknya tiba-tiba menghalau mereka macam mana? Kalau emaknya tak boleh menerima Raihan sebagai menantu, mesti emaknya tak boleh menerima Dinie sebagai cucu juga.
*****
SEKEJAP lagi shift kerja Khidir akan tamat. Dia berehat sebentar di bilik rehat usai menjalankan pembedahan ke atas pesakitnya. Wajahnya diraup. Duduk sendirian begitu membuatkan dia teringat kembali perbualannya dengan seorang mak cik yang dijumpai di tepi surau hospital.
            Selesai menunaikan solat zohor, Khidir terpandangkan seorang wanita tua yang lebih kurang sebaya emaknya sedang menangis di bangku tepi surau. Dia melabuhkan duduk di sebelah wanita itu. “Mak cik... kenapa menangis ni? Ada ahli keluarga mak cik dimasukkan kat hospital ni ke?”
            Wanita itu memanggung kepala. Dia teragak-agak mahu menjawab.
            “Saya doktor kat hospital ni. Nama saya Khidir. Nama mak cik siapa?” Khidir tersenyum ramah.
            “Nama mak cik Jumaah. Panggil Cik Ah je, doktor,” jawab Jumaah. “Anak lelaki Cik Ah dimasukkan kat hospital ni semalam.” Air matanya bagaikan tak mahu berhenti.
            Khidir mengangguk. “Anak Cik Ah sakit apa?”
            “Buah pinggang anak Cik Ah rosak sebab kena tikam dengan perompak malam semalam. Dia satu-satunya anak tunggal Cik Ah. Hati ibu mana yang tak sedih bila tengok anak terlantar sakit macam tu? Walaupun dia pernah buat silap pada Cik Ah tapi Cik Ah tak pernah sumpah dia. Hari-hari Cik Ah doakan kesejahteraan hidup dia dengan isteri.”
            Khidir menghulur sapu tangan apabila melihat air mata Jumaah mengalir lagi. Kata-kata wanita itu telah meningkatkan graf ingin tahunya. Teragak-agak dia mahu bertanya. “Erk... boleh saya tahu apa yang anak Cik Ah dah buat?”
            Jumaah diam. Dia kalau boleh tak mahu membuka aib anak lelakinya. Tapi disebabkan rasa sedih dan terkilan, dia terlepas cakap pada doktor muda itu.
            “Maaflah kalau saya ni nampak macam menyibuk tapi kalau Cik Ah tak nak cerita pun tak apa, saya tak paksa.” Khidir tersenyum malu.
            Lama Jumaah memandang Khidir. Rasanya tak salah dia bercerita kepada doktor muda itu. Sekurang-kurangnya segala rasa sedihnya akan berkurang. Dia menarik nafas sebelum bercerita. “Sebenarnya Cik Ah datang dari rumah orang-orang tua.”
            Khidir tersentak. Dia tak menyangka ada anak yang sanggup menghantar ibunya ke rumah kebajikan. Duduknya diselesakan untuk mendengar cerita Jumaah.
            “Anak Cik Ah hantar kat sana sebab isteri dia tak suka Cik Ah.” Jumaah menarik nafas menenangkan rasa sedih. Mulutnya sudah tercebik-cebik menahan tangis. “Katanya Cik Ah ni menyusahkan. Suruh basuh pinggan, pinggan pecah. Suruh masak lauk, dikatanya Cik Ah nak bakar rumah sebab terlupa nak tutup api. Padahal Cik Ah dah pesan kat menantu suruh tengok-tengokkan lauk kat dapur sebab Cik Ah nak solat. Tapi anak Cik Ah marah Cik Ah. Dia tak nak dengar langsung alasan Cik Ah.” Dia berjeda.
            “Satu hari tu... Cik Ah bagi makanan kat kucing kesayangan menantu tapi tiba-tiba kucing tu terlepas keluar dari sangkar. Cik Ah cuba kejar kucing tu yang keluar dari pagar rumah tapi Cik Ah terjatuh. Bila anak dengan menantu balik rumah, dia orang marah Cik Ah. Dia orang langsung tak kesian bila Cik Ah bagitahu yang Cik Ah jatuh.” Jumaah teresak.. “Hati ibu mana yang tak sedih bila tengok anak sendiri lebih risaukan isteri yang menangis sebab kucing hilang berbanding emak kandung sendiri. Cuba doktor cakap, antara emak dengan binatang peliharaan mana lagi penting?”
            Khidir tersentak apabila disoal begitu. “Emak...” Sebut saja perkataan itu membuatkan dia teringat pada emaknya. Kemudian teringat pada Raihan dan Dinie yang beria-ia mengajaknya balik ke kampung. Khabar emaknya pun dia tak tahu. Dia tak pernah bertanya pada Syakilla walaupun hatinya kuat mahu mengetahui keadaan emaknya.
 Jumaah senyum segaris. “Tapi anak Cik Ah sanggup dengar cakap isteri dia. Isteri dia suruh hantarkan si tua ni kat rumah orang-orang tua pun dia sanggup. Tak sangka baik sangat anak Cik Ah tu, doktor. Disebabkan kucing kesayangan isteri hilang, si tua ni...” Tangan kiri ditepuk-tepuk ke dada. “Si tua ni yang dah jaga dia dari kecik hingga ke besar ni pun sanggup dibuangnya. Dia kata selagi kucing tu tak balik ke rumah, selagi tu dia tak akan jemput Cik Ah balik ke rumah dia.” Dia teresak-esak lagi. “Cik Ah pernah merayu suruh dia hantar ke kampung tapi dia tak nak. Dia takut orang kampung cakap dia anak yang tak pedulikan ibu.”
            Khidir menggeleng kepala. Rasa kasihannya melimpah apabila mendengar cerita wanita itu. Dia tak menyangka dia dapat mendengar sendiri kisah anak derhaka versi realiti. Selama ini dia hanya tengok cerita di televisyen saja.
            “Semalam, sebelum keadaan dia jadi macam sekarang, dia datang jumpa Cik Ah. Masa tu Cik Ah ingatkan dia datang sebab nak jemput Cik Ah balik tapi rupanya dia suruh Cik Ah tukar nama tanah kepada nama dia.” Jumaah mengesat air mata. “Bila Cik Ah menolak, dia marah. Dia kata yang dia tak akan jenguk Cik Ah sampai bila-bila. Kalau Cik Ah mati nanti, jangan telefon dia. Sedih hati Cik Ah ni, doktor.  Pagi tadi menantu Cik Ah datang merayu supaya Cik Ah selamatkan suami dia sebab buah pinggang dia tak sepadan dengan anak Cik Ah. Dia minta maaf dengan Cik Ah, dia kata dia menyesal dengan apa yang dia pernah buat dulu.” Jumaah senyum.
            “Kalau menantu Cik Ah tak merayu pun Cik Ah akan tetap selamatkan anak Cik Ah. Dia anak Cik Ah... tak ada emak yang bencikan anaknya walaupun macam-macam yang anak dia buat.” Jumaah berjeda. “Sekarang Cik Ah tengah tunggu keputusan pemeriksaan. Cik Ah harap sangat yang buah pinggang Cik Ah sesuai dengan dia. Dia muda lagi... ada isteri yang perlu dia jaga dan mungkin kalau ada rezeki nanti akan ada anak pulak.
            Khidir kembali teringatkan emaknya.
            “Mak doktor masih hidup?” Jumaah memandang wajah keruh Khidir.
            Khidir mengangguk perlahan.
            “Jagalah emak baik-baik. Jangan guriskan hati dia. Masa emak masih hidup nilah anak-anak kena hargai dia. Emak hanya seorang, tak boleh ditukar ganti. Lagipun orang tua ni tak harapkan lebih... cukup sekadar anak-anak ingat pada dia. Kalau dia jauh, selalulah telefon dia kat kampung. Bukan sekadar masukkan duit bulan-bulan.”
            “Tapi kes saya ni lain sikit, Cik Ah. Mak saya tak restu perkahwinan saya.” Khidir mula menceritakan krisis yang menimpa keluarganya.
            “Cik Ah rasa doktor kena telefon mak doktor. Dalam tempoh tujuh tahun ni, mesti mak doktor rindukan doktor. Cik Ah pun pernah rindukan anak dan menantu Cik Ah... mesti mak doktor pun rasa benda yang sama. Tambahan pulak doktor dah ada anak, mesti dia tak sabar nak jumpa satu-satunya cucu dia.”
            Khidir mengemam bibir. “Nanti saya cuba fikirkan.” Sedikit sebanyak, kata-kata Jumaah berjaya mencuit hatinya.
            “Jangan fikir-fikir lagi, doktor. Sekarang bulan Ramadan, bulan untuk menyucikan hati dan bulan untuk bermaaf-maafan. Baliklah ke kampung. Cuba rendahkan ego. Jernihkan balik apa yang keruh. Tak salah pun doktor sebagai anak memulakan langkah. Lagi lama doktor biarkan, sampai ke sudah masalah doktor tak selesai.”
            “Dir, kau tak balik lagi ke?”
            Khidir tersentak apabila Safuan yang melangkah masuk ke bilik rehat itu menegurnya. Hilang terus sesi luahan rasa antara dia dan Jumaah yang berlegar di fikirannya tadi. Jam tangan dikerling. Waktu kerjanya sudah tamat. “Nak baliklah ni.” Dia bangun merenggangkan urat yang terasa lenguh. Dia nekad mahu menghubungi emaknya sebaik saja balik ke rumah nanti. Tak salah kalau dia mencuba.
                                                            *****
RAIHAN pelik melihat Khidir mundar-mandir di ruang tamu. Muka macam orang ada masalah pun ada! Mata pula sekejap pantang telefon pintar, sekejap menyentuh skrin telefon dan sekejap mengetuk perlahan telefon itu ke dahi. “Abang kenapa? Macam orang gelisah je. Ada yang tak kena dengan pesakit kat hospital ke?” Setahunya Khidir akan berasa sedih jika dia gagal menyelamatkan pesakitnya. Tapi ketika balik kerja petang tadi tak ada pula suaminya bercerita pasal mana-mana pesakit.
            Langkah Khidir terhenti. Terus dia memandang Raihan yang sedang berdiri di pintu masuk. Sedari tadi isterinya memerhatikan anak mereka bermain dengan anak jiran di luar rumah. “Abang nak telefon mak tapi berdebar pulak,” jawabnya jujur. Tentang kisah Jumaah tadi langsung tak diceritakan pada isterinya. Biarlah cerita itu hanya antara dia dan wanita tua itu saja. Dia menjeling jam di dinding. Baru pukul 10.30 malam.
            Raihan menoleh ke luar rumah. “Dinie, jangan main lama sangat. Kejap lagi masuk tau!”
“Okey, mama,” jawab Dinie yang sedang bermain pop!
Raihan mendapatkan suaminya dengan wajah ceria. Dia bersyukur hati suaminya telah terbuka. “Syukur alhamdulillah... abang tarik nafas dan selawat banyak-banyak, lepas tu telefon puan, ya... An nak ke dapur, minum air.
Sebaik saja kelibat Raihan hilang ke dapur, Khidir menarik nafas, berselawat di dalam hati dan menghubungi emaknya. Kemudian dia melabuhkan duduk di sofa.
“Helo, assalamualaikum...”
Mendengar suara itu membuatkan jantung Khidir berdegup laju. Liurnya ditelan berkali-kali sebelum menjawab salam. “Wa... waalaikumussalam, ma... makkk...” Tersekat-sekat suaranya. Dadanya disumbat dengan rasa sebak apabila terdengar suara tersedu-sedan di hujung talian. “Mak apa khabar?”
Talian masih lagi senyap.
“Mak marahkan Dir lagi, ya?” Makin pedih hati Khidir apabila emaknya langsung tak menjawab. Dia mengeluh. Tak apalah, maaf kalau Dir mengganggu mak. Salam ramadan, mak.”
“Dir anak mak...”
Khidir tak jadi mahu mematikan talian. Air matanya turut mengalir apabila mendengar suara serak emaknya. Selama tujuh tahun, dapat juga dia mendengar suara wanita yang paling dirindui. “Mak apa khabar? Dir rindu sangat kat mak.”
Raihan yang mencuri dengar di belakang sofa yang diduduki Khidir turut mengalirkan air mata.
“Mak sihat, Dir... mak pun rindu Dir. Kenapa Dir tak pernah telefon mak? Sibuk sangat ke kerja doktor tu sampai langsung tak balik jenguk mak?”
Khidir mengemam bibir menahan rasa sebak. “Mak yang tak bagi Dir jejakkan kaki kat kampung. Mak halau Dir, sebab tu Dir tak balik.” Dia berpaling apabila terasa ada tangan menyentuh bahunya. Dia menggenggam tangan isterinya lantas dibawa duduk di sebelahnya. Dia hanya membiarkan Raihan mengesat air matanya. Ikon loud speaker disentuh, mahu memberi isterinya mendengar sama.
“Memang dulu mak marah sangat tapi lama manalah marah seorang mak kepada anak? Dulu mak terlampau ikutkan rasa marah sampai sanggup buang anak sendiri. Tapi bila tak tengok Dir depan mata, mak rasa sunyi... rasa rindu dengan gurauan Dir. Tiap hari mak akan check telefon rumah, takut kalau telefon tak berfungsi nanti Dir tak dapat telefon mak.”
Khidir memegang dadanya yang terasa pedih. Dia menyesal sebab terlalu mengikutkan hati yang merajuk.
“Tiap petang mak akan tunggu depan pintu. Tunggu Dir balik tapi Dir tetap tak muncul. Mak tahu anak mak ni terasa hati dengan mak. Mak minta maaf ya, Dir?”
Makin sayu hati Khidir. “Mak tak salah, Dir yang salah. Kalau dari dulu Dir balik kampung jenguk mak, mesti keadaan kita takkan jadi lama macam ni.” Dia berjeda. “Tujuh tahun, mak... tujuh tahun Dir keraskan hati untuk balik ke kampung sebab Dir ingat mak betul-betul bencikan Dir dan buang Dir dari hidup mak. Tapi percayalah... tak pernah sekalipun Dir lupakan mak. Tiap hari Dir rindukan masakan dan belaian mak. Dir rindu nak bermanja dengan mak.”
“Nanti Dir balik beraya dengan mak ya, nak... nanti mak masakkan makanan kegemaran Dir.”
“Baik, mak... nanti Dir balik. Mak, Dir nak bagitahu ni. Mak dah jadi opah tau.” Suara Khidir bertukar ceria.
“Ya ke, Dir? Lelaki ke perempuan cucu mak tu? Berapa orang?”
Raihan tersenyum mendengar suara teruja emak mertuanya.
“Sorang je, mak. Perempuan... nama dia Nur Dinie Rahizar. Belum ada rezeki nak dapat yang kedua. Nanti Dir bawak Dinie jumpa mak.”
Bawaklah, Dir. Mak tak sabar nak jumpa cucu mak. Boleh bawak dia pergi bazar ramadan. Mesti muka dia comel macam Dir, kan?”
Khidir ketawa. Hilang sudah rasa sedihnya. “Muka dia iras An, mak. Kulit putih gebu, pipi tembam. Kerjanya asyik nak main bunga api je.
Jamilah di hujung talian senyap. “Erk... Dir, mak dah mengantuklah. Nanti Dir balik tau... mak tunggu Dir. Assalamualaikum...”
“Okey, mak. Waalaikumussalam.” Usai mematikan talian, Khidir memegang pipi Raihan. “Mak dah terima abang, sayang... mak dah maafkan abang... mak suruh kita beraya kat kampung.”
Raihan menggenggam erat tangan Khidir yang berada di pipinya. “Ya, bang... An dengar. Alhamdulillah abang dengan mak abang dah berbaik. An gembira sangat.” Dia senyum lebar. Malam ini bolehlah dia tidur lena.
Khidir melepaskan pegangan. “Nanti kita balik kampung ya, An... lepas ni mesti Dinie dah tak merajuk dengan abang lagi.”
Raihan mengangguk sambil memeluk Khidir. Belakang suaminya ditepuk perlahan. Jauh di sudut hati dia tetap berasa gelisah. Entah kenapa dia terasa emak mertuanya masih tak dapat menerima dia sebagai menantu. Buktinya jelas apabila emaknya terus senyap ketika suaminya menyebut namanya. Matanya dipejam rapat cuba membuang rasa sedih.
“Mama buat apa tu?”
Raihan dan Khidir cepat-cepat melonggarkan pelukan. Kedua-duanya memandang Dinie yang berdiri kaku di pintu masuk.
Meh sini, sayang...” Khidir menggamit Dinie agar duduk di tengah-tengah antara mereka namun anaknya tetap beku. Masih merajuk dengannya. “Tadi baba baru lepas bercakap dengan opah tau...” Dia cuba memancing reaksi anaknya. Ternyata wajah Dinie berubah. “Baba cakap kat opah yang kita bertiga akan beraya kat kampung!”
“Betul ke, baba?” Dinie terus mendapatkan baba dan mamanya.
Khidir mengangguk dan tersenyum. Pipi anaknya dicium. “Baba janji sebelum raya kita balik kampung. Maafkan baba sebab kecewakan Dinie.” Ubun-ubun anaknya pula dikucup.
Yeay... boleh balik kampung!” Dinie mengangkat tangannya tinggi ke atas. Kemudian dia memandang babanya. “Baba... jom main bunga api...” manja dia mengajak.
Khidir mengerut dahi. “Eh, bukan tadi dah main dengan jiran sebelah ke kat luar?”
“Tu main pop! Dinie nak main bunga api dengan baba. Main dengan baba laaagiii best!” Dinie menaikkan ibu jari ke atas.
Khidir dan Raihan tergelak.
“Kejap, baba pergi ambil kat atas.” Khidir bangun.
“Baba, nak pinjam telefon... nak bagitahu mak su yang Dinie dah menang!” Dinie mencapai telefon pintar babanya yang tersadai di sofa.
Khidir tak jadi naik tangga. Dia menoleh memandang Dinie dengan pandangan pelik. “Menang?” Berkerut-kerut dahinya.
“Mak su janji nak bagi seratus ringgit kalau Dinie berjaya pujuk baba balik kampung raya nanti. Ops!” Dinie menekup mulut apabila dia terbocorkan rahsia.
Khidir sudah bercekak pinggang. Ooo... rupanya perubahan Dinie dua tiga hari ini sebab Killa la! Dia mengetap gigi. “Kurang asam punya adik! pandai dia ajar anak buah macam ni. Siap dia nanti!”
*****
RAIHAN duduk di pangkin sambil memandang Khidir, Jamilah dan Dinie yang pergi sembahyang terawih. Semakin lama kelibat mereka hilang dari pandangan mata. Sambil memerhatikan kawasan rumah kampung pada waktu malam, fikirannya mula melayang pada peristiwa tengah hari tadi ketika mereka baru sampai ke kampung.
            Raihan keluar dari kereta dengan debaran yang menggila. Dia dapat melihat wajah terkejut Jamilah memandang Khidir di bahagian pemandu. Kemudian emak mertuanya berjalan laju mendapatkan Khidir.
            “Kenapa tak bagitahu nak balik hari ni?” Badan Khidir yang tinggi itu dipeluk.
            “Saja nak buat kejutan.” Khidir senyum dan mengelap air mata emaknya sebaik saja pelukan dilepaskan. “Mak sihat?”
            “Mak sihat. Lagi bertambah sihat bila tengok Dir balik.” Jamilah senyum lebar. “Killa pun balik hari ni tapi bas dia malam.”
            “Dia ada bagitahu Dir hari tu.” Khidir menoleh ke belakang apabila terasa hujung t-shirtnya ditarik. “Dinie, nilah mak baba.” Bahu anaknya dipeluk dan dibawa menghadap Jamilah.
            “Comelnya cucu opah. Mari dekat opah, sayang.” Jamilah menghulur tangan.
Malu-malu Dinie bersalam dengan Jamilah.
Raihan tersenyum memerhati drama jejak kasih itu. Dia kemudiannya berdiri di belakang Khidir. Kedua-dua belah tangannya terasa sejuk mahu bersalam dengan emak mentuanya. Dia dapat merasakan emak mentuanya masih tak dapat menerimanya apabila melihat Jamilah menjeling nak tak nak saja padanya.
“Umur berapa, cu?” Rambut lurus Dinie diusap lembut.
“Enam tahun. Cantiknya rumah opah. Macam rumah Upin Ipin!”
“Haaa... kalau cantik, nanti kena selalu ajak baba balik sinilah. Bukan jauh pun Melaka-Kuala Lumpur tu.” Jamilah senyum senang. “Cucu opah ni puasa tak?”
Dinie mengangguk laju. “Puasa... setengah hari.”
“Eh... kenapa tak puasa penuh satu hari?” Dahi Jamilah berkerut.
“Mama kata Dinie ni kecik lagi. Nanti dah besar baru belajar puasa penuh satu hari. Kan, mama?” Dinie menoleh mencari muka Raihan.
Raihan senyum. Dia nampak Jamilah menceber namun tangan tetap dihulur untuk bersalam. Tapi emak mentuanya hanya menyambut salamnya dengan hujung jari saja. Hatinya yang sedikit terasa cuba disadokan.
“Cikgu Dinie kan... pernah cakap kat sekolah, kalau nak bersalam kena salam betul-betul tau, opah.”
Tiga pasang mata serentak memandang Dinie.
“Opah kena salam mama macam ni.” Dinie memegang tangan Jamilah dan Raihan, kemudian disatukan. “Lepas tu mama cium tangan opah, opah pulak  peluk mama macam opah peluk baba dengan Dinie tadi.” Dia menyilang tangan ke badan sambil memerhati mama dan opahnya. “Cepatlah peluk mama, opah!”
Raihan dapat melihat wajah terpaksa Jamilah ketika menariknya ke dalam pelukan. Dadanya terasa sebak. Selama tujuh tahun dia dambakan pelukan seorang emak mentua. Hari ini kerana anaknya, akhirnya dia dapat merasakannya walaupun dalam keadaan terpaksa. Badannya sedikit bergetar cuba menahan tangis. Sengaja dia mengetatkan lagi pelukan apabila emak mentuanya mahu melepaskan pelukan.
“Tak payah nak terharu sangatlah! Aku buat semua ni sebab Dinie. Aku tak nak dia fikir aku ni jahat sangat. Dah, lepaskan aku!” bisik Jamilah keras di telinga Raihan.
Raihan mengelap sisa air mata sebelum melepaskan pelukan. Kemudian dia mengeluarkan sekotak periuk Noxxa dari boot dan dihulur pada Jamilah. “Saya ada belikan periuk untuk puan. Macam-macam boleh dimasak dengan periuk ni. Lagi satu, kalau masak apa-apa, dia cepat masak.” Wajahnya dimaniskan, cuba menunjukkan yang dia ikhlas memberi hadiah itu.
“Tak payahlah, kat rumah tu banyak dah periuk. Nanti tak muat pulak nak sumbat kat dapur tu. Kau simpan jelah kat rumah kau. Tak pun bagi ibu dengan abah kau tu. Tak payah susah-susah nak bagi aku. Nak menyemakkan lagi dapur aku tu.”
Raihan menunduk. Pedih hatinya mendengar penolakkan Jamilah. Periuk itu dibeli dengan duit hasil menjahit. Memang dia mahu menghadiahkan kepada emak mentuanya apabila Khidir kata emak mentuanya suka memasak. Untuk ibunya memang sudah lama dibelikan.
“Mak, penat-penat An belikan mak periuk tu tau. Tak baik tolak.” Khidir memujuk lembut.
“Mak tak minatlah periuk-periuk ni semua, Dir. Bukannya mak guna. Nanti kalau simpan je boleh ternak habuk kat dapur tu. Jom, cu ikut opah masuk. Kat luar ni panas. Makin bertambah panas cuaca ni bila orang suka paksa-paksa.” Jamilah menarik tangan Dinie melangkah ke rumah.
Raihan memegang tangan Khidir apabila melihat suaminya mahu menjawab lagi. “Abang kan baru berbaik dengan puan. Please jangan menjawab lagi. An tak nak puan makin benci dengan An bila abang bela An.”
“Tapi mak buat sayang terasa. Tak boleh ke mak terima je hadiah tu? Abang terkilan sangat. Abang ingatkan bila mak boleh terima abang dengan Dinie, mak akan terima sayang sebagai menantu. Tapi macam ni pulak mak layan sayang. Abang tak fahamlah dengan mak ni.” Khidir menyandar di badan kereta. Wajahnya kusut.
“An akan cuba bersabar dan hormat dia sebagai wanita yang telah melahirkan abang. Kalau abang sayang An, An nak abang biarkan je apa yang mak abang buat pada An. Anggap je abang tak nampak dan tak dengar apa-apa. An tak nak abang masuk campur. Boleh ya, bang?” Jari kelengking kanan Raihan hulur pada Khidir.
“Tapi takkan abang nak tengok je isteri abang kena marah dengan mak?” Khidir tak puas hati. Jari kelengking Raihan langsung tak disambut. “Hati abang tak cukup kuat nak tengok sayabg bersedih apatah lagi menangis. Kalau mak marahkan An sebab memang betul An yang salah, bolehlah abang diam. Tapi kalau mak sengaja nak cari salah An sebab mak tak sukakan An, itu abang tak boleh terima.”
“Tak apa, bang. An sanggup terima semuanya asalkan abang dengan puan tak bermasam muka lagi. An lagi tak sanggup tengok abang rindukan puan dari jauh dan An tak nak pisahkan abang dengan mak abang lagi. Lagipun, puan benarkan An beraya kat sini pun dah cukup bagi An. Janji dengan An yang abang takkan buat apa-apa ya?” Sekali lagi Raihan menghulurkan jari kelengking.
Khidir mengeluh kuat. Rambutnya diramas kasar.
“Demi An. Please, abang...” Dan Raihan tersenyum puas apabila Khidir dengan muka terpaksa mencangkukkan jari kelengking mereka.
“Assalamualaikum, Kak An. Buat apa duduk kat pangkin malam-malam ni?”
Menungan Raihan terbarai apabila Syakilla memberi salam. Dia senyum sebaik saja adik iparnya duduk di sebelahnya. “Waalaikumussalam. Saja akak ambil angin.”
“Mana yang lain?” Syakilah memanjangkan leher meninjau ke pintu rumah yang terbuka.
“Yang lain semua dah pergi terawih, akak pulak cuti.”  
“Macam mana drama jejak kasih tadi?” Teruja Syakilla hendak tahu.
Raihan terbayangkan wajah gembira Jamilah. “Puan gembira bila tengok Abang Dir balik. Sejak dari sampai tadi asyik tak berenggang dengan Dinie. Maklumlah cucu sulung kan...” Dia tayang senyum bahagia.
Syakilla mengerut dahi mendengar panggilan puan yang meniti di bibir Raihan. “Mak okey ke dengan Kak An?” Melihat anggukan Raihan makin menambahkan lagi rasa curiganya. “Kalau dah okey, kenapa Kak An masih panggil mak puan? Hmmm?
Erk...” Terkulat-kulat Raihan mahu memberi alasan.
“Mak tak boleh terima Kak An lagi, kan?” Syakilla menggaru dahi. Kalau Raihan hanya diam maknanya betullah sangkaannya. “Killa tak fahamlah dengan mak ni. Entah apa yang mak tak puas hati lagi dengan akak.”
Raihan senyum. Ayat Syakilla sebijik sangat dengan ayat suaminya tadi.
“Kak An ni punyalah baik, kenapa mak tak boleh terima akak sebagai menantu?” sambung Syakilla lagi.
“Tak apalah, Killa... akak okey. Akak yakin satu hari nanti puan mesti boleh terima akak. Akak kena banyak bersabar dan cuba ambil hati puan sementara akak masih ada kat kampung ni. Manalah tahu lama-lama nanti hati puan lembut ke kan...” Raihan mengusap lembut bahu Syakilla, cuba meredakan kemarahan adik iparnya. “Killa nak minum? Akak buatkan air ya?” Sengaja dia menukar topik, tak mahu adik iparnya larut dalam emosi.
“Boleh jugak, kak. Tolong buatkan Killa air sunquick mixed berries eh. Killa nak mandi dulu. Panas.” Syakilla bangun mengangkat beg namun dia tak jadi melangkah. “Lauk berbuka tadi ada lagi tak, kak? Lapar balik la pulak. Iftar tadi makan kuey teow tomyam je.” Dia menggosok perut.
“Ada... puan masak asam pedas ikan pari, sambal tempoyak udang, goreng kobis dengan ayam goreng untuk Dinie.” Pertama kali merasa air tangan emak mertua memang membangkitkan selera makannya. Masakannya sendiri memang tak boleh lawan masakan Jamilah yang sedap.
Kecur liur Syakilla mendengarnya. “Uish... semuanya lauk kegemaran Abang Dir! Habislah nanti semua makanan kegemaran Abang Dir je yang mak masak ni.”
Raihan ketawa. “Jom kita masuk dalam. Killa mandi, nanti akak panaskan lauk.”
“Terima kasih, kak.” Syakilla melangkah naik ke rumah bersama Raihan.
*****
HARI INI buat pertama kali dia memasak juadah berbuka untuk emak mentuanya. Sejak menjejakkan kaki ke kampung suaminya semalam, dia nekad mahu menjamah segala mimik muka menyampah yang dihidangkan oleh Jamilah dengan segugus kesabaran. Dia memandang lauk-pauk yang dimasaknya. Untuk langkah pertama, dia cuba memasak lauk kegemaran emak mentuanya. Kata Khidir, emak mentuanya suka makan lauk pajeri nanas tapi disebabkan suaminya termimpi-mimpi makan pajeri rambutan, maka terhasillah pajeri rambutan.
            “Hei, kan aku kata tadi tak payah masak! Kau ingat aku suka sangat ke nak merasa air tangan kau?”
            Raihan terkejut mendengar suara dingin itu. Dia menoleh memandang Jamilah yang bercekak pinggang di tangga dapur. Di belakang wanita itu berdiri seorang wanita yang dia sendiri tak kenal. “Abang Dir teringin nak makan pajeri rambutan, puan.” Tenang dia menjawab.
            Berubah muka Jamilah mendengar lauk yang disebut Raihan. Dia melangkah mendapatkan meja dan melihat lauk-pauk yang dihidangkan. Ada pajeri rambutan, kangkung goreng belacan dan ayam goreng. Pajeri rambutan itu dikacau-kacau. Sedikit sebanyak lauk itu berjaya menjentik seleranya walaupun bukan nenas yang menjadi menunya. Baru hari ini dia tahu rambutan boleh dimasak pajeri. “Mana kau belajar buat pajeri rambutan ni?” Menantunya yang berwajah lembut dipandang.
            Raihan senyum. “Malam tadi abang mimpi tengah makan lauk ni. Tu yang saya masak tu.” Dia perasan wanita di sebelah Jamilah menceber mendengar jawapannya.
            Jamilah mengerut dahi. Dir mengidam ke? Takkan la perempuan ni mengandung pulak, dia kan tengah datang bulan. Matanya beralih pada pinggan kangkung goreng belacan. “Yang kau masak kangkung kenapa? Kau nak bagi aku sakit ke? Tak tahu ke aku tak boleh makan kangkung?”
            Raihan terkebil-kebil. “Maaf, puan. Saya tak tahu puan tak boleh makan kangkung. Saya masakkan lauk lain untuk puan ya?” Dia menjeling jam. Ada satu jam setengah lagi sebelum berbuka. Pintu peti ais dibuka.
            “Tak payah! Aku boleh makan geti nara yang Liza bawak ni.”
            Ooo... dialah Liza... Baru hari ni aku dapat tengok orangnya. Raihan menilik Saliza yang berkebaya nyonya merah dengan rambut disanggul ala-ala pelakon Korea.
            “Spaghetti carbonara la, Cik La.” Saliza membetulkan sambil gelak gedik.
            “Haaa... spaghetti carbonara. Hari ni tekak aku tak selera nak makan lauk ni semua. Lagi-lagi kalau kau yang masak.” Suka hati Jamilah melihat wajah keruh Raihan. “Apa kau ingat bila kau masak lauk ni semua aku akan lembut hati terima kau jadi menantu aku? Heh, jangan harap!” Keras tapi perlahan nadanya, tak mahu Dinie yang sedang menonton televisyen dengan Zuqni, anak Saliza mendengar suara tingginya.
            “Liza hidang spaghetti ni ya, Cik La...” Saliza meletakkan bekas yang berisi spaghetti carbonara di atas meja, kemudian dia melangkah ke rak pinggan. Sengaja dia melanggar bahu Raihan yang berdiri di depan peti ais. Kemudian dia tersenyum sinis.
            Raihan memejam mata mendengar ibu mentuanya bergelak ketawa dengan Saliza. Alangkah indahnya kalau dia yang berada dalam situasi itu. Malas mahu melayan perasaan, dia mula membasuh beras.
            “Mama, nak minum...”
            Raihan yang baru selesai menghidupkan suiz periuk nasi elektrik menoleh memandang Dinie. Kemudian dia menuang air suam lantas diberikan kepada anaknya.
            “Terima kasih, mama.” Dinie meneguk laju. Lega, dahaganya hilang. Cuaca yang panas sangat membuatkan dia cepat dahaga. “Mama, nanti tolong kopekkan rambutan eh, lepas tu simpan dalam peti ais. Dinie nak makan sejuk-sejuk.” Dia buat muka comel.
            Raihan mencubit pipi gebu Dinie. “Ye... nanti mama kopekkan.”
            “Dinie, auntie ada bawak spaghetti carbonara. Nanti berbuka kita makan sama-sama ya...”
            Dinie menoleh memandang Saliza yang baru dikenali ketika terawih semalam. “Tak naklah, Dinie tak suka carbonara. Tak sedap! Nak termuntah Dinie makan. Uwekkk...
            Cepat-cepat Raihan menutup mulut Dinie apabila melihat wajah Saliza sudah berubah kelat.
            “Apa pulak tak sedap. Kalau auntie yang masak, mesti sedap punya! Nanti Dinie cubalah makan dulu, kesian auntie masak penat-penat.” Saliza tayang muka kesian. Menyesal pula dia masak western food kalau dia tahu Dinie tak sukakannya.
            Dinie diam. Dia memandang wajah tenang Raihan, kemudian memandang masakan yang terhidang di atas meja dan kembali memandang Saliza. “Mama laaagiii kesian. Mama pun masak penat-penat jugak. Kalau tak ada siapa yang makan lauk yang mama masak, mesti mama sedih.”
            Raihan senyum senang. Makin melimpah rasa sayangnya pada Dinie.
            Saliza memandang Jamilah dengan muka minta simpati tapi Jamilah hanya menggeleng kepala. Dalam hati dia terasa mahu mencubit-cubit saja mulut Dinie yang suka menjawab. Orang dah bawak tu makan jelah. Huh, banyak kerenah pulak budak kecik ni! Tak tahu langsung jaga air muka orang!
“Mama, nak air lagi.” Muk dihulur pada Raihan.
“Kenapa tak ajar Dinie puasa penuh satu hari, Cik La?” Saliza mengerut dahi memandang Jamilah. “Si Zuqni tu baru tujuh tahun dah puasa penuh satu hari tau. Setakat ni belum pernah tinggal lagi.” Dia tayang wajah bangga sambil menjeling Raihan yang sibuk melayan Dinie.
“Itulah... masa Khidir kecik dulu pun dia tak pernah puasa setengah hari. Sepatutnya dari sekaranglah kena ajar anak tu puasa penuh. Ini tidak... diikutkan je apa yang anak nak. Huh!”
“Bukan saya tak nak ajar Dinie puasa penuh tapi dia kecik lagi. Cuaca sekarang panas sangat, bukan macam zaman dulu.” Raihan memandang Dinie yang sudah berlalu. “Kalau paksa jugak anak puasa penuh, nanti takut dia jatuh sakit pulak.
Turun naik nafas Jamilah mendengarnya. “Kau jangan nak mengajar akulah! Aku lebih dulu makan garam tau! Selama ni tak pernah pun Khidir dengan Killa tu jatuh sakit sebab puasa penuh. Dia orang pun main kat luar jugak petang-petang macam Dinie tu!”
“Haah... saja nak sakitkan hati Cik La la tu. Macamlah Cik La tak pandai jaga anak!” Saliza memanaskan lagi keadaan yang suam-suam kuku.
“Dahlah, kau pergilah naik atas. Sakit hati aku tengok muka kau! Tak payah nak buat air tu, biar aku yang buat. Nanti entah apa yang kau letak dalam air. Silap-silap kau letak julap sebab bengang dengan mulut aku.”
Raihan menunduk. Perlahan-lahan dia mengorak langkah. Kalau dia menjawab pun bukannya dapat meredakan keadaan.
“Sedap ke lauk yang dia masak, Cik La?” Panjang leher Saliza memandang lauk-pauk di atas meja.
“Entah... aku tak pernah pulak merasa air tangan dia. Alah... lauk dia biasa je tu. Kamu punya lagi luar biasa. Tak pernah lagi aku makan geti nara tu.”
“Spaghetti carbonara...”
Hmmm... samalah tu. Susah benau nak menyebutnya. Kamu datang ke mari ni maknanya kamu setujulah dengan rancangan aku tu ya?” Tangan Jamilah mencapai teko kaca lantas membancuh air teh O.
Saliza tersipu-sipu. Badannya dipusingkan ke kiri dan ke kanan ala-ala perempuan gedik nampak lelaki kacak. Kemudian dia mengangguk. “Eh, tu macam suara Abang Dir je, Cik La...” Pendengarannya ditajamkan apabila sayup-sayup terdengar suara Khidir di ruang tamu.
“Dia baru baliklah tu. Tadi katanya nak jalan-jalan tengok kebun.” Jamilah mengacau air yang sudah dimasukkan gula.
Teruja pula Saliza mahu naik ke atas. Kelam-kabut dia menarik tangan Jamilah yang sedang mengangkat teko.  “Jom, Cik La kita naik. Sekarang nilah kita kena mulakan misi kita tu.”
“Eh, kamu ni tak reti sabar ke? Tak nampak aku tengah pegang teko panas ni? Karang jatuh pecah teko ni siapa yang nak kemas?” Jamilah menjeling geram.
Sorry...” Saliza tersenyum malu. Dia tak sabar mahu berjumpa Khidir yang semakin kacak di matanya.  Ketika balik dari terawih semalam, sekejap sangat dapat jumpa. Kali ini dia nekad takkan mempersiakan peluang yang dia ada. Anaknya sudah lama mendambakan kasih sayang seorang ayah. Apabila melihat layanan lelaki itu pada Dinie, dia yakin lelaki itu boleh menerima Zuqni seperti anak kandung sendiri. Lagipun dia tak kisah bermadu.
Sampai saja di ruang tamu, Saliza dan Jamilah terpaku melihat wayang di depan mata. Dia dan wanita tua itu saling berpandangan. Takat didih cemburunya sudah meninggi. Ikutkan hati mahu saja dia menarik rambut Raihan yang tak menyedari kehadiran mereka. Mana nak perasan kalau kedua-duanya sibuk sangat membuat kerja! Yang paling buat dia sakit hati apabila melihat anaknya dan Dinie yang sekejap-sekejap menjeling pasangan itu.
Jamilah pula mengurut dada yang terasa panas. Tajam matanya memandang Raihan yang duduk di kerusi yang membelakanginya dengan muka menghadap wajah Khidir yang duduk di lantai. Tangan kiri wanita itu memegang erat tengkuk anak lelakinya. Dia memejam mata, kemudian menarik nafas. “Ahmad Khidir! Apa yang kamu buat tu? Tak malu ke buat sup lidah depan budak-budak? Sekarang ni kan bulan puasa, tak tahu ke benda tu boleh batalkan puasa?!”
“Aduh!” Khidir yang terkejut mendengar jerkahan Jamilah menekup bibirnya yang terasa pedih.
Saliza terus berlalu ke dapur dengan perasaan kecewa.
Khidir dan Raihan memandang Jamilah yang sudah menjegilkan mata. Kedua-duanya masih terkejut. Bukan mereka tak tahu maksud apa yang wanita tua itu maksudkan.
“Apa mak ni? Bila masa pulak Dir dengan An buat sup lidah?” Khidir menjawab dengan tangan yang masih menekup ke mulut.
“Tadi tu apa? Bini kamu tu siap pegang tengkuk kamu. Bini kamu tu memang gatal kan? Tengah bulan puasa pun nak goda kamu. Kalau diri sendiri tu tak boleh puasa, jangan nak membatalkan puasa anak aku pilak! Malulah sikit depan budak-budak. Jangan nak rosakkan akhlak cucu aku pulak!” Kecik besar, kecik besar saja Jamilah lihat Raihan. Entah apa malanglah anak aku dapat isteri macam ni. Kalau kahwin dengan orang Melayu kan senang, tak adalah buat perangai tak senonoh macam ni. Huh!
Khidir dan Raihan berpandangan. Kedua-duanya sudah ketawa. Dan ketawa Khidir paling kuat sampai terasa senak perutnya. Perutnya dipegang.
Jamilah mencekak pinggang. Tak puas hati apabila kata-katanya tadi bagaikan gurauan kepada Khidir dan Raihan. “Kenapa kamu ketawa? Soal hukum ni boleh pulak kamu gelak-gelakkan, ya?”
Raihan menarik nafas usai habis ketawa. “Puan dah salah faham ni. Sebenarnya...”
“Apa pulak salah faham?” Jamilah pantas memotong kata-kata Raihan. “Ingat aku ni buta ke? Depan mata aku tadi aku nampak apa yang kau buat tau!” Jamilah mengetap gigi.
“Mak... tadi tu An cuma sapukan minyak gamat kat tepi bibir Dir ni hah.” Khidir menunjukkan tepi bibirnya yang sedikit bengkak dan merah. “Masa kat kebun tadi Dir kena gigit kerengga.”
Merah padam wajah Jamilah. Baru dia perasan kesan bengkak di tepi bibir anaknya. Malu pula dia menuduh tanpa usul periksa. “Nak sapu minyak gamat pun sapu jelah, yang tangan tu pergi pegang tengkuk Dir macam tengah tuttt tu buat apa?” Suaranya sudah mengendur.
“Abang Dir ni asyik elak-elakkan muka dia, tu yang saya pegang tengkuk dia. Lepas tu bila puan sergah tadi saya terkejut, terus tertonyoh kat kesan bengkak tu. Tu yang abang menjerit.” Raihan menjawab dengan senyuman yang bersisa di bibir. Ini lawak yang paling kelakar yang betul-betul buat dia tak tahan nak ketawa. Gara-gara mahu sapukan minyak di tepi bibir suaminya, emak mertuanya boleh tersalah sangka yang dia dan suaminya sedang bercium! Adoilaaa...
“Opah, sup lidah tu apa?”
Makin bertimpa-timpa rasa malu Jamilah apabila mendengar pertanyaan Dinie. “Kamu budak lagi, jangan masuk campur bila orang tua bercakap. Tengok tv tu! Karang orang lain berbuka makan nasi, kamu berbuka makan tv.” Cepat-cepat dia berlalu ke dapur.
Khidir dan Raihan ketawa lagi.
*****
TOK! TOK! TOK!
            “Dir, bangun, Dir!
            Khidir memisat mata apabila pintu biliknya diketuk kuat, disusuli suara Jamilah. Gebar diselak, dengan langkah terhuyung-hayang dia membuka pintu. “hmmm... kenapa, mak?” Matanya terpejam apabila disimbahi cahaya lampu di luar bilik.
            “Kamu tahu tak dah pukul berapa sekarang? Dah pukul lima dah ni. Satu apa pun tak masak lagi. Apa kita nak makan untuk sahur ni?”
            Terus tercelik mata Khidir. “Lailahaillallah... mak tak kunci jam ke?”
            “Kunci... tapi mak tak sedar pulak jam bunyi.” Ini semua gara-gara dia tidur lewat, leka melihat Khidir bermain helikopter kawalan jauh di laman rumah. Entah pukul berapa dia masuk tidur. “Bini kamu mana?” Dia memanjangkan leher melihat ke dalam bilik anaknya. Elok saja Raihan tidur sambil memeluk Dinie di atas katil. “Membongkang lagi? Mentang-mentang dia tak boleh puasa, sedap je dia tidur ya! Bagus betul bini kamu tu. Kalau menantu lain tengah sibuk memasak untuk sahur kat dapur, bini kamu pulak buat tak kisah je orang dalam rumah ni entah sahur ke tak.”
            Raihan cepat-cepat bangun apabila mendengar suara emak mentuanya memetir. Telefon pintar dicapai tapi apabila ditekan-tekan, telefon itu tak mahu hidup. “Maaf, puan. Telefon saya habis bateri. Tapi semalam memang saya ada kunci jam kat telefon ni.” Takut-takut dia memandang emak mertuanya. Dinie disebelahnya masih lena. Langsung tak terganggu dengan suara itu.
            “Ah, alasan kau jelah! Takkan tak boleh cas bateri telefon tu. Ke kau memang malas nak bangun masak?”
            “Dir baru teringat semalam Dinie ada main game kat phone An. Salah Dir jugak, mak sebab tak kunci jam kat phone Dir. Jangan marah An ya, mak...” Khidir memegang bahu Jamilah.
            Jamilah merengus. “Ni apa yang kita nak makan ni? Nasi semalam pun habis. Lauk adalah. Takkan nak makan lauk je kot! Nak tanak nasi sekarang, mahunya habis sahur nanti baru masak nasi tu. Haish... ada menantu serupa macam tak ada menantu. Tak boleh harap!” Dia menjeling Raihan yang tayang muka serba salah.
            Syakilla yang keluar dari bilik kelam kabut mendapatkan emaknya. “Mak, kenapa tak kejutkan Killa sahur? Tengoklah dah pukul berapa dah ni. Nasib baik Killa tersedar.”
            “Haaa... yang ni lagi sorang tak boleh diharap. Tahunya nak tunggu orang kejut baru nak bangun! Elok sangatlah perangai tu.” Sinis Jamilah menjeling Syakilla yang menguap.
            “Isy, mak ni... pagi-pagi dah membebel. Dahlah, Killa nak pergi makan. Layan mak membebel nanti tak sempat sahur.” Berlenggang Syakilla berjalan ke dapur.
            “Kamu nak makan apa kat dapur tu? Batu? Mana ada nasi. Mak terlambat bangun.”
            Langkah Syakilla terhenti. Dia berpaling memandang Jamilah dengan muka tak puas hati.
            “Kamu nak pergi mana tu?” tegur Jamilah apabila melihat Raihan keluar dari bilik sambil membawa periuk nasi yang pernah ditolak semasa anak dan menantunya sampai ke kampung hari tu.
            “Nak pergi masak nasi.”
            “Kamu ingat sekarang ni dah pukul empat ke nak masak nasi? Besarkan sikit mata tu tengok jam. Dah pukul lima lima minit tau!” Jamilah bercekak pinggang.
            “Saya tahu, puan. lima minit je masak nasi guna periuk noxxa ni. Insya-Allah sempat nak sahur.” Raihan menggosok perlahan badan periuk tekanan itu.
            Jamilah menceber. “Boleh percaya ke? Mana ada nasi yang masak lima minit je.
            “Kalau puan tak percaya, jom ikut saya.” Raihan berlalu ke dapur diikuti Jamilah. Sebaik saja memasukkan beras dan air, dia menunjukkan cara untuk menggunakan periuk. Kemudian dia memanaskan lauk semalam yang masih berbaki.
            Lima minit kemudian semua sudah menghadap makanan. Jamilah memandang Raihan yang sedang menyuap nasi ke mulut Dinie yang nampak mengantuk. Dari tadi menantunya masih belum menjamah sebutir nasi. “Kenapa kau tak makan sekali? Kejap lagi dah nak habis waktu. Biarlah Dinie suap sendiri.” tegurnya sambil mencedok pajeri rambutan ke dalam pinggan.
            “Saya makan lambat sikit pun tak apa, puan. Saya cuti puasa lagi. Esok dah boleh puasa kot.” Raihan senyum.
            Jamilah meneguk air masak. Leka dengan kecanggihan periuk tekanan noxxa itu tadi membuatkan dia terlupa yang Raihan masih belum boleh puasa. “Mana kau beli periuk tu? Mesti mahal, kan?” Matanya memandang periuk yang diletakkan di tengah meja makan.
            “Kawan saya yang jual. Harga sebenar nak dekat lapan ratus tapi dengan saya dia jual murah sikit. Enam ratus je.
            Terbeliak mata Jamilah. Benda canggih, harga pun boleh tahan canggih! “Mesti guna duit anak aku, kan?” Sinis dia bertanya. Heh, kalau setakat hadiahkan aku tapi guna duit anak aku, tu hadiah dari anak aku. Perasan pulak kata hadiah dari dia. Dan dia terkedu apabila Raihan menggeleng.
            “Saya guna duit sendiri. Duit hasil menja...” Kata-kata Raihan terhenti. Kalau aku kata tu duit hasil menjahit, mesti puan syak semua baju raya yang Killa bagi tu aku yang jahit. Eh tak boleh... tak boleh... Dia menarik nafas sebelum menyambung. “... saya beli periuk tu guna duit hasil kerja saya sendiri. Satu sen pun tak ada guna duit abang.” Usai Dinie menghabiskan nasi, dia menyenduk nasi untuk dirinya pula. Sesekali dia memandang Jamilah yang sudah diam tak terkata.
            “Raya nanti bolehlah mak guna periuk tu. Nak buat open house pun boleh kan, Kak An?” Syakilla yang sedari tadi senyap mula bersuara.
            Raihan mengangguk dan senyum.
            Jamilah teruja mendengarnya. Dia ingatkan hanya boleh memasak nasi saja. “Apa lagi yang boleh dimasak dengan periuk ni?”
            “Macam-macam, puan. Boleh masak nasi impit, rendang, dodol, nasi briyani, nasi arab, bihun dan banyak lagilah. Kalau masak guna dapur biasa kena tunggu lama, kan? Dengan noxxa presure coocker ni tak sampai satu jam dah masak.” Raihan menerangkan ala-ala jurujual yang cuba memujuk pelanggan untuk membeli periuk.
            Terbeliak mata Jamilah mendengarnya. “Nanti kamu ajar aku cara nak guna periuk tu, ya?” Dia tak sabar mahu mencuba periuk itu. Apabila pandangannya beralih ke wajah Khidir, dia pelik melihat anak lelakinya tersenyum-senyum menghadap nasi. “Kamu ni kenapa tersenyum-senyum, Dir?”
            Khidir tersentak apabila ditegur. Kepalanya dipanggung memandang Jamilah. “Dir senyum sebab mak. Sejuk hati Dir dengar mak bercakap lembut dengan An. Mak dah boleh terima An, eh?”
            Tegang terus muka Jamilah. Dia langsung tak sedar tentang perubahan dirinya. Nak kata dia sudah boleh menerima Raihan, rasanya tak. Hatinya masih lagi tak boleh menerima wanita itu. Melihat wajah Kecinaan wanita itu saja sudah mengembalikan ingatannya pada kenangan pahitnya. Sejak peristiwa itu dia mula membenci kaum Cina. Mahu berbual dengan mereka pun dia tak sudi. Dia tak peduli kalau ada yang mengata yang dia sombong. Cepat-cepat dia meneguk air masak. “Mak naik atas dulu. Dinie, jom ikut opah naik.” Dia berlalu meninggalkan ruang dapur bersama Dinie.
            Khidir masih lagi senyum. Sebenarnya bukan itu yang menggeletek hatinya. Dia teringatkan kejadian lepas balik dari terawih semalam. Ketika dia turun ke dapur, dia ternampak emaknya sedang makan nasi.
“Hai, mak... lapar lagi ke? Tak kenyang ke makan spaghetti carbonara yang Liza masak tu? Rasanya ada lagi dalam peti ais.”
            “Humph... entah apa benda yang Liza tu masak. Tak sedap langsung. Rasa nak muntah adalah! Tak kena dengan tekak mak ni. Heiii... tak nak mak telan benda alah tu lagi.”
            Khidir ketawa melihat mimik muka Jamilah yang kelakar. “Aik... tak sedap? Rasanya dua pinggan mak bantai tadi.”
            “Tu saja nak ambil hati dia je. Kalau tak tambah nanti kecik hati pulak. Kamu nak makan ke? Nasi ada sikit lagi ni.”
            Khidir menggeleng. “Dir kenyang.”
            “Mak habiskan nasi ni ya... sedap pulak lauk...”
            “Sedap ke opah!” Dinie menyergah sambil menepuk meja makan kuat.
            “Oh, menantu kesayangan aku masak pajeri rambutan sedap! Nak lagi boleh? Eh... eh...” Jamilah melatah sambil memegang mangkuk kaca berisi lauk pajeri Rambutan.
            Khidir terasa mahu ketawa namun ditahankan. Di atas tangga dia nampak Raihan turut tersenyum dan berlalu. “Dinie, tak baik buat opah macam tu. Kalau opah tercekik rambutan tadi macam mana?” Wajahnya digarangkan.
            Dinie menunduk.
            Khidir menghulurkan air pada Jamilah yang sudah merah wajahnya. Mungkin emaknya malu apabila terlepas menyebut ‘menantu kesayangan aku.’ “Minta maaf kat opah cepat!” Tajam dia memandang anaknya.
            “Maaf, opah... Dinie tak sengaja.” Dia menyalam tangan kiri Jamilah.
            “Opah maafkan. Lain kali jangan buat macam tu lagi tau, cu. Opah ni tak boleh kena sergah, nanti terus melatah.”
            “Abang... dah azan subuh dah.”
            Khidir tersentak apabila Raihan menepuk bahunya. Dia memandang sekeliling dapur. Hanya ada dia dan isterinya saja di situ. Pinggan yang telah kosong dibawa ke sinki.
*****
DARI jauh Saliza nampak Dinie sedang bermain masak-masak di pangkin bersama Fatin, anak jiran sebelah. Dia melajukan langkah mendapatkan kanak-kanak yang leka bermain dengan alatan permainan memasak. “Dinie main apa tu?” Ramah dia bertanya.
            “Main masak-masak.” Dinie mengacau daun yang sudah lunyai di dalam mangkuk.
            “Pandainya Dinie masak. Masak apa tu? Nampak macam sedap je...” Sekali lagi dia cuba memancing perhatian budak itu. Bahu budak itu diusap perlahan.
            Dinie mencampak bunga raya yang dicarik-carik ke dalam kuali mainan. “Ini namanya nasi goreng sardin resepi mama. Sedap tauuuu... bukan macam spaghetti auntie yang tak sedap tu. Uwekkk!” Dia buat gaya nak muntah.
            Terhenti terus usapan Saliza. Giginya diketap geram. Pandai pulak budak ni kutuk masakan aku. Nak je  aku ketuk kepala dia. Haish... sabar, Liza... sabar... senyumannya dikoyakkan kembali. Matanya meliar memandang sekeliling laman. Kereta Khidir tiada di situ. “Opah dengan yang lain mana?”
            “Baba bawak opah pergi bazar ramadan, mak su pergi berbuka dengan kawan, mama pulak tengah mandi,” jawabnya tanpa memandang Saliza.
            “Nah, auntie minum air ribena yang Atin buat ni.” Fatin meletakkan cawan mainan di depan Saliza. Kemudian dia menunggu reaksi wanita yang berpura-pura minum itu. “Sedap tak, auntie?
            “Sedap... pandai Fatin buat air.” Saliza berpura-pura senyum.
            “Eee... auntie Liza tak puasa! Eee... tak malu, dah besar pun tak puasa.” Dinie menjauhkan duduknya dari Saliza.
            Saliza tersentap mendengar kata-kata Dinie. Tak pasal-pasal dia dicop tak puasa. “Auntie puasalah. Ni kan mainan punya, saja auntie nak main sama Dinie dengan Fatin.” Dalam hati mahu saja dia cubit-cubit mulut celopar budak kecik itu. Entah manalah budak ni belajar jadi celopar macam ni. Ugh! Menyakitkan hati betul!
            Dinie kembali menghadap permainan, tak menghiraukan Saliza. Dia tak sukakan wanita itu sejak Zuqni memberitahu yang wanita itu sukakan babanya.
            Saliza kembali mengukir senyum. Rasa menyampahnya dibuang jauh-jauh. Dia merapatkan diri pada Dinie. “Dinie suka main mercun tak? Ni auntie ada beli mercun mancis untuk Dinie. Kita main nak?” Dia mengeluarkan mercun mancis dari plastik yang dibawanya. Kata Jamilah, Dinie suka bermain bunga api. Saja dia membeli mercun mancis untuk mengambil hati budak itu.
            Dinie menolak mercun yang dihulur. “Tak naklah, baba tak bagi main mercun. Bahaya. Nanti baba marah.”
            Saliza buat muka monyok. “Alah... jomlah main dengan auntie. Kesian auntie tak ada kawan. Kita main sama-sama ya?” Dia memusing badan Dinie menghadapnya.
            Dinie menepis tangan Saliza di bahunya. Wajahnya dicemberutkan tanda tak suka diganggu. “Tak nak... Dinie nak main dengan Atin. Auntie pergilah balik. Dinie tak suka auntie kacau baba.”
            Amboih, menghalau pulak dia. Tapi mana dia tahu aku suka baba dia? Saliza mengerut dahi memandang Dinie yang kembali bermain. Alang-alang dia dah tahu, baik aku tanya. “Dinie suka tak kalau auntie jadi mama Dinie?”
            “Tak suka! Dinie tak suka mak tiri. Mak tiri jahat macam mak tiri Cinderella!” jawab Dinie tanpa memandang Saliza yang sudah mengetap gigi.
            Saliza menarik nafas. “Eh, tak semua mak tiri jahat  macam mak tiri Cinderella tau. Auntie ni baik... auntie sayang Dinie sama macam auntie sayang Zuqni. Kalau Dinie sayang auntie, jom kita main mercun ni sama-sama.” Dia mengeluarkan sebatang mercun mancis dari kotaknya. “Bukannya bahaya pun mercun ni. Tak payah takutlah, auntie ada.”
            “Janganlah... nanti baba marah. Nanti baba tak bagi Dinie main bunga api lagi!” Dinie merampas mercun itu lantas dicampak ke tanah. “Auntie pergilah balik. Sibuk je kacau kita orang.” Dia menolak badan Saliza.
            Saliza terkejut. Mendidih darahnya dengan sikap biadap Dinie. Sabarnya sudah tak mampu ditahan lagi. Kecik besar, kecik besar saja dia melihat budak itu. “Kau ni kenapa kurang ajar sangat hah?! Dari semalam kau sakitkan hati aku kan!” Dia mencubit lengan budak itu.
            “Auuu... sakitlah, auntie. Janganlah cubit Dinie.” Wajahnya sudah tercebik-cebik menahan tangis.
            “Kau ingat aku suka sangat ke dengan kau hah, budak mulut jahat?!” Bibir Dinie dicubit geram.
            “Sakit!!! Mama!!!” jerit Dinie kuat namun tiada langsung bayang Raihan yang muncul. Mungkin mamanya belum selesai mandi. Dia sudah menangis.
            “Jeritlah panggil mama kau. Ingat aku takut?” Pipi Dinie pula menjadi mangsa tamparan.
            Fatin menarik-narik tangan Saliza yang nampak bengis. “Auntie, janganlah pukul Dinie. Dia sakitlah!”
            “Kau diamlah, Fatin! Kalau tak nak kena cubit baik kau duduk diam-diam kat situ!” Matanya dijegilkan pada Fatin membuatkan budak itu diam ketakutan.
            Saliza menarik tangan Dinie yang mahu lari. Dia masih belum puas melunaskan rasa marahnya. “Mana kau nak lari hah? Aku belum habis lagi dengan kau!” Dia menunduk mengutip mercun yang dicampak oleh Dinie tadi. Kemudian dia mengeluarkan kesemua isi mercun. “Kau sombong sangat tak nak main mercun yang aku beli ni kan... nah, kau makan ni!” Dengan kasar dia menonyoh mercun itu ke mulut Dinie yang dikatup rapat.
            Dinie sedaya upaya mengelak. Bibirnya yang terkatup rapat terasa sakit apabila Saliza mencengkam kuat rahangnya. Dalam hati dia berdoa mamanya cepat selamatkannya.
            “Aduh!” Pegangan Saliza terlepas apabila Fatin menggigit kuat lengannya. Lengannya dibelek.
            Dinie mengambil kesempatan melarikan diri masuk ke rumah. Dia mahu mencari mamanya.
            “Kurang ajar punya budak! Berani kau gigit tangan aku ya!” Dia menjegil mata memandang Fatin yang sudah takut-takut. “Sini kau, aku nak tonyoh mercun ni kat mulut kau pulak.
            Kelam kabut Fatin belari balik ke rumah apabila Saliza mendekatinya.
            Saliza membelek lagi lengannya yang berbekas gigitan. “Nasib baik tak berdarah. Kemudian dia menjeling ke pintu rumah Jamilah yang sudah ditutup. “Mesti mengadu kat mama dialah tu. Budak cengang!” Baru saja dia mahu berlalu dari situ, kereta Khidir masuk ke laman. Dia menunggu dengan muka yang diceriakan. “Assalamualaikum Cik La, Abang Dir... dari mana ni?” tegurnya sebaik saja Khidir dan Jamilah keluar dari kereta.
            “Waalaikumussalam. Baru balik dari bazar ramadan. Kenapa duduk luar ni?” tanya Jamilah yang sudah berdiri di sebelah Saliza.
            Khidir tak menjawab salam, dia terus melangkah ke boot mengeluarkan makanan yang dibeli.
            “Menantu Cik La tulah. Disuruhnya Liza duduk kat pangkin ni sampai Cik La balik.” Sengaja Saliza mereka cerita, mahu menambahkan lagi rasa benci Jamilah pada Raihan.
            “Siapa menantu aku? Tolonglah... dia bukan menantu aku. Aku tak ada menantu yang perangai jahat macam tu. Langsung tak ada adab biarkan tetamu tunggu kat luar.
            Khidir menjeling tajam pada Saliza. “Mak percaya sangatlah apa yang dia kata tu. An tak pernah buat macam tu kat tetamu. Dir tak percaya,” ujarnya sambil menghampiri dua wanita itu. Dia pelik dengan sikap emaknya. Tengah hari tadi bukan main elok saja apabila Raihan mengajar cara menggunakan periuk noxxa. Petang ini, apabila Saliza buat cerita, mulalah perangai lama emaknya muncul balik. Pening dia memikirkan cuaca hati emaknya yang sering bertukar-tukar.
            “Haaa... bagus! Bela sangat bini kamu tu. Kalau betul elok perangainya, kenapa terperap je kat rumah tu? Takkanlah Liza nak buat cerita pulak.” Bengis wajah Jamilah.
            “Saliza!!!”
            Tiga pasang mata memandang ke arah pintu rumah, memandang Raihan yang menghampiri mereka dengan wajah yang bengis dan merah.
            Jamilah dan Khidir menayang muka pelik. Tak pernah pula Khidir melihat isterinya marah sebegitu. Kepalanya mula sarat dengan bermacam persoalan.
            Wajah Saliza nampak tenang namun melihat langkah Raihan yang semakin menghampiri, cuak pula hatinya. Tambahan pula apabila teringat apa yang dibuat pada Dinie tadi.
            Panggg!!!
            Sebiji tamparan elok melekat di pipi Saliza hingga jatuh terduduk di pangkin dibuatnya. Turun naik nafas Raihan memandang muka tak bersalah wanita itu. Wajah Dinie yang menangis dengan lengan yang lebam dan pipi yang merah bermain di kepalanya. Dia memang pantang kalau ada orang usik anaknya. Perbuatan wanita itu benar-benar telah menaikkan suhu kemarahannya. Dia sendiri pun tak pernah memukul anaknya begitu. Silapnya juga kerana lama sangat berada di dalam bilik air tadi. Kalau tak, mesti keadaan anaknya tidak begitu.
            “Hei, yang kau tampar dia kenapa?!” Jamilah menolak bahu Raihan. Berangin juga dia apabila tetamunya dihadiahkan dengan penampar. Nak-nak lagi si pemberi penampar itu menantu bukan pilihannya.
            Mencerun mata Raihan memandang Jamilah. “Puan tanya sendiri apa yang bakal menantu puan ni dah buat!” Tanpa sedar dia meninggikan suara.
            Kecut juga hati Jamilah mendengar tengkingan Raihan. Terasa seram sejuk badannya. “Yang kau nak tengking aku ni kenapa? Ini rumah aku tau, sedar diri tu sikit!” Sengaja dia berkata begitu, mahu menutup rasa kecut.
            Raihan menarik nafas, cuba menenangkan diri. Wajahnya diraup perlahan.
            Khidir meletakkan plastik berisi makanan di pangkin, kemudian dia memusingkan badan Raihan menghadapnya. “Sayang... kenapa ni? Apa yang Liza dah buat sampai sayang marah macam ni?” Risau pula dia melihat isterinya marah-marah.
            “Ma... mana a... ada Liza buat apa-apa. Raihan ni saja nak tuduh-tuduh.” Cepat-cepat Saliza membuka mulut sebelum sempat Raihan bercerita. Pandangan tajam wanita itu dibalas dengan pandangan mencerun. “Kalau tak suka aku datang sini pun tak payahlah sampai nak tampar muka aku!” Dia bangun sambil memegang pipinya yang terasa sakit. “Dahlah, Cik La... Liza nak balik. Orang tak suka, buat apa nak terhegeh-hegeh, kan....” Dia melangkah mahu meninggalkan laman rumah Jamilah. Takut kalau rahsianya pecah.
            “Perbuatan kau ni, kalau aku buat report, silap-silap kau meringkuk dalam penjara tau!”
            Langkah Saliza terhenti apabila mendengar perkataan penjara. Dadanya sudah berdebar. Cepat-cepat dia berpusing mendapatkan Raihan. Tangan wanita itu dipegang. “Tolong, Raihan... tolong jangan buat report. Aku minta maaf... aku tak sengaja.” Dia merayu. Tak dapat dia bayangkan dia meringkuk dalam penjara. Sudahlah lagi empat hari nak beraya.
            “Eh, kenapa ni? Kenapa nak merayu-rayu bagai kat perempuan ni pulak, Liza? Apa yang kau dah buat sebenarnya?” Berkerut dahi Jamilah melihat Saliza sudah melutut.
            Saliza tak menghiraukan pertanyaan Jamilah. Yang penting baginya sekarang, memujuk Raihan. Dia kembali memegang tangan wanita itu walau berkali-kali wanita itu menepis tangannya. “Aku merayu kat kau, An. Tolong kesiankan aku...”
            Raihan merengus. “Ooo... pandai pulak suruh kesiankan kau ya? Masa kau pukul Dinie, kau tonyoh mulut anak aku dengan mercun mancis tu, kenapa kau sikit pun tak ada rasa kesian kat dia? Kau ingat mulut anak aku tu api untuk bakar mercun ke sampai kau tonyoh-tonyoh mulut dia? Manusia jenis apa kau ni hah, sanggup dera budak macam tu? Tak ada hati perut langsung!” Dia menolak bahu Saliza yang masih melutut hingga terduduk.
            Jamilah mengurut dadanya. Dia tak menyangka Saliza sanggup mendera cucunya. Padanlah Raihan marah sangat. Matanya memandang Dinie yang sudah berdiri di sebelah Raihan. Mata budak itu sedikit bengkak kerana menangis.
            “Dinie, auntie minta maaf. Auntie tak sengaja pukul Dinie.” Saliza cuba mencapai tangan Dinie namun budak itu pantas menyorok di belakang Raihan.
            Khidir menarik kasar lengan Saliza supaya bangun menghadapnya. Berasap hatinya apabila mendengar anaknya disakiti. Bertambah mendidih darahnya melihat keadaan anaknya. “Berani kau sentuh anak aku ya! Apa yang dia buat kat kau sampai kau pukul dia macam tu? Cuba cakap kat aku!”
            Jantung Saliza sudah berdebar. Dia memandang Dinie yang masih menyorok di belakang Raihan. “Erk... Liza... ge... geram dia tak... tak nak layan Liza.” Tergagap-gagap dia menjawab. “Liza tak sengaja pukul dia, bang. Liza tak boleh tahan marah bila dia buang mercun yang Liza bagi tu kat tanah, lepas tu halau Liza balik. Maafkan Liza, bang. Tolong jangan report polis. Kesiankan Zuqni, bang. Kalau Liza masuk penjara siapa yang nak beraya dengan dia? Dia cuma ada Liza sorang je.” Dia memegang tangan Khidir.
            “Tak payah nak pegang-pegang akulah. Aku jijik dengan kau tau!” Khidir menepis kasar tangannya. “Okey... aku tak akan buat report. Tapi dengan satu syarat!”
            Wajah Saliza sudah berseri-seri. “Apa syaratnya?”
            “Aku tak nak kau jejakkan kaki kau kat rumah mak aku dan jangan cuba-cuba nak dekati anak aku lagi faham!”
            Perlahan-lahan Saliza mengangguk.
            “An, Dinie, jom masuk!” Dia mengambil plastik yang diletakkan dipangkin tadi, kemudian menarik tangan Raihan.
            “Kau ni kenapa bodoh sangat pukul budak kecik?” Jamilah menunjal geram kepala Saliza.
            “Sakitlah, Cik La!” Saliza menggosok kepalanya.
            “Tahu pun sakit. Badan cucu aku tu lagi sakit tau kena pukul dengan kau! Tengok... sekarang Khidir dah tak bagi kau datang sini. Habis rosak rancangan aku!” Jamilah merengus. “Pergilah balik! Menyampah pulak aku tengok muka kau.” Dia berlalu masuk ke rumah. Kalau dia berada di tempat Raihan, mahu dua biji penampar kot dia bagi ke muka Saliza.
            Wajah Saliza bertukar bengis. Turun naik nafasnya menahan marah. “Kau kata aku ni jijik ya, Khidir?! Kau tunggu... perempuan jijik ni nantilah yang kau kena kahwin nanti. Ingat aku nak sangat ke kemaafkan kau tu, Raihan? Sikit pun aku tak hairanlah kalau kau tak nak maafkan. Aku merayu tadi pun sebab tak nak masuk penjara je! Kau orang berdua tunggu esok apa yang aku akan buat!”
            Saliza mengeluarkan telefon pintarnya. Sebaik mendail nombor seseorang, dia melekapkan telefon ke telinga. “Helo... aku nak kita jalankan misi kita esok!” Usai mematikan talian, dia tersenyum sinis.
*****
TANAH perkuburan itu dihujani dengan air mata. Entah berapa banyak air matanya keluar sejak anaknya menghembuskan nafas terakhir. Segala ucapan takziah dan kata-kata semangat diterima dengan perasaan sebak. Dia duduk di depan kubur anaknya dan menangis lagi. Bagaikan terbayang-bayang keletah anaknya yang ceria. Dia menyesal membiarkan anaknya tapi semuanya sudah tak berguna. Mungkin ini balasan untuk dia kerana telah menyakiti hati wanita itu.
            “Maafkan mama, sayang. Semuanya salah mama. Mama menyesal. Mama menyesal sangat!” Tanah yang basah itu dipegang.
            Jamilah pegang bahu wanita itu. Dia turut berasa sedih dengan apa yang menimpa. “Sudahlah tu, jangan menangis lagi. Nanti tak tenang dia kat sana.”
            Dia mengesat air mata. “Tenanglah anak mama kat sana. Tunggu mama, ya?”
            Jamilah menarik wanita itu bangun. “Jomlah kita balik, Dir dah lama tunggu kat kereta.”
            Wanita itu akur. Sebaik saja masuk di bahagian penumpang belakang, kereta Khidir meluncur meninggalkan kawasan tanah perkuburan. Saat ini dia terasa kosong. Raya tahun ini pasti sudah tak seindah dulu.
Kakinya melangkah keluar sebaik saja kereta berhenti di depan rumah. “Boleh kita bercakap sekejap?” Matanya memandang wanita yang berada di dalam kereta. Dia bersandar di badan kereta sementara menanti wanita itu keluar dari bahagian sebelah pemandu.
            Jamilah dan Khidir hanya menjadi pemerhati dari dalam kereta.
            Bibirnya bergetar. Air matanya kembali merembes keluar. Dia menekup muka dengan tangan kanan, cuba menahan rasa sedihnya. Angin petang yang bertiup belum cukup untuk menghilangkan rasa sedihnya.
            “Sabarlah... Allah lebih sayangkan dia.” Raihan menepuk perlahan bahu Saliza. Siapa sangka, Zuqni yang petah berbicara itu sudah tiada lagi di dunia. Masih terdengar pujian budak lelaki itu apabila merasa lauk pajeri rambutan yang dimasaknya. Walaupun  perangai Saliza menjengkelkan tapi dia tak pernah membenci budak itu.
            Saliza menjatuhkan tangan memandang wajah tenang Raihan. “Mungkin ni balasan aku. Dia ambil anak aku sebagai pengganti sebab aku ni jahat sangat.”
            Jamilah menurunkan tingkap kereta, mahu mencuri dengar apa yang dibualkan.
            “Tak baik cakap macam tu, Liza. Tak ada istilah macam tu dalam hukum Allah. Dia ambil anak kau sebab dah memang ajal Zuqni. Jangan fikir yang bukan-bukan.”
            “Tapi aku memang jahat, An. Cik La suruh aku pura-pura goda Abang Dir sebab nak sakitkan hati kau tapi....” Saliza berjeda.
            Wajah Jamilah berubah merah. Dari ekor mata dia nampak Khidir memandangnya. Dalam hati sudah berdebar, takut anaknya marah apabila rahsianya terbongkar. Tapi anaknya itu biasa saja.
            “... tapi aku sengaja nak ambil kesempatan nak rampas abang Dir dari kau. Sepatutnya malam karang aku rancang kena tangkap khalwat dengan dia. Bila dah kena tangkap nanti, mesti Cik La akan paksa Abang Dir khawin dengan aku sebab tak nak malu. Dan kau pulak mesti minta cerai sebab kecewa dan tak sanggup bermadu. Tapi... lain yang aku rancang, lain pulak yang jadi. Heh!” Dia ketawa dalam tangis.
            Wajah Raihan berubah terkejut. Tipulah kalau dia tak marah tapi melihat wajah kesal Saliza, sedikit demi sedikit rasa marah itu mencair. Lagipun rancangan wanita itu belum dijalankan dan telah dibatalkan pun.
            “Belum sempat aku nak jalankan rancangan aku, Tuhan dah ambil orang yang aku sayang.” Saliza merenung jauh ke depan. Terbayang wajah Zuqni yang meninggal disebabkan stroke haba. Puas anaknya merayu mahu minum air tapi dia tak melayan. Dia suruh bertahan sampai waktu berbuka. Akibatnya, anaknya tidur buat selama-lamanya.
            Dada Jamilah sudah berombak. Dia melangkah keluar dari kereta dan menolak Saliza hingga jatuh ke tanah. Dia mahu menampar wanita itu tapi Raihan menahan badannya. “Tak guna punya perempuan! Berani kau nak perangkap anak aku, ya?! Lepaskan aku, aku nak ajar sikit perempuan tak guna ni!” Dia meronta namun makin kuat menantunya memeluknya dari belakang.
            “Sabar, puan. Dia baru kehilangan anak. Janganlah buat macam ni.”
            Khidir cepat melangkah keluar usai mematikan talian telefon. Dia langsung tak dengar apa yang dikatakan Saliza apabila mendapat panggilan telefon dari hospital tempatnya bekerja. “Kenapa kecoh-kecoh ni, mak?”
            “Eee... lepaslah!” Pelukan Raihan terus terlerai dari belakangnya. “Kamu tahu, Dir... perempuan ni nak perangkap kamu. Malam nanti dia nak guna cara kotor untuk paksa kamu kahwin dengan dia. Hesy... mak pun tak tahulah macam mana selama ni mak boleh berkenan kat perempuan macam ni. Harap muka je nampak baik tapi perangai tak semenggah! Agaknya betullah apa yang Dir pernah bagitahu mak tujuh tahun dulu. Si Zuqni tu memang...”
            “Mak... tak baik bukak aib orang yang dah tak ada.” Khidir mencantas kata-kata emaknya. Di bulan yang mulia ini dia tak mahu memanjangkan cerita tambahan pula orang di dalam rumah Saliza sudah menjenguk keluar. Ada yang sudah mula berbisik.
            Saliza mengesot memeluk kaki Jamilah. “Liza minta maaf, Cik La... memang dulu Liza lamar Abang Dir sebab Liza mengandung. Bila Abang Dir tolak lamaran tu, Liza lari dari kampung sebab tak nak mak dapat malu bila perut Liza dah membesar nanti. Sebab tu Liza cakap kat mak yang Zuqni ni anak angkat tapi akhirnya mak Liza tahu jugak status Zuqni bila dia terjumpa surat beranak Zuqni. Mak meninggal sebab terkejut.” Wajah emaknya yang kecewa terbayang.
            Jamilah menepis kakinya. Tak sudi tangan Saliza yang kotor menyentuhnya.
            “Liza minta maaf, Cik La. Liza janji tak akan ganggu rumah tangga Abang Dir dengan An lagi.” Saliza memaut lagi kaki Jamilah. Dia sedia terima segala makian wanita itu.
            Jamilah menolak lagi badan Saliza. “Pergi jahanam dengan maaf kau tu. Kau ingat senang ke aku nak maafkan kau? Nasib baik anak aku tolak lamaran kau. Kalau tak, sia-sia je anak aku jadi pak sanggup.” Jijik dia mahu memandang muka wanita itu.
            “Puan, tak baik berdendam. Liza dah betul-betul menyesal dengan perbuatan dia. Maafkanlah dia.”
            Tajam Jamilah memandang Raihan. “Kau jangan nak pujuk-pujuk akulah! Kalau anak aku tak kahwin dengan kau, tak adalah aku nak pujuk dia suruh berlakon suka kat anak aku. Sampai sekarang aku masih tak anggap kau sebagai menantu. Nak tahu sebab apa?”
            Raihan menelan liur yang terasa kesat.
            “Sebab kau anak Cina!” Jamilah terus berjalan kaki balik ke rumah. Tak mahu dia naik satu kereta dengan Raihan.
            Khidir meraup rambut ke belakang. “Sayang dengar apa yang mak cakap tadi, kan? Macam ni ke sayang nak suruh abang diam? Abang kecewa dengan mak. Sikit pun dia tak pernah berubah.” Bayangan emaknya yang semakin hilang dipandang dengan wajah kecewa.
            “Hati An lagi kecewa, bang. Tapi An tak boleh mengalah lagi. An akan cuba sampai puan benarkan An panggil dia mak.” Air mata Raihan tumpah. Memang perit menjadi seorang Raihan tapi lagi perit jika dia menghentikan perjuangannya. Dia yakin ada pelangi yang tersembunyi di sebalik keperitan itu.
            “Malam ni kita balik KL. Abang dapat call dari hospital tadi. Dr. Pui Yee yang cover kerja abang terpaksa ambil emergancy leave. Nenek dia meninggal.”
            Raihan geleng kepala.
            “Jangan degil boleh tak? Abang tak yakin mak akan berubah.”
            “Abang baliklah seorang. An tetap dengan keputusan An. An dengan Dinie akan tunggu abang kat sini. Tunggu sampai abang selesaikan kerja. Lagipun abang dah janji dengan puan nak beraya kat sini. Lagi tiga hari je nak raya.”
            Khidir mengeluh. Kadang-kadang Raihan punya degil pun boleh tahan. Mahu tak mahu dia terpaksa akur. “Jomlah kita balik rumah, dah petang ni.” Dia melangkah masuk ke dalam kereta.
            “Aku balik dulu, Liza...” Raihan hulur salam tapi Saliza menariknya ke dalam pelukan.
            “Terima kasih, An... terima kasih sebab maafkan aku. Kau memang seorang yang baik. Sesuai sangat dengan Abang Dir. Memang kau orang berdua diciptakan untuk bersama. Aku doakan hati Cik La lembut untuk terima kau.”
            Raihan senyum dan membalas pelukan.
*****
JAMILAH menanggalkan telekung sebaik pulang dari terawih. Ketika mahu masuk ke biliknya, telinganya menangkap bunyi orang muntah di bilik air di dapur. Dia menyidai telekung dan melangkah turun ke dapur.
            “Dari tadi tak habis lagi ke dia muntah?” Jamilah memandang Syakilla yang duduk menunggu di meja makan.
            Syakilla mengangguk. “Tadi Killa masakkan bubur nasi untuk Kak An makan tapi baru dua tiga suap dia muntah balik. Tak tahu nak buat apa dah ni, mak.” Dia memicit kepala.
            “Mama dah okey ke?” Dinie mendapatkan Raihan yang baru keluar dari bilik air. Wajah pucat mamanya dipandang dengan penuh risau.
            “Okey sikit.” Perlahan Raihan melangkah dan duduk di kerusi meja makan. Badan yang lemah disandarkan. Sejak pukul lapan tadi dia asyik muntah. Apa yang cuba disumbat ke dalam mulut pun dimuntahkan semula.
            “Kamu ni mengandung ke?” Jamilah menilik Raihan. Kalau dah muntah-muntah tu kan petanda orang mengandung. Lagipun, menantunya masih muda, tak mustahil menantunya sedang mengandung.
            Mata Syakilla sudah terbuntang. Dia menepuk dahi. “Ha ahlah... tak terfikir pulak Killa. Maknanya Dinie dah nak jadi kak long la.” Dia tersenyum suka.
            “Betul ke Dinie nak dapat adik, ma? Yeay... seronoknya! Tak sabar nak main dengan adik.” Dia mengusap perut kempis Raihan.
            Wajah Raihan tak ceria. Dia tahu dia tak mengandung dan bukan itu punca dia muntah. “Saya tak mengandung, puan. Saya kan baru habis datang bulan.” Siapa yang tak nak mengandung lagi? Mungkin belum rezeki dia untuk mengandung. Dia menekup mulut dan menuju ke bilik air. Segala isi perut diluahkan. Matanya berair.
            “Kita bawak Kak An pergi hospital la, mak. Teruk sangat dah ni.” Syakilla memimpin Raihan yang terhuyung-hayang.
            “Dah malam dah ni, nak suruh siapa bawak? Lainlah kalau Abang Dir kamu ada.” Jamilah turut menunjukkan wajah risau. Rasa mengantuknya tadi terus hilang.
            “Tak apa, puan. Saya nak baring je. Kejap lagi okeylah kot.” Raihan bersuara lemah. Dia sudah tiada tenaga. “Killa, tolong bawak akak naik bilik.”
            Syakilla akur. Sebaik saja membaringkan Raihan, telefon rumah berbunyi. Dia berlalu keluar dan mengangkat ganggang telefon. “Helo, assalamualaikum...”
            “Haaa, Killa. Mana Kak An? Abang telefon dia banyak kali tak berangkat.” Suara Khidir di hujung talian kedengaran risau.
            “Kak An ada kat bilik. Dia tak sihat. Dari tadi asyik muntah-muntah.”
            “Muntah?! Dia makan apa sampai muntah-muntah?” Meninggi suara Khidir.
            “Tak ada makan benda pelik pun. Tadi masa berbuka Kak An makan nasi lauk sup tulang, lepas tu kita orang makan sikit kuih raya yang mak beli.” Memang itu yang Raihan makan tadi. Tiba-tiba saja kakak iparnya berlari ke bilik air dan muntah.
            “Dia tak boleh makan kuih raya la! Kenapa bagi dia?!”
            Terangkat sedikit bahu Syakilla apabila Khidir menjerkah. “Mana Killa tahu Kak An tak boleh makan kuih raya. Dia tak cakap pun.  Abang ni nak marah-marah orang pulak!” Syakilla geram.
            Kedengaran Khidir mengeluh. “Sorry... Kak An tu memang tak boleh makan kuih raya. Bila dia makan, mulalah dia muntah-muntah. Keracunan makanan.”
            “Nak bawak dia pergi hospital ke sekarang ni?” Syakilla sudah menggelabah. Kalau dia tahu, dia tak akan bagi Raihan menyentuh kuih raya.
            “Tak payah. Sekarang Killa pergi dapur, ambil air sejuk dalam peti ais, lepas tu campur garam dengan gula. Bagi Kak An minum. Lepas tu bagi air 100 plus, tak pun vitagen. Air tu untuk kembalikan balik tenaga dia yang dah hilang tadi. Pergi sekarang, abang ada kerja lagi ni.”
            Usai mematikan talian, Syakilla terkocoh-kocoh berlari ke dapur. “Mak, tolong buatkan air sejuk campur garam dengan gula. Abang Dir cakap tu ubat untuk keracunan makanan. Kak An muntah sebab makan kuih raya tadi.”
            “Eh, mak makan kuih raya elok je, tak ada muntah pun. Kamu dengan Dinie pun okey je.” Jamilah mengerut dahi.
            “Abang Dir cakap Kak An memang tak boleh makan kuih raya. Dahlah, mak pergilah buat air tu, lepas tu bagi Kak An minum.  Killa nak pergi kedai kejap. Jom, Dinie... ikut mak su.” Syakilla menarik tangan Dinie.
            “Kamu nak pergi kedai malam-malam ni nak buat apa? Kamulah pergi bagi dia minum air. Apa pulak mak?” Jamilah tak puas hati.
            “Abang Dir suruh beli air 100 plus, bagi Kak An minum. Mak tolonglah bagi Kak An minum air garam tu dulu.” Syakilla terus naik ke atas bersama Dinie.
            Mahu tak mahu terpaksalah Jamilah membuat air itu. Kemudian dia melangkah ke bilik Raihan. “Bangun... minum air ni.” Dingin suaranya mengejutkan menantunya yang sudah memejam mata. Apabila melihat menantunya susah hendak bangun, dia membantu mendudukkan wanita itu di kepala katil. “Dir suruh aku bagi kau minum air ni. Minumlah.”
            Terharu Raihan menyambut muk itu. Air disisip perlahan dan mukanya berkerut menahan rasa masin.
            “Jangan nak kerut-kerut muka tu. Minum sampai habis supaya rasa mual tu hilang.”
            “Tak sedappp...” Raihan mengerut lagi mukanya. Tekaknya tak boleh terima air itu.
            “Dah nama pun ubat, mestilah tak sedap! Habiskan, lepas tu boleh tidur.” Ini kali pertama dia tahu yang air garam mampu memulihkan keracunan makanan. Nasib baik mereka belum pergi ke hospital lagi. Selesai minum, dia membaringkan Raihan. Tiger balm dicapai di meja lampu dan dilumur pada leher dan dahi menantunya. Kemudian kepala wanita itu dipicit perlahan. “Dah tahu tak boleh makan kuih raya kenapa makan jugak? Sekarang tengok, siapa yang sakit?” Dia membebel.           
            “Saya teringin. Sebenarnya, dari umur tiga tahun saya tak boleh makan kuih raya. Tiap kali makan, mesti pergi hospital sebab keracunan. Bila dah umur dua puluh lapan ni saya ingatkan dah boleh makan tapi muntah jugak.” Mata Raihan sudah layu.
            “Hmmm... kembang jarak kembang jagung, badan sakit sendiri tanggung!”
            Raihan ketawa mendengar pantun Jamilah. Memang sekarang dia sendiri yang menanggung sakit. Tapi dalam keadaan begini, dapat juga dia merasa urutan emak mentuanya. Ada hikmah rupanya dia jatuh sakit malam ini.
            “Ada rasa nak muntah lagi ke?” tanya Jamilah perihatin. Suara pun kedengaran lembut.
            Raihan menggeleng. Penangan air garam itu betul-betul berkesan.
            “Tidurlah. Killa balik dari beli air 100 plus untuk kau minum nanti aku kejutkan.” Jamilah membetulkan selimut di badan Raihan. Tangannya kembali lincah memicit kepala menantunya. Makin lama dia memandang Raihan, makin hatinya jatuh sayang. Tapi dia sengaja berpura-pura marah, sengaja mahu menguji tahan kesabaran menantunya melayan kerenahnya. Dia rasa belum masanya lagi untuk dia mengaku yang dia sudah menerima menantunya.
            Tanpa disedari, Syakilla dan Dinie mengintai di sebalik pintu bilik. Sempat dia merakam, mahu menghantar video itu ke WhatsApp abangnya. “Dinie, malam ni tidur dengan mak su jelah. Biar opah jaga mama ya?” Rasanya air 100 plus itu sudah tak diperlukan lagi.
            Dinie mengangguk dan mengikut Syakilla masuk ke bilik.
*****
RAIHAN tersedar apabila bahunya terasa lenguh. Dia menoleh ke kiri dan terkejut melihat Jamilah tertidur sambil kepala menindih bahunya. Kesian pula dia melihat emak mentuanya tidur duduk begitu. Jam di dinding dipandang, sudah pukul empat pagi.
            Raihan menggoncang perlahan bahu Jamilah. “Puan... bangun, puan...”
            Jamilah memisat matanya. Tengkuk yang terasa lenguh digosok perlahan. Entah sejak bila dia tertidur, dia langsung tak sedar. “Kenapa, nak muntah ke? Jom mak bawak ke bilik air.” Tanpa sedar dia terlepas membahasakan dirinya mak.
            Raihan terharu. Air matanya terasa mahu mengalir. Dia senyum.
            “Yang kau tersenyum ni dah kenapa? Jomlah aku bawak pergi bilik air!” Bengang pula Jamilah melihat Raihan tersenyum-senyum. Entah apa yang menantunya fikirkan, dia pun tak tahu.
            “Saya tak ada rasa nak muntah, puan. Saya dah sihat.” Raihan tak berani mahu memanggil mak. Dia tahu wanita itu tak sedar. Mungkin mamai sebab dikejutkan dari tidur.
            “Kalau tak nak muntah kau nak apa?” Jamilah sudah bercekak pinggang.
            “Saya cuma kejutkan puan. Sekarang dah pukul empat.”
            “Ooo... nak kena masak untuk sahur ni.” Jamilah melangkah keluar dari bilik namun langkahnya terhenti apabila Raihan memanggil. Dia tak menoleh.
            “Terima kasih sebab jaga saya sepanjang malam.”
            Jamilah senyum. “Jangan nak fikir yang bukan-bukan. Aku jaga kau bukan sebab risaukan kau. Aku takut Khidir salahkan aku pulak kalau apa-apa berlaku kat kau.”
            Raihan memandang langkah Jamilah dengan senyuman lebar. Dia tak kisah dengan jawapan emak mentuanya. Yang penting hatinya terasa cukup tenang pagi itu. “Kalau macam ni, hari-hari jatuh sakit pun aku tak kisah!” Dia ketawa perlahan. Masih terasa urutan lembut Jamilah di kepalanya.
*****
“OPAH buat apa tu?” tanya Dinie yang masuk ke bilik Jamilah yang tak berkunci.
“Opah tengah cuba baju raya ni hah. Mak su hadiahkan. Cantik tak baju raya opah?” Jamilah memusing badannya menayang baju kurung biru di depan Dinie yang sudah duduk di atas katil.
Tiap kali raya aidilfitri menjelang, pasti Syakilla akan membelikannya baju. Sepasang baju kurung, sehelai lagi jubah. Tak sangka, pandai betul anaknya mengambil hatinya. Pernah dia mahu memberi duit tempahan tapi anaknya tak mahu terima. Bukannya apa, dia takut anaknya tak cukup duit belanja. Tambahan pula bukannya murah upah menjahit sekarang.
            “Cantik! Opah Dinie cantik sangat. Tapi macam pernah nampak je baju tu.” Dinie mengerut dahi cuba mengingat. Dagunya digaru perlahan.
            Membuntang mata Jamilah. “Pernah tengok kat mana? Ke Dinie pernah nampak orang kat luar yang pakai? Yalah, kat kedai kan banyak kain corak macam ni.” Dia memandang cermin, menilik dirinya. Selepas ini dia mahu mencuba jubah kuning cair pula. Senyuman tersungging di bibir.
            “Haaa... baju nilah yang Dinie nampak kat rumah. Mama yang jahit baju kurung tu dengan jubah.”
            Mati terus senyuman Jamilah. Dia berpaling memandang Dinie. “Mama Dinie pandai menjahit ke?” Dahinya berkerut tak percaya.
            Dinie mengangguk laju. “Ramai orang datang rumah suruh mama jahitkan baju. Baju pengantin pun mama pandai jahit tau, opah.” Bangga dia bercerita tanpa sedar muka Jamilah sudah bertukar bengis.
            “Dinie... Dinie...”
            Suara Fatin kedengaran di luar rumah. “Dinie nak pergi main dululah, opah. Atin dah panggil. Bye, opah.” Cepat dia keluar, tak sabar mahu bermain.
            Hati Jamilah sudah membengkak. Tak sangka selama tiga tahun ini Syakilla menipunya. Baju kurung itu ditanggalkan dengan kasar dan disumbat ke dalam plastik. Empat pasang baju raya yang lepas-lepas juga turut disumbatkan. Kemudian dia keluar dari bilik mendapatkan Syakilla dan Raihan yang sedang mengemas rumah di ruang tamu. Plastik tadi dicampak kasar.
            Terkejut Raihan dan Syakilla. Kedua-duanya memandang Jamilah dan beg plastik yang berisi baju di atas lantai.
            “Kenapa ni, mak? Mak tak suka ke baju yang Killa bagi tu?” tanya Syakilla pelik.
            “Kamu tak payah nak menipu lagilah, Killa. Aku dah tahu semuanya!” Mencerlung matanya memandang Raihan dan Syakilla yang nampak gugup.
            “Tahu apa ni, mak? Killa tak fahamlah.” Takkanlah mak tahu yang baju tu Kak An yang jahit kot? Syakilla telan liur.
            Jamilah menuding jari pada plastik itu. “Tu... baju tu semua perempuan tu yang jahit, kan?” Jari telunjuknya beralih ke muka Raihan. “Dinie bagitahu aku tadi yang perempuan tu tukang jahit! Baju yang kamu bagi tadi perempuan tu yang jahit. Kenapa kamu tipu mak?”
            Syakilla melabuhkan duduk di kerusi. “Kalau Killa bagitahu, mesti mak tak nak terima. Mak kan tak suka Kak An. Apa-apa yang datang daripada dia semua mak tak nak terima. Sebab tu Kak An suruh Killa cakap yang baju tu semua Killa yang bagi.” Dia pandang Raihan yang menunduk. “Kak An cakap, hanya dengan cara ni je dia dapat jalankan tanggungjawab sebagai menantu mak. Hati dia senang bila tengok gambar mak pakai baju-baju yang dia jahit.”
            Dada Jamilah terasa ketat. Sebak mendengar jawapan Syakilla. Memang dulu dia tak sukakan Raihan tapi kini hatinya sudah berubah. Kalau menantunya sendiri yang memberi sendiri baju itu, sudah tentu dia akan terima. Tapi kini, egonya melarang dia mengambil baju itu. Sudah dicampak, malulah kalau diambil balik. “Aku tak nak baju ni semua. Aku tak suka! Lagi-lagi bila dapat tahu perempuan tu yang jahit.” Plastik itu dicapai dan dia berlalu ke dapur. Air mata yang hampir gugur dikesat perlahan.
            “Raya nanti nak pakai baju apa kalau mak buang baju tu? Lagi dua hari nak raya ni mana ada orang yang ambil tempahan dah.” tanya Syakilla yang turut mengekor Jamilah ke dapur.
            “Tak ada baju raya pun aku tak kisahlah! Baju lama ada, aku boleh pakai.” Plastik yang sudah diikat kemas dicampak di tepi tong sampah.
            “Puan...”
            Lamunan Jamilah tentang kisah semalam terbang melayang. Dia pandang Raihan yang berdiri di sebelahnya. “Haaa... nak apa?!” Garang dia bertanya, mahu menutup rasa malu apabila ditangkap ketika mengelamun.
            “Tu... nasi impit dah masak.” Raihan memuncungkan mulut ke arah periuk noxxa. Dari tadi dia perasan Jamilah asyik termenung. Tak tahu apa yang mengganggu fikiran emak mentuanya. Dia berlalu ke meja makan, menyambung mengupas bawang.
            Jamilah meletakkan nasi impit ke dalam penapis besar lantas diletakkan di atas meja makan. Kemudian dia mengambil kelapa yang sudah digoreng, mahu menumbuk untuk dijadikan kerisik. Sambil menumbuk, matanya memandang plastik yang dicampak semalam. Masih tak ada siapa yang usik.
            “Puan... nanti boleh tak masakkan nasi impit goreng untuk saya?”
            Tangan Jamilah yang laju menumbuk kelapa terus terhenti. Dia memusing kepala memandang Raihan yang masih leka dengan bawang.
            “Abang Dir cakap, puan masak nasi impit goreng sedap. Teringin pulak saya nak merasa. Selama ni saya tak pernah tahu pun pasal masakan tu.” Nasi impit di atas meja dipandang. Ada lagi lima jam sebelum berbuka. Dia berharap Jamilah menunaikan keinginannya.
            “Kau ingat kau tu anak raja ke nak suruh aku masakkan untuk kau?” Jamilah terus menumbuk kelapa. Sekali lagi egonya menghalang dia bersetuju dengan keinginan Raihan. “Nak bermanja dengan aku konon... pergilah bermanja dengan mak angkat kau kat KL tu. Suruh dia masakkan untuk kau. Jangan nak menyusahkan aku pulak! Elok aku sihat sebab esok nak raya, terus jatuh sakit sebab melayan kerenah kau!”
            Tak semena-mena air mata Raihan mengalir. Entah kenapa dia berasa sangat sensitif hari ini. Terasa pedih mendengar kata-kata Jamilah. Dia sedar siapa dirinya. Memang dia bukan menantu pilihan. Kerana menikahinya, Khidir dihalau dari rumah tujuh tahun dulu. Dia sudah tak tahu macam mana lagi mahu mengambil hati emak mertuanya. Mungkin dia sudah gagal.
            Jamilah nampak Raihan mengelap air mata. Sengaja dia mengeraskan hatinya. Memandangkan esok sudah raya, dia berniat mahu memohon maaf esok saja. Raya tahun ini dia terasa mahu makan rendang air tangan menantunya tapi mulutnya berat mahu meminta.
            “Mak ni, bukannya berat pun permintaan Kak An. Suruh masakkan nasi impit goreng je pun. Tak adanya mak nak jatuh sakit.” Syakilla menyampuk. Dia bukan sengaja mahu mencuri dengar, tapi dia terdengar ketika mahu turun ke dapur tadi.
            Batu lesung dihentak kasar. “Kalau kamu kesian sangat kat dia, kamu jelah yang masakkan untuk dia!”  Jamilah menjegil memandang Syakilla yang berdiri di sebelahnya. Kehadiran anaknya itu tepat pada masanya. “Tak ada mood aku nak memasak. Kamu berdua masaklah sendiri. Aku nak pergi buang sampah. Semak mata aku ni tengok plastik baju tu tak berbuang!” Dia melangkah mendapatkan tong sampah.
            “Ek eh... mak ni nak marah-marah pulak. Esok nak raya, tak baik marah-marah. Nanti Pak Cik Sudin kedai runcit tu takut nak masuk meminang.” Syakilla ketawa. Sengaja dia mahu menceriakan suasana dapur yang muram. Bukan dia tak tahu Pak Cik Sudin sukakan emaknya. Tiap kali dia pergi kedai asyik bertanyakan emaknya.
            “Aku tonyoh mulut kamu dengan sampah ni kang... cakaplah merapu lagi!” Jamilah tak suka dikenenkan dengan sesiapa. Dia selesa dengan hidupnya sekarang. “Si Sudin pekak tu nak dikenankan dengan kita? Hesy, tak kuasa aku dah tua-tua ni nak naik pelamin. Rumah kata pergi, kubur kata mari.” Dia berlalu dari dapur.
            Raihan turut ketawa. Terubat sikit rasa kecewanya mendengar lawak Syakilla. Sayu matanya memandang plastik yang berisi baju di tangan kiri Jamilah.
            “Kak An jangan sedih-sedih eh, nanti Killa masakkan nasi impit goreng untuk akak.” Syakilla mengusap bahu Raihan.
            “Tak apalah, Killa. Akak dah tak terasa nak makan.” Yang tekak dia mahu hanya air tangan emak mentuanya, bukan orang lain. Entahlah, tekaknya makin mengada-ngada pula sekarang.
            “Abang Dir jadi ke balik esok?” Syakilla menukar topik. Dia menyambung tugasan yang emaknya tinggalkan tadi.
            “Jadi... lepas subuh dia geraklah balik sini.”
            Masing-masing terus larut dengan kerja memasak.
*****
JAMILAH menarik keluar helikopter kawalan jauh yang Khidir simpan di atas kabinet dapur. Kemudian dia membawa ke laman rumah. Apabila mendapat mimpi yang dia sedang bermain helikopter mainan dengan seorang kanak-kanak lelaki, terus dia terasa mahu bermain helikopter kawalan jauh lewat malam itu juga. Memandangkan semua penghuni di dalam rumah sudah nyenyak tidur, bolehlah dia bermain dengan aman.
            Dia berdiri agak jauh sedikit dari pangkin, berhampiran dengan jalan raya. Helikopter itu mula dimainkan seperti yang diajar oleh Khidir. Makin suka hatinya apabila melihat helikopternya makin naik ke udara. Leka dia bermain sampai tak sedar Raihan sedang memerhati di pangkin.
            Raihan senyum. Ketika mahu masuk ke bilik sebaik saja minum air di dapur tadi, dia pelik melihat pintu rumah ternganga. Manalah tahu ada perompak ke yang masuk. Musim raya ni memang banyak kes pecah rumah. Sudahlah perempuan saja yang ada dalam rumah itu. Apabila dia meninjau ke luar, dia nampak Jamilah sedang mendongak ke langit. Ingatkan apalah yang emak mentuanya sedang buat, rupanya sedang bermain helikopter kawalan jauh. Memandangkan rasa mengantuknya sudah hilang, dia memilih untuk duduk di pangkin, melihat emak mentuanya bermain.
            Pom! Pom! Pom!
            “Ooo... cantik berseri-seri... tua dan muda berpakaian serba baru... ooo... sungguh meriahnya... miskin kaya pun turut bergembira. Menjelang hari raya, berakhirnya puasa...” Alat kawalan jauh jatuh terhempas ke tanah sewaktu Jamilah melatah sambil menyanyi lagu raya. Siap dengan pakej berjoget sekali apabila terdengar bunyi mercun yang kuat.
            Raihan yang melihat sudah ketawa tapi dikawal nada ketawanya supaya Jamilah tak sedar kehadirannya di situ. Latahan emak mertuanya kali ini memang menggeletek urat perutnya.
            “Yang aku nyanyi lagu raya ni dah kenapa?” Jamilah menggaru kepala. “Tak guna betul budak-budak ni. Tengah malam pun sibuk nak main mercun. Terkejut aku dibuatnya. Nasib baik tak ada orang nampak aku berjoget!” Alat kawalan jauh dicapai, dia mendongak ke langit mencari helikopternya. Tapi dia pelik apabila helikopter itu terbang menuju ke arahnya.
            Alat kawalan jauh ditekan. Dia belum puas bermain lagi tapi banyak kali dicuba pun alat kawalan jauh itu seperti tak berfungsi. Helikopter itu pula masih terbang menuju ke arahnya. Makin lama makin hampir. Dia yang sudah cuak mula membuka langkah. Nak mampus kalau berdiri lagi kat situ? Silap-silap dia boleh mati!
Lariannya cuba dilajukan lagi mahu menuju ke rumah. Sekejap-sekejap dia pandang ke belakang. Peluhnya pula makin melimpah. Dia pernah terbaca ada seorang kanak-kanak mati terkena bilah helikopter kawalan jauh. Dia tak mahu mati lagi sebelum meminta maaf pada Raihan. Dia mahu mendengar sendiri menantunya mengatakan yang dia sudah memaafkannya.
            Bayangan Raihan mula berpusu-pusu masuk ke laman minda. Ternampak kembali muka sedih menantunya apabila dia tak mahu memasakkan nasi impit goreng. “Maafkan mak, An... ya Allah, selamatkanlah aku,” ucapnya perlahan. Dia memejam mata apabila helikopter hampir merempuh kepalanya. Sempat dia mengucap dalam hati. Tiba-tiba dia terasa lengannya ditarik ke kanan dan dia jatuh mengiring ke tanah.
            Jamilah membuka mata. Dia bersyukur yang dia masih diberikan peluang untuk bernafas. Dia nampak helikopter itu hancur terhempas ke tangga rumahnya. Kemudian dia memandang orang yang telah menyelamatkannya.
            Raihan!
            Muka Raihan berkerut. Ari-arinya tiba-tiba terasa sakit. Mungkin kerana terjatuh ke tanah. “Puan tak apa-apa? Suaranya tertahan. Dia lega apabila melihat gelengan Jamilah. “Arghhh!” Perutnya dipegang. Rasa sakit itu terasa mencucuk.
            “Kenapa ni?” Jamilah risau.
            “Sakit, puan...” Air mata Raihan mengalir keluar. Pandangannya mulai kabur dan dia sudah tak ingat apa-apa lagi.
            “Ya Allah, darah!” Jamilah cuak apabila terpandangkan darah yang mengalir di celah kaki Raihan yang berbaju kelawar lengan panjang.
*****
RAIHAN membuka mata. Wajah pertama yang dia nampak adalah Khidir. “Abang...”  Dia bersuara lemah. Dia cuba untuk bangun tapi ari-arinya terasa sakit. Wajahnya berkerut.
            “Jangan bayak bergerak, sayang. Badan sayang tak kuat.” Khidir mendudukkan Raihan di kepala katil. Dahi isterinya dikucup lama.
            “Bila abang sampai?” tanya Raihan sebaik saja menyalami tangan Khidir.
            “Pukul lapan pagi tadi. Rasa macam nak tercabut nyawa abang bila Killa bagitahu sayang masuk hospital.”
            “Maknanya hari ni hari raya la?”
            Khidir mengangguk.
            “Puan macam mana?” Matanya tercari-cari kelibat Jamilah namun hanya ada dia dan Khidir saja di wad itu.
            “Mak okey. Kejap lagi mak sampailah tu. Terima kasih, sayang.” Tangan kanan Raihan diraih dan dikucup. “Terima kasih sebab selamatkan mak abang. Dan terima kasih sebab sudi bagi Dinie adik.”
            Raihan mengerut dahi, tak faham maksud ucapan terima kasih yang kedua itu. “Maksud abang?”
            “Our little caliph is here.” Khidir menyentuh perut Raihan.
            “Membuntang mata Raihan. “Betul ke, bang? Tapi tiap bulan An datang bulan cuma beberapa bulan ni datang sekejap je. Dalam empat hari macam tu. Takkan la An mengandung pulak?
            “Bunting pelanduk, sayang... doktor kata sayang mengandung empat bulan. Kandungan sayang selamat sebab tumpah darah sikit je. Nasib baik mak cepat bawak sayang pergi hospital.”
            Air mata Raihan mengalir. Terima kasih, ya Allah... terima kasih sebab selamatkan kandunganku, doanya dalam hati. Tangannya mengusap perut perlahan. Anak mama...
            “Patutlah abang mengidam nak makan pajeri rambutan, rupa-rupanya sayang mengandung.”
            “Mak pulak dapat mimpi main helikopter dengan budak lelaki. Agaknya anak kedua Dir tu lelaki tak...” Jamilah menyampuk sambil melangkah masuk ke wad diikuti Syakilla dan Dinie.
            Raihan terpaku melihat Jamilah memakai jubah yang dijahitnya. “Bukan ke baju tu puan...”
            “Mak tak buang pun. Mak simpan balik masa nak buang sampah semalam.” Jamilah melabuhkan duduk di sisi katil.
            Raihan terharu mendengar perkataan mak yang keluar dari mulut Jamilah. “Terima kasih, puan sebab sudi pakai jubah yang saya jahit.”
            Jamilah menutup mulut Raihan. “Bukan puan... tapi mak. Jangan panggil mak puan lagi. Mak sebenarnya dah lama terima An tapi ego mak yang halang mak dari minta maaf. Di hari raya yang mulia ni, mak susun sepuluh jari mohon ampun pada An. Terima kasih sebab selamatkan mak. Kalau An tak ada masa tu, mesti mak tak boleh sambut raya dengan anak, menantu dan cucu mak hari ni.” Air mata Jamilah mengalir. Dia menggenggam erat tangan menantunya.
            Syakilla dan Khidir tersenyum sebak melihat drama itu.
            Raihan mendepakan tangan dan memeluk Jamilah kejap. “Mak...” Dia tersedu-sedan. “Dah lama An nak sebut panggilan tu. Akhirnya, hari ni mak bagi An peluang. Terima kasih, mak sebab sudi terima An. An tahu An bukan menantu pilihan mak.”
            Jamilah melepaskan pelukan.
            “An tahu An ni jahat sebab dah hancurkan hati mak. An jahat sebab pisahkan mak dengan abang. An jahat sebab...”
            Jamilah menutup lagi mulut Raihan. Dia menggeleng kepala. “Dah, sayang... An tak bersalah. Mak yang salah. Mak memang tak pandai menilai. An sebenarnya baik sangat. An menantu yang baik. Selalu ikut apa yang mak cakap. Silap mak terlalu bencikan kaum Cina sampai An pun kena tempiasnya.” Dia menarik nafas. Sudah tiba masanya dia membongkar kisah silamnya.
            Raihan mengerut dahi.
            “Dulu mak ada seorang kawan Cina perempuan. Nama dia Ah Teng. Satu hari dia ajak mak teman dia pergi hospital sebab ayah dia sakit tapi tempat lain yang dia bawak.
“Dia bawak mak kat mana?” Syakilla menyampuk.
“Dia bawak mak kat rumah lintah darat dan dia jual mak sebab abang dia tak dapat bayar hutang Ah Long tu. Lepas tu ketua lintah darat tu nak rogol mak tapi mak sempat ketuk kepala dia dengan kayu dan lari keluar. Nasib baik anak-anak buah dia tengah tidur masa tu. Kalau tak, tak tahu apa yang jadi pada mak. Masa tu mak lari sekuat hati bila nampak anak-anak buah dia dah mula kejar. Nasib mak baik sebab terserempak dengan kereta peronda polis. Polis tu terus tangkap lintah darat tu dan hantar mak balik rumah.” Jamilah berjeda. “Sejak tulah mak tak suka dengan orang Cina. Bila Dir bawak An datang ke rumah dulu, mak terus teringat balik kejadian tu. Kawan baik sendiri sanggup jual mak demi kepentingan sendiri.”
Raihan terkejut. Dia tak menyangka Jamilah mempuanyai kisah silam seperti itu. Patutlah emak mentuanya membencinya. “Dahlah, mak... tak payah ingat balik kisah tu. Mak dah terima An pun An dah cukup bersyukur. Kita bukak buku baru ya, mak? Selamat hari raya.” Dia mencium tangan Jamilah, kemudian pipinya dicium oleh emak mentuanya.
Jamilah mengesat air mata. “Ni mak ada masakkan nasi impit goreng. Semalam cucu mak ni mengidam nak makan, kan?” Dia mengusap perut Raihan. Bekas makanan dibuka lantas menyuap nasi impit goreng ke mulut Raihan.
Terpejam mata Raihan saat makanan itu masuk ke mulutnya. “Hmmm... sedapnya mak... terima kasih sebab masakkan untuk An.”
“Dir mak tak nak suapkan ke? Dir pun mengidam jugak ni. Dah tujuh tahun tak makan nasi impit goreng mak ni tau!” Khidir berpura-pura merajuk.
“Alah... buruk benau bapak budak ni merajuk. Nah, mak suapkan.” Jamilah ketawa. Nasi impit goreng turut disuap ke mulut Khidir.
Eee... baba tak malu... dah besar pun nak suruh opah suap.” Dinie mengejek.
“Biarlah... opah sayang baba. Kan, opah?” Khidir memeluk bahu Jamilah. Dagu disangkut pada kepala emaknya. “Kenapa mak masak sikit sangat? Mana puas nak makan,” rungutnya manja.
Jamilah menepuk perlahan lengan Khidir. “Ni mak buat untuk orang mengandung. Orang tak mengandung balik nanti makanlah puas-puas. Nak makan sambil terlentang ke apa, ikut suka kamulah. Dinie nak sikit?” Dinie yang sedang ketawa itu dipandang.
“Nakkk!” Luas dia nganga menanti suapan daripada opahnya. Habis saja mengunyah, dia mengusap perut Raihan. “Adik, sedap kan opah masak... keluar cepat-cepat tau, adik... nanti boleh main dengan kakak.” Perut mamanya dikucup. “Hmmm... sayang adik kakak ni.”
Raihan senyum. Penerimaan emak mentuanya adalah hadiah paling bermakna dalam hidupnya. Dia bersyukur segala yang keruh berjaya dijernihkan. Baginya, raya tahun ini merupakan raya paling indah. Dan dia bersyukur masih diberi peluang untuk mengandung lagi. Moga keluarganya dilimpahi kasih sayang yang melimpah ruah.

~TAMAT~

14082012-12082015
17:10

M.A.A.F.
Nampak mudah tapi sukar untuk melafazkannya
Jika tak diruntuhkan ego, tali perhubungan itu akan makin reput dimamah hari
Mohon maaf bukan menunjukkan kita lemah tapi menonjolkan keberanian kita
Dinding-dinding keberanian perlu dibina untuk mengait semua tali perhubungan itu
Sempena aidilfitri yang mulia ini, sama-samalah kita bermaaf-maafan
Buang yang keruh, ambil yang jernih
Kosong-kosong
Inikan raya! =P

~Waisya Carissa~

p/s: Akhirnya siap jugak cerpen raya yang dah 3 tahun digantung tak bertali. Terima kasih kepada yang sudi membaca cerpen yang mengarut ini. Maaf kalau ada yang rasa cerita ni bosan sangat. Dah 3 tahun tak menulis, otak terasa tumpul. Maka terhasillah cerita yang serba kekurangan ini.

Di kesempatan ini... walaupun esok last raya... WC nak ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Dan Batin. Belog ni dah lama bersawang. Tak tahulah ada yang baca ke tak.