Followers

Thursday 24 October 2013

Cerpen: Aku Sebuah Telefon Pintar

NAMAKU Blackberry Torch 9800. Aku telah dirasmikan pada 4 Ogos 2010. Aku mempunyai pelbagai fungsi iaitu boleh melayari internet, boleh memuat turun apa saja, mempunyai bateri yang tahan lama dan banyak lagi. Aku dan kawan-kawanku telah ditempatkan di sebuah pusat membeli-belah yang aku sendiri tak tahu namanya.
            Suatu hari ada seorang lelaki merenungku tajam. Mungkin dia suka dengan aku yang berwajah cantik ini dan aku lihat dia menyuruh jurujual mengeluarkan aku dari cermin kaca. Aku tersipu-sipu malu apabila dia membelekku. Selepas membuat tawar-menawar, lelaki itu mengeluarkan duit dan membayar hargaku. Kemudian dia membawa aku keluar dari kedai itu. Sedih hati aku apabila terpaksa meninggalkan kawan-kawan. Tapi aku berjanji kepada diri yang aku akan berusaha berkhidmat dengan baik  untuk tuanku.
                                                                        *****
AKU dibawa ke sebuah rumah mewah. Sebaik saja tuanku melabuhkan duduk di sofa, dia memanggil seseorang yang bernama Laili. Beberapa minit kemudian turun dua orang remaja perempuan mendapatkan tuanku. Tuanku menyerahkan aku kepada remaja perempuan yang bernama Laili dan berkata kepada seorang lagi remaja perempuan yang bernama Laila bahawa dia akan membelikan telefon bimbit untuk Laila apabila tiba hari lahirnya nanti.
            Laila aku lihat berwajah masam apabila melihat kakaknya membelek-belek aku. Sebelum tuanku yang sebenar mahu melangkah ke atas, ayah tuanku sempat berpesan agar tidak membawa aku ke sekolah, belajar bersungguh-sungguh dan tidak leka bermain dengan aku.
                                                                        *****
KEESOKAN harinya, tuan aku mengingkari arahan ayahnya. Dia telah curi-curi membawa aku ke sekolah. Apabila tiada guru yang masuk mengajar, dia mengeluarkan aku dari poket baju kurungnya dan menayang aku kepada rakan sekelasnya. Tuanku memberitahu rakan sekelasnya yang aku dibeli sempena hari lahirnya yang ke tujuh belas tahun.
            Semua rakan-rakannya mengelilingi tuanku untuk melihat aku. Tuanku mula menunjukkan betapa canggihnya aku. Dia mula membuka laman sosial facebook. Tuanku mula mengemaskini statusnya.

Hari kedua bersama blackberry torch...

Beberapa saat kemudian ramai rakan yang menyukai status tuanku itu dan ada juga yang memberi ulasan.
            Selepas itu, tuanku memuat turun lagu yang diminta rakan sekelasnya. Bermacam-macam lagu dan video yang boleh dimuat turun kerana aku mempunyai memori yang besar untuk menyimpan segala jenis lagu dan video. Apabila loceng rehat dibunyikan, tuanku mahu menyimpan aku semula untuk mengisi perut di kantin sekolah tapi rakan lelaki tuanku yang bernama Fahmi menghalang. Dia meminta izin untuk meminjam aku sebentar. Tanpa berfikir panjang, tuanku menyerahkan aku kepada Fahmi dan memintanya agar menjaga aku.
            Sebaik saja tuanku keluar dari kelas, Fahmi dan dua orang lagi rakannya mengelilingiku. Mereka kemudiannya ketawa sebelum membuka laman youtube. Aku menyangka mereka hanya ingin menonton video klip lagu-lagu tapi aku mula berasa marah apabila mereka mengambil kesempatan ke atas kecanggihan aku dengan menonton video porno. Memang aku bangga dengan kecanggihanku tapi aku tak suka jika aku disalahgunakan seperti yang dibuat oleh Fahmi!
Tujuan aku dicipta adalah untuk memudahkan sesiapa yang menggunaku, bukan untuk merosakkan akhlak pengguna! Sekiranya aku mempunyai tangan seperti manusia, mahu saja aku memulas telinga ketiga-tiga rakan sekelas tuanku ini.
“Awak bertiga buat apa tu?”
            Fahmi dan dua orang lagi rakannya terkejut apabila mendengar sergahan satu suara. Rupa-rupanya guru disiplin sedang meronda di kawasan kelas untuk memastikan semua pelajar turun ke kantin. Fahmi kelam-kabut menyimpan aku di bawah meja tanpa sempat mematikan video yang dia lihat tadi.
            Guru disiplin itu menghampiri meja yang diduduki Fahmi dan dua orang rakannya. Kemudian dia menyelukkan tangan ke bawah meja untuk melihat apa yang cuba disembunyikan oleh Fahmi. Terbeliak mata guru itu apabila melihat apa yang sedang Fahmi dan dua orang rakannya tonton tadi. Kemudian guru itu memarahi Fahmi dan dua orang rakannya kerana telah melakukan dua kesalahan iaitu membawa benda terlarang ke sekolah dan menonton video yang tak sepatutnya.
            Fahmi dan dua orang rakannya meminta maaf dan menjelaskan bahawa aku ialah milik tuanku, Laili.
            Guru itu meminta Fahmi menyampaikan kepada tuanku, sekiranya tuanku ingin mendapatkan aku kembali, dia diminta membawa ibu atau bapanya. Kemudian aku dibawa ke sebuah bilik yang paling digeruni pelajar, iaitu bilik disiplin, di mana pelajar yang melakukan kesalahan akan didenda. Aku dibungkus di dalam kertas surat khabar sebelum disimpan di sebuah tempat yang aku sendiri tak tahu kerana keadaan aku yang berbungkus menyukarkan aku untuk mengecamnya.
                                                                        *****
AKU terasa badanku diangkat lalu diletakkan di atas benda keras. Kertas surat khabar yang membaluti tubuhku dibuka. Pandangan aku mula cerah kembali. Kemudian aku diserahkan kepada ayah tuanku. Aku gembira apabila dapat kembali semula kepada tuanku.
Sebelum tuanku masuk ke kelas, Ayah tuanku sempat memarahinya kerana telah mengingkari arahan. Dia juga sempat memberi amaran sekiranya tuanku masih lagi membawa aku ke sekolah, dia tak akan menyerahkan aku kepada tuanku lagi.
                                                                        *****
HARI demi hari, tuanku semakin leka bermain dengan aku sehingga menyebabkan markah peperiksaannya merosot. Keadaan ini menyebabkan kedua-dua orang tua tuanku memarahinya. Aku dirampas oleh ayah tuanku dan dia telah membuat keputusan mahu menyerahkanku kembali kepada tuanku apabila markah peperiksaannya meningkat semula. Kemudian aku dibawa keluar dari bilik tuanku lalu diletakkan di dalam almari perhiasan di ruang tamu. Kemudian ayah tuanku berlalu ke biliknya.
            Laila yang melihat ayahnya meletakkan aku di situ, segera bangun dan menghampiri almari perhiasan. Almari itu dibuka lalu aku dikeluarkan. Senyuman lebar tersungging dibibirnya. Dia mula berlari menaiki tangga lalu masuk ke biliknya. Laila memasukkan kad simnya ke dalam badan aku, kemudian dia memperagakan dirinya di hadapan cermin sambil memegang aku.
                                                                        *****
PETANG itu, Laila membawaku keluar tanpa pengetahuan tuanku dan ibu bapanya. Aku dibawa ke pusat beli-belah. Di situ dia dan rakan-rakannya menonton wayang. Selesai menonton wayang, Laila menggunakan aku untuk menangkap gambar untuk diletakkan di facebook. Kemudian Laila dan kawan-kawannya membawaku masuk ke pusat bowling.
            Ketika sedang asyik bermain, tiba-tiba perut Laila memulas dan dia meminta rakannya menemaninya ke tandas. Setelah selesai membuang hajat, belum sempat Laila menekan pam tandas, aku telah menggelongsor dari poket baju sejuknya lalu masuk ke dalam lubang tandas. Wajah Laila sudah bertukar cemas. Dia membuka pintu tandas lalu memanggil rakannya untuk mengambilku.
            Rakannya menayang muka kegelian sambil menutup hidung kemudian dia keluar dari tandas itu. Apabila dia terpandang tukang cuci yang baru saja memasuki tandas, dia meminta tukang cuci itu mengambilku dari lubang tandas.
            Dengan memakai sarung tangan dan tanpa rasa jijik, tukang cuci tandas itu mengambil aku. Kemudian dia mengambil tisu yang tergantung lalu mengelap badan aku. Setelah membersihkan aku, dia menyerahkan aku kepada Laila namum Laila tak mahu menyambut aku.
            Laila meminta tukang cuci itu memasukkan aku ke dalam plastik supaya mudah untuk dia membawa aku pulang kerumah.
                                                                        *****
DI RUMAH, teruk Laila dimarahi oleh kedua-dua ibu bapanya kerana mencuri aku tanpa pengetahuannya. Tuanku pula kelihatan sedih apabila melihat keadaan aku yang busuk dan sudah rosak. Ayah tuanku berjanji akan membaiki aku tapi tuanku tak mahu dan dia memberontak mahukan telefon yang baharu. Akhirnya wajah tuanku bertukar ceria semula apabila ayahnya bersetuju dengan permintaannya. Kali ini ayahnya berjanji akan membelikan Laila sekali kerana tak mahu perkara yang sama berulang lagi.
            Tuanku mula mencapai aku yang berada di tangan Laila lalu membawa aku ke bilik stor. Aku diletakkan di bilik stor yang gelap lagi penuh dengan barang-barang lama.  Aku sedih kerana tuanku sudah tak sayangkan aku lagi. Tetapi aku tetap gembira apabila tuanku tak membuang aku jauh darinya.


~TAMAT~

 p/s: Dari tahun 2012 buat cerpen ni dan dapat 5 mukasurat. Bila buat cerpen ni tiba-tiba teringat zaman sekolah rendah dulu... dah lama tak buat karangan autobiografi ni... hehehe... Daripada biarkan belog bersawang, WC tepek karangan ni kat sini... 
Enjoy reading dan selamat mengenang kenangan zaman sekolah rendah...