Followers

Sunday 14 August 2011

Cerpen: Pertama Ramadan

Edited Version


 AKU labuhkan duduk di kerusi di balkoni. Aku senyum memandang perut yang sudah membesar. Perlahan aku mengusap perut yang mencecah sembilan bulan tiga hari. ikut jangkaan, lagi seminggu aku akan melahirkan.
Peringkat awal kehamilan aku alami alahan yang teruk. Langsung tak boleh hidu wangian yang suami aku pakai. Sejak tu Zarif membuang semua minyak wanginya. Apabila aku cuba melarang, jawapan yang diberikan,
“Minyak wangi boleh dibeli tapi Arissa Damia hanya satu, tiada galang ganti.”
Memang tersentuh kot masa tu. Aku bersyukur sangat dapat suami seperti Syed Zarif Uwais. Aku harap dengan kehadiran anak yang bakal lahir akan mengeratkan lagi hubungan kami yang memang sudah sedia erat.
            “Sayang buat apa kat sini?” Zarif yang sudah lengkap berpakaian pejabat duduk di depanku.
            “Mia nak tunggu matahari naik. Cahaya matahari kan baik untuk kandungan. Abang dah nak pergi kerja ke?”
            “Haah tapi sebelum tu abang nak cakap sikit dengan orang dalam ni.” Zarif merapatkan telinganya ke perutku.
“Anak papa jaga mama elok-elok ya, jangan nakal-nakal. Kalau nak tendang, tendang perlahan-lahan. Jangan sakitkan mama tau.” Zarif mengusap perut aku lantas mengucupnya.
            Aku hanya tersenyum.
“Abang pergi kerja dulu ya.” Zarif bangkit diikuti aku dari belakang.
            “Sayang duduk je dalam bilik ni. Abang boleh turun sendiri. Ingat tak apa pesanan abang?” Zarif menyoal semula pesanan yang pernah dia berikan pada aku.
            “Ingat...” jawabku lemah.
            “Apa dia?” Zarif mengangkat sebelah keningnya mahu mendengar jawapan aku.
            “Mia tak boleh keluar bilik...”
“Lagi?” Zarif mengeluarkan ibu jari sebaik saja aku memberikan jawapan.
“Tak boleh buat kerja rumah...”
“Lagi?” Jari telunjuk pula dikeluarkan.
“Tak boleh angkat benda berat termasuk bangku meja solek yang tak berapa nak berat tu,” jawab aku sedikit menyindir.
Good girl!” Dia menggosok keplaku.
“Kalau tolong ummi masak boleh kan, bang?” Bosan asyik terperap kat dalam bilik.
Masuk hari ini, dah tiga bulan aku tak jejakkan kaki ke tingkat bawah. Jangan kata ke bawah, nak ke gazebo luar rumah pun dia tak bagi. Bila waktu makan, makanan akan di bawa naik ke bilik. Naik segan pula aku. Bukannya teruk sangat pun mengandung ni sampai semuanya nak berhantar ke bilik. Nasiblah aku dapat mak mentua yang sporting.
            “Tak boleh, sayang. Rehat je dalam bilik.”
            Aku mengeluh perlahan.
“Nanti apa pulak kata ummi kalau Mia tak tolong kat dapur. Dahlah sejak Mia mengandung ni abang larang Mia buat kerja rumah.” Takkanlah aku nak goyang kaki saja biarkan ibu mentua terkontang-kanting kat dapur?
            “Ummi tak kisah. Dia cuma nak Mia berehat je,” ujar Zarif lembut.
            “Kalau nak tolong ummi memasak tak boleh, siram pokok bunga boleh, kan? Lagipun, bukan berat sangat nak menyiram, just angkat getah dan siram je. Boleh ya, bang?” Aku cuba lagi. Memang bosan asyik terperap kat dalam bilik. Macam burung kena kurung dalam sangkar pun ada.
            “Tak boleh. Sayang dah lupa ke apa yang berlaku pada sayang tiga bulan lepas? Abang tak nak perkara tu berlaku lagi. Ini untuk kebaikan sayang dan bakal anak kita jugak. Sayang dengar cakap abang ya?” pujuk Zarif.
            Aku mengangguk lemah. Tangannya aku salam. Dia mengucup dahiku, kemudian dia melangkah keluar dari bilik.
Aku menghantar pemergiannya dengan pandangan mata. Sebaik saja pintu bilik ditutup, aku melemparkan pandangan ke luar balkoni. Kejadian enam bulan lepas mula menari-nari di mindaku.
Aku mencapai getah, buka pili air lalu mula menyiram pokok bunga di laman rumah banglo dua tingkat. Kandunganku baru berusia enam bulan. Aku berjalan dan berjalan memandikan pokok-pokok bunga yang baru mengeluarkan bunganya. Tiba-tiba kakiku terpijak sesuatu yang licin. Badanku sudah terhuyung-hayang. Makin lama makin ke belakang.
            “Arrggghhh!!!” Aku menjerit sambil memejamkan mata. Tak sanggup nak lihat apa yang bakal terjadi. Ya Allah, selamatkanlah aku dan kandunganku.
Aku terasa ada sesuatu yang menahan badanku daripada jatuh menyembah tanah. Perlahan-lahan aku membuka mata.
            “Abang!” Rupanya Zarif yang menahan badan aku dari jatuh tadi. Wajah aku sudah pucat mengenangkan insiden sebentar tadi.
            “Sayang tak apa-apa?” soal Zarif cemas. Dia mula menegakkan badanku.
            “Tak...” Aku menjawab sepatah. Nafas lega aku lepaskan.
            “Selipar sayang licin ke?” soalnya.
            Aku menggeleng kepala.
            “Habis tu, macam mana boleh nak tergelincir?”
            “Mia terpijak apa benda entah tadi.  Licin semacam je.
            Zarif membongkokkan badan mencari benda licin yang aku katakan tadi. Kemudian dia mengutip sesuatu di tanah.
Aku menghampirinya untuk melihat benda yang membuatkan aku hampir kehilangan bayi yang kukandung.
“Guli?” Aku mengerut dahi.
            “Ni mesti kerja Alif. Hai budak ni, dah main tak reti nak simpan balik!” Zarif melangkah masuk ke dalam rumah dengan wajah merah menahan marah.
            Aku mengekorinya dari belakang.
            “Alif, kenapa sepahkan guli kat laman tu? Mak Su nak terjatuh tadi tau!” Zarif marah anak buahnya yang berusia 10 tahun.
            Alif yang sedang menonton kartun di ruang tamu, terkejut.
Sorry, Pak Su. Alif betul-betul terlupa nak simpan balik semalam. Alif sakit perut, tinggalkan sekejap nak pergi tandas, lepas tu terus terlupa. Sorry ya, Mak Su, Pak Su...” Alif menundukkan mukanya.
            “Apa hal yang bising pagi-pagi ni Rif?” soal ibu mertuaku yang tiba-tiba muncul di ruang tamu itu.
            “Ummi tahu tak, tadi Mia hampir tergelincir sebab guli Si Alif ni. Nasib baik Rif ada kat luar tadi.” Mata Zarif masih tak beralih ke wajah Alif.
            “Ya Allah! Mia tak apa-apa ke? Ada sakit kat mana-mana?” Ummi mendapatkan aku.
            “Mia tak apa-apa ummi. Tak sempat jatuh pun tadi.” Aku meyakinkan. Tak mahu ummi risau.
            “Syukur alhamdulillah. Alif, mulai hari ni nenek tak nak tengok Alif main guli kat laman lagi. Kalau nak main jugak, main kat dalam bilik je.” Ummi sudah mengeluarkan arahan.
            Muka Alif berubah muram. Aku dapatkan Alif lalu duduk di sebelahnya. Kepalanya aku gosok perlahan.
            Alif memanggung kepalanya melihat aku. 
"Mak Su, maafkan Alif ya? Alif tak sengaja. Alif janji takkan main guli kat laman rumah lagi,” janjinya sambil mengangkat tangan paras bahu.
“Sudahlah, tak ada apa-apa yang berlaku pada Mak Su pun. Alif nak air tak? Mak Su nak ke dapur ni.”
            “Nak! Mak Su buatkan Alif air milo ya? Sayang Mak Su...” Alif memeluk aku.
            “Amboi-amboi. Manja betul anak ibu ni dengan Mak Su dia!” Kak Ifa, kakak ipar aku muncul di pintu masuk bersama suaminya, Abang Nan.
            “Ibu dah balik!” Alif bangun mendapatkan Kak Ifa. Tangan Kak Ifa dan Abang Nan ditarik lalu dibawa ke sofa berangkai tiga.
            Zarif yang dari tadi berdiri mula duduk sebelah aku.
            “Ibu ni tipulah. Semalam cakap nak bawak Alif joging sekali.” Masam mencuka muka Alif.
            “Bukan ibu tak nak bawak tapi pagi tadi Alif tidur lena sangat, malas ibu nak kejutkan,” terang Kak Ifa. Kemudian dia memandang aku.
 “Apa yang kecoh tadi, Mia?”
            “Tak ada apa-apalah, Kak Ifa, hal kecik je.” Aku malas nak panjangkan cerita.
            “Ya ke tak ada apa-apa? Tadi bukan main riuh lagi suara Rif ni akak dengar kat luar pagar tu.” Kak Ifah memandang wajah Zarif pula.
            “Semalam Alif main guli, terlupa nak simpan balik. Tadi Mia hampir terjatuh terpijak guli tu.” Zarif bercerita. Kali ini mukanya tenang saja.
            “Astaghfirullahalazim... Alif, kenapa cuai sangat ni?” Kak Ifa mula memarahi Alif.
            “Alif tak sengajalah ibu. Perut Alif sakit sangat masa tengah main guli tu. Dah tak boleh tangguh lagi. Lepas tu, cerita kegemaran Alif dah start, langsung Alif terlupa pasal guli,” jelas Alif. Wajahnya ditundukkan kembali.
            “Laillahaillallah... cerita kegemaran dia yang dikejarnya. Tak payah main guli lagilah lepas ni. Mama nak Alif buang semua guli tu. Nasib baik Mak Su tak apa-apa.” Menggeleng kepala Kak Ifa.
            “Mia...”
            Aku tersentak. Pandangan aku alihkan pada muka pintu bilik.
“Eh, ummi... masuklah.” Aku bangkit melangkah ke sofa mendapatkan ummi yang sedang meletakkan dulang berisi sarapan di atas meja kopi.
            Ummi menghulurkan bihun goreng sebaik saja aku melabuhkan duduk di sebelahnya.
            “Ummi, lepas ni tak payahlah ummi hantarkan makanan kat atas lagi.” Aku bersuara selepas menyuap beberapa sudu bihun ke dalam mulut.
            “Kenapa pulak?” soal ummi pelik.
            “Mia ingat Mia nak pindah...”
            “Hah, Mia nak pindah? Kenapa nak pindah? Mia kan lagi beberapa hari je nak bersalin. Tak seronok ke tinggal kat sini?” potong ummi sebelum aku sempat habiskan ayat.
            “Ummi...” Aku pegang tangan ummi.
            “Tak bagus ke layanan ummi ni?” Wajah ummi sudah berubah sedih.
            “Ummi, dengar dulu...”
            “Ummi ada buat salah apa-apa ke kat Mia? Cakap, Mia. Apa yang tak kena dengan layanan ummi ni? Ummi merayu pada Mia, tolong jangan pindah.” Air mata ummi mula mengalir.
            Aku menghemburkan tawa.
            “Kenapa Mia ketawa? Mia suka ya tengok ummi susah hati?”
            “Mia bukan nak pindah rumahlah,” ujarku setelah habis ketawa.
            Air mata ummi serta-merta berhenti.
“Bukan nak pindah rumah? Habis tu tadi kata nak pindah tu?” Ummi mengerut dahi.
            “Mia nak pindah bilik bawah. Segan pulak Mia tengok ummi asyik turun naik tangga je semata-mata nak hantarkan makanan untuk Mia.”
            “La, pindah bilik rupanya. Mia ni buat takut ummi je tau. Lain kali cakaplah terang-terang.” Ummi mengesat air matanya.
            “Mia belum habis cakap, ummi dah potong.” Aku ketawa lagi. Kemudian menyambung suapan yang tergendala sebentar tadi.
            “Esok dah mula puasa. Pejam celik, pejam celik sekejap je masa berjalan.”
            “Sahur esok kita nak masak apa eh ummi?” tanyaku. Teruja nak memasak makanan untuk bersahur esok.
            “Kita?” soal ummi sambil mengerutkan kening.
            “Yalah, kita...” Aku menundingkan ibu jari ke arah aku dan ummi.
            “Pembetulan... yang akan masak lauk sahur esok hanya ummi dengan Kak Ifa je. Mia kan dah sarat, duduk je berehat.”
            “Ala, bolehlah, ummi... lagipun, Mia kan dah pindah bilik bawah. Bukannya angkat benda berat pun. Bolehlah, ummi.” Aku buat muka kesian. Harap-harap ummi cair!
            “Yalah, yalah... cepat makan. Lepas ni ummi tolong pindahkan pakaian Mia kat bilik bawah.”
            Aku mempercepatkan suapan, tak sabar nak jejakkan kaki ke bawah. Usai menghabiskan sarapan, aku bangkit melangkah ke arah almari pakaian.
            “Eh, nak ke mana pulak tu?” tanya ummi.
            “Nak kemas bajulah, ummi. Kan nak pindah bilik bawah.” Pintu almari aku buka, beg sedernaha besar aku tarik keluar. Pakaian yang tergantung aku ambil lalu memasukkannya ke dalam beg. Selesai mengemas, aku mula mengangkat beg itu untuk dibawa turun.
            “Auuu” Aku terjerit apabila ummi memukul tanganku. Terlepas peganganku pada tali beg.
            “Awak tu dah sarat, mana boleh bawak beg berat ni.” Ummi mengangkat beg pakaianku dan melangkah keluar dari bilikku.
            Aku mengekori ummi dari belakang. Perlahan-lahan aku melangkah menuruni tangga. Sebaik sampai di tangga terakhir, langkahku melencong ke luar rumah tanpa memberitahu ummi.  Aku melabuhkan punggung di atas buaian. Mata aku pejam sambil menyedut angin pagi. Rindunya kat laman.
            “Ya Allah, kat sini rupanya kamu, Mia. Puas ummi cari kamu kat dapur tadi.” Ummi menggeleng memandang aku.
            “Nak ambil anginlah, ummi. Dah lama sangat Mia tak jejakkan kaki kat sini. Kejap lagi Mia masuk ya, ummi.” Aku tayang muka comel.
            “Yalah, ummi masuk dalam dulu. Jangan lupa masuk tau.” Ummi melangkah masuk ke dalam rumah.
            Aku melemparkan pandangan ke laman rumah. Esok bermula bulan ramadan. Ingatan kembali melayang pada zaman kanak-kanak di mana pertama kali aku berpuasa.
“Jom kita bersiap, kejap lagi dah nak masuk isyak,” ajak ibu setelah selesai menonton penguman puasa. Kemudian ibu bangkit  menutup televisyen. 
Ayah dan along sudah melangkah ke tangga untuk ke bilik masing-masing. Hanya aku saja yang masih duduk di sofa.
            “kita nak pergi mana, bu?” Yalah, tiba-tiba saja ibu suruh bersiap. Rasanya tak ada pula ibu kata nak pergi berjalan.
            “Kita nak pergi sembahyang terawih. Esok dah mula puasa.” Kepala aku ibu usap perlahan.
            “Sembahyang tewarih tu apa?” Berkerut dahi aku.
            “Bukan tewarih, sayang... terawih. T.E.R.A.W.I.H. terawih ni maksudnya  solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat isyak. Sembahyang terawih ni dikerjakan setelah mengerjakan solat isyak. Hukum mengerjakan sembahyang terawih adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut bagi dikerjakan oleh orang-orang islam lelaki dan perempuan, pada tiap-tiap malam bulan Ramadan, sama ada secara berseorangan atau berjemaah. Sebelum mengerjakan solat terawih, kita mesti baca niat dulu. Niatnya, sahaja aku sembahyang terawih dua rakaat makmum kerana Allah Taala,” terang ibu panjang lebar.
“Cuba Mia ikut balik niat yang ibu sebut tadi,” pinta ibu. 
            “Sahaja aku sembahyang terawih dua rakaat makmum kerana Allah Taala,” sebutku lancar.
            “Pandai anak ibu ni. Kelebihan bersolat terawih pulak, sesiapa yang mendirikan sembahyang terawih dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, semua dosa yang dia buat akan diampunkan,” terang ibu lagi.
            “Min tak siap lagi ke? Tadi beria-ia suruh kami bersiap,” tegur ayah yang sedang menuruni tangga.
            “Nak bersiaplah ni. Min tengah terangkan pasal sembahyang terawih kat Mia ni. Jom Mia, kita bersiap.” Ibu menarik tanganku untuk ke atas.
            Sampai saja di bilik ibu, aku mengekori ibu ke bilik mandi untuk mengambil wuduk. Usai mengambil wuduk dan memakai telekung, aku mengekori ibu turun ke bawah, mendapatkan ayah dan along di ruang tamu.
“Jom kita bertolak,” ajak ibu.
            Ayah dan along mula bangkit lalu mengatur langkah ke luar rumah.
                                                            *****
SAMPAI saja di masjid berhampiran rumah, ibu membawa aku ke bahagian perempuan. Memandangkan azan isyak baru saja selesai berkumandang, aku mengikut ibu menunaikan sembahyang isyak.
            Usai menunaikan sembahyang isyak, kami duduk sebentar sementara menanti imam masjid memulakan sembahyang tarawih. Beberapa minit kemudian, imam masjid mula meminta para jemaah bangun untuk menunaikan sembahyang terawih. Aku hanya mengikut saja apa yang ibu lakukan. Sesekali aku turut membaca surah yang pernah aku hafal.
            Selesai saja mengerjakan sembahyang terawih dan bersalaman dengan jemaah lain,  ibu mengajak aku pulang. Keluar sahaja di pintu pagar, ayah dan Along sudah sedia menanti dan kami berjalan beriringan menuju ke rumah.
            “Macam mana sembahyang terawih tadi, seronok tak?” soal ayah kepadaku.
            “Seronok… esok Mia nak pergi lagi boleh tak, ayah?” Mana tak seronok, beberapa orang kawan tadika aku pun ada sekali dalam masjid.
            “Boleh… bukan setakat esok je, hari-hari ayah dengan ibu boleh bawak Mia,” jawab ayah.
            “Yeay...
                                                            *****
IBU masuk ke bilik aku ketika aku dah bersedia nak tidur.
“Mia, umur Mia dah berapa tahun?” Ibu mengelus-ngelus kepalaku.
            “6 tahun…”
            “Dah besar pun anak ibu ni. Esok ibu nak Mia puasa.”
            “Puasa tu apa, bu?” tanyaku sambil mengerut dahi.
            “Puasa tu maksudnya menahan diri dari makan dan minum, dari terbit fajar hingga terbenam matahari.”
            Makin berkerut dahi aku.
“Tak fahamlah, ibu.”
            “Macam ni, setiap kali tiba bulan ramadan, seluruh umat islam wajib berpuasa. Kita tak dibenarkan makan atau minum dari siang sampai malam. Bila masuk azan maghrib barulah kita dibenarkan makan.” Ibu cuba menjelaskan dalam bahasa yang mudah untuk aku faham.
            “Boleh matilah kalau macam tu.”
            Ibu tergelak.
“Kenapa pulak boleh mati?” 
            “Ibu cakap tak boleh makan dari siang sampai malam. Kalau tak makan, kan boleh mati.”
            “Mia... Mia... belum ada lagi orang yang mati sebab berpuasa ni tau. Sebelum subuh, kita akan bersahur dulu. Bersahur ni pun ada kelebihannya tau, Mia.”
            “Apa kelebihannya, ibu?” Aku bangkit dari pembaringan. Rasa teruja mahu mendengar cerita ibu.
            “Kelebihan dia, dapat memberi kekuatan kepada orang yang berpuasa pada siang hari, kita akan mendapat pahala dan kita juga akan memperolehi berkat yang diturunkan pada sepanjang hari kita melaksanakan ibadat puasa.”
            “Kalau macam tu, Mia nak puasalah, ibu.”
            Ibu tersenyum.
“Memandangkan Mia baru nak belajar berpuasa, ibu benarkan Mia berpuasa separuh hari dulu.  Tahun depan, kalau dah boleh puasa penuh, baru Mia puasa penuh.”
            Aku hanya mengangguk.
            “Sekarang tidur. Esok nak sahur ibu kejutkan.”
            Aku membaringkan badan dan memejam mata.
            Selepas mengucup dahiku, ibu melangkah keluar dari bilik.
                                                            *****
“MIA… Mia, bangun nak…”
            “Mia mengantuklah, ibu.” Aku mengiringkan badan membelakangi ibu.
            “Mia kata nak puasa, kan? Kalau tak sahur, macam mana nak ada tenaga? bangun, nak…”
            Mataku terbuka luas. Pantas aku bangun menuruni katil lalu melangkah keluar bilik.
            “Eh, Mia nak ke mana tu?”
            “Nak bersahurlah, bu.” Aku menggeliat sepuasnya.
            “Kalau iya pun nak bersahur, basuhlah muka dulu.” Menggeleng kepala ibu melihat gelagat aku.
            “Eh, lupa pulakhehehe…” Aku melangkah ke bilik air membasuh muka dan menggosok gigi. Selesai menggosok gigi, aku menuruti ibu ke ruang tamu. Ayah dan Along sudah sedia menanti.
            “Along, baca niat puasa,” arah ayah.
            Along mula membaca niat puasa, sementara aku pula cuba merakam dalam kepala apa yang Along bacakan. Usai berniat, kami mula makan.
            “Along, kalau tahun ni Along puasa penuh, ibu akan bagi lima puluh ringgit. Boleh Along puasa penuh?” Ibu bersuara.
            “Kalau setakat puasa penuh, tak ada hallah, ibu. Along kan lelaki, mesti kuat punya. Lagipun, buat malu je umur dah 12 tahun tak puasa penuh. Janji eh bagi lima puluh ringgit kalau Along berjaya puasa penuh?”
            “Ibu janji…”
            “Mia pun nak puasa penuh jugaklah, nanti boleh dapat duit!” Mana adil kalau Along je yang dapat, aku pun nak jugak!
            “Mia kan kecik lagi, tahun depan barulah Mia puasa penuh.” pujuk ibu.
            “Tak nak! Mia nak puasa penuh jugak. Nanti Mia tak dapat duit macam Along.” Aku memprotes.
            Ayah, ibu dan Along ketawa mendengar rengekanku.
“Betul Mia nak puasa penuh ni?” soal ayah meminta kepastian.
            Aku mengangguk laju.
            “Kalau macam tu, ayah tambah lagi lima puluh ringgit. Tapi kalau sehari tak puasa, duit yang ayah dengan ibu janjikan tu dikira batal!” kata ayah.
            “Yeay… mesti banyak duit Mia nanti. Boleh beli anak patung baru!” Dalam kepalaku sudah terbayang segala macam permainan yang aku nak beli.
                                                            *****
“OKEY, murid-murid... siapa yang puasa hari ni sila angkat tangan.” Cikgu tadika aku, Cikgu Norlia pandang satu persatu wajah murid di dalam kelas.
            Aku dengan bangganya mengangkat tangan ke atas. Kemudian aku melihat sekeliling untuk melihat siapa lagi yang berpuasa. Aik, aku sorang je ke yang puasa?
            “Mia sorang je yang berpuasa hari ni, ya? Mia, mari duduk bawah ni. Mia main lego kat sini ya, kawan-kawan lain nak makan.” Cikgu Norlia menggamitku.
            “Cikgu, kalau Mia duduk je kat tempat Mia ni boleh tak? Mia nak tengok kawan-kawan makan.” Malas aku nak main sorang-sorang. Mesti bosan.
            “Tak boleh, sayang. Kalau Mia rasa lapar nanti macam mana? Mia duduk kat bawah ni, nanti lepas makan kawan-kawan pun main sekali dengan Mia,” pujuk Cikgu Norlia lagi.
            Aku bangkit, melangkah ke depan lalu duduk di atas lantai yang berlapikkan tikar.
            Cikgu Norlia dan Cikgu Jannah menghidangkan nasi lemak di atas meja kawan-kawan. Bau nasi lemak memang membuatkan perut aku berbunyi tapi aku tahan seboleh mungkin. Kalau tak, tak dapatlah duit seratus ringgit yang ayah dengan ibu janjikan tu.
            “Cikgu…” Aku memanggil Cikgu Jannah yang lalu di hadapanku.
            Cikgu Jannah yang sedang menatang dulang berisi air anggur memandang aku.
“Ada apa, Mia?”
“Cikgu dengan Cikgu Norlia tak puasa ke?”
            “Puasa. Kenapa Mia tanya macam tu?” soal Cikgu Jannah pelik.
            “Tadi masa Cikgu Norlia tanya siapa yang puasa kena angkat tangan, cikgu dengan Cikgu Norlia tak angkat tangan pun?”
            Cikgu Jannah ketawa.
“Tadi kan Cikgu Norlia tanya kat murid-murid je. Maknanya cikgu tak termasuklah. Dahlah, main lego tu ya.” Cikgu Jannah berlalu menghidangkan minuman pula di atas meja kawan-kawanku.
            Aku menyambung semula membina istana lego. Beberapa minit kemudian, Laila, Anisa dan Lily menyertaiku bermain.
“Dah habis makan ke?” Aku tanya mereka bertiga.
            “Dah,” jawab mereka bertiga serentak.
            “Sedap nasi lemak tadi. Rugi kau tak makan, Mia," kata Anisa.
            “Aku puasalah, mana boleh makan. Nanti Tuhan marah.”
            “Kita kan kecik lagi. Mak aku cakap, tunggu aku besar baru boleh puasa,” kata Lily pula.
            “Ayah dengan ibu aku nak bagi seratus ringgit tau kalau aku puasa penuh.” Teruja aku bercerita.
            “Betul ke?” Mata Anisa sudah terbeliak.
            “Betullah… sebab tulah aku nak puasa penuh. Kalau tak puasa penuh tak dapatlah duit tu.”
            “Kalau kita puasa jugak, dapat tak duit?” Laila pula teruja.
            “Dapat. Nanti mintaklah kat mak kau.” Tangan aku masih bermain dengan lego. Kali ini aku cuba membina tangga pula.
            “Laila nak puasalah esok!”
            “Lily pun!”
            “Nisa pun nak puasa jugak!”
                                                            *****
“SEMUA murid beratur di depan sekarang. Kita dah nak balik ni,” arah Cikgu Jannah.
            Kami semua bangkit dari kerusi sambil menggalas beg sekolah lalu mula beratur memanjang di hadapan pintu keluar.
            “Angkat tangan dan letak kat atas bahu kawan,” arah Cikgu Jannah lagi.
            Kami menurut. Barisan kami luruskan.
            “Aidil, mulakan,” arah Cikgu Norlia pula.
            “Terima kasih, cikgu!” jerit Aidil selaku ketua.
            Kami turut mengikut kata-kata Aidil.
            “Sekarang boleh nyanyi. Satu, dua, tiga, nyanyi!” arah Cikgu Norlia.
            Dengan bersemangat, kami mula menyanyi.

            Selamat pulang, selamat pulang
            Kepada cikgu, kepada kawan
            kami nak pulang, kami nak pulang
            Esok jumpa lagi

            Usai menyanyi, seorang demi seorang menyalami tangan Cikgu Norlia dan Cikgu Jannah lalu melangkah pulang ke rumah masing-masing. Tiada sesiapa yang datang menjemput aku sebab jarak rumah aku dengan sekolah selang tiga buah rumah saja. Ayah dan ibu pula kerja, manakala Along pula bersekolah.
                                                            *****
SAMPAI saja di hadapan rumah, aku melangkah ke rumah jiran sebelah untuk meminta kunci rumah. Ibu memang menyerahkan kunci rumah kepada jiranku untuk memudahkan aku masuk ke dalam rumah.
            “Assalamualaikum...” Aku memberi salam.
            Beberapa saat menunggu, pintu rumah dibuka oleh Mak Cik Arfah.
“Waalaikumussalam. Kejap ya, Mia.” Mak Cik Arfah berlalu semula ke dalam untuk mengambil kunci. Kemudian dia keluar semula.
“Tak nak masuk dulu ke? Makan dulu,” pelawa Mak Cik Arfah. Memang sudah menjadi kebiasaanku untuk makan dahulu di rumah Mak Cik Arfah sementara tunggu ibu dan ayah balik kerja.
            “Mia puasa hari ni.” Aku tayang sengih lebar.
            “Oh, dah puasa, ya? Baguslah, kecik-kecik dah diajar berpuasa.” Mak Cik Arfah mengusap kepalaku. Dia memimpin tanganku ke pagar rumahku, membukakan kunci pagar lantas membuka pintu rumahku. Sebaik saja aku selamat masuk ke rumah baru dia melangkah ke rumahnya semula.
            Aku meletakkan beg di atas lantai lalu merebahkan diri di atas sofa. Hari pertama puasa dah letih. Lemah segala sendi dengan perut yang berbunyi lagi. Baru saja nak melelapkan mata, pintu rumah terbuka. Aku mengalihkan mata ke pintu.
            Along melangkah masuk lalu menutup semula pintu rumah. Along duduk di sofa berhadapan denganku sambil merenungku yang sudah lembik.
“Tak tukar baju lagi ke?” soal along.
            “Kejap lagilah. Mia penat ni.” Aku bersuara lemah.
            “Lapar ke?”
            Aku mengangguk lemah. Mataku sudah tertutup sedikit.
            “Nak makan? Kalau nak, along boleh gorengkan telur.”
            “Tak nak, nanti tak dapat duit.”
            “Tak nak sudah. Along naik atas dulu. Baju sekolah tu jangan lupa tukar.”
                                                            *****
“MIA, bangun... kenapa tidur kat sini ni? Dengan baju sekolah tak bertukar.”
            Dengan lemah aku membuka mata.
“Ibu...” Aku pejam mata kembali.
            “Mia, bangun...” Ibu menepuk perlahan pipiku.
            “Hmm...” Itu saja yang mampu aku suarakan. Mata betul-betul dah tak boleh buka.
            “Pergi naik atas mandi, kejap lagi kita pergi bazar ramadan.”
            Sepantas kilat aku bangun. Hilang terus rasa mengantukku.
“Kita nak pergi bazar ramadan ke ibu?” tanya aku teruja.
            “Amboi, sebut bazar ramadan je terus segar ya? Pergi mandi dulu.”
            Aku bangkit dari sofa, mengangkat beg lalu naik ke bilikku. Selesai mandi dan berpakaian aku turun semula ke bawah mencari ibu. Langkah kaki dibawa ke dapur apabila terdengar bunyi bising di situ. Aku pandang ibu yang tengah memasak.
 “Ibu cakap nak pergi bazar ramadan?”
            “Lepas ibu habis masak kita pergi. Mia pergilah tengok tv dulu.”
            Aku melangkah ke ruang tamu. Televisyen kubuka, rancangan kartun aku cari. Aku menonton sambil menunggu ibu menyudahkan kerjanya.
            “Jom, Mia,” ajak ibu setelah setengah jam aku menunggu.
            Aku mematikan televisyen dan mendapatkan ibu.
            “Along... ooo, along.” Ibu jerit dari bawah tangga.
            “Ya, ibu?” Along muncul di tangga teratas dan menjengukkan mukanya ke bawah.
            “Ibu dengan Mia nak pergi bazar ni. Nak ikut tak?”
            “Tak naklah, ibu. Nanti tolong belikan Along kebab ayam eh.”
            “Yalah, nanti ibu belikan. Duduk rumah elok-elok, tunggu ayah balik tau.” Usai memberi pesanan, ibu menarik tanganku.
                                                            *****
“RAMAINYA orang, ibu.” Aku terkejut melihat bazar ramadan yang sesak dengan orang ramai.
            “Memanglah ramai, kan bulan puasa. Mia jangan lepaskan tangan ibu tau, takut hilang pulak.” Ibu memimpin tanganku, membawa aku masuk di celah-celah orang ramai. Sesekali aku menjeling juadah yang dijual. Bau makanan di situ cukup membuatkan perut aku berbunyi.
            Ibu berhenti di gerai yang menjual kebab untuk membeli kebab yang dipesan oleh along. Usai membuat pembayaran, ibu membawaku ke gerai menjual minuman pula. Selesai membeli juadah berbuka, ibu mengajakku balik. Ketika dalam perjalanan pulang, kami terserempak dengan Mak Cik Kiah, penjual kuih raya di kawasan perumahanku.
            “Assalamualaikum, Min...” Mak Cik Kiah dan ibu bersalaman.
            “Waalaikumussalam, Kak Kiah. Banyak beli lauk berbuka...” Mata ibu menatap pada tangan kiri Mak Cik Kiah yang penuh dengan beg plastik.
            “Ni bukan lauk berbuka tapi sample kuih raya. Nah, ambil satu bekas ni. Macam biasa, kalau ada yang minat, Min call akak ya.” Mak Cik Kiah sambil menghulurkan plastik yang berisi kuih raya.
            “Okey, kak.” Ibu menyambut huluran plastik itu lalu diberikan padaku.
            “Mia ni pucat je, sakit ke?” Mak Cik Kiah mencuit pipi aku.
            “Mia puasa,” jawabku sambil tersenyum bangga.
            “Baguslah macam tu. Nanti bila dah besar, tak ada la liat nak puasa,” kata Mak Cik Kiah.
            “Ayah dengan ibu janji nak bagi seratus ringgit kalau puasa penuh,” ceritaku.
            Ibu memeluk bahuku.
“Budak-budak, kak... nak ajar puasa kena bagi benda yang dia suka.”
            “Betullah tu. Syafiq dulu masa baya Mia bukan main liat lagi nak diajak berpuasa. Macam-macam alasan yang dia bagi. Sakit perutlah, apalah. Bila akak pancing dengan lauk yang dia suka, barulah dia setuju nak puasa. Eh, okeylah, Min... ada banyak lagi sample yang akak kena edarkan ni. Akak jalan dululah ya.” Mak Cik Kiah meminta diri.
            Ibu mengangguk dan memimpin tanganku meneruskan perjalanan.
                                                            *****
“MIA... Mia...” Pintu rumahku diketuk berkali-kali disertai dengan panggilan namaku pada petang itu.
            Aku yang sedang menonton televisyen di ruang tamu bangkit membuka pintu. Sebaik saja pintu rumah kukuak luas, Lily, Laila dan Anisa tersengih memandang aku.
            “Mia, jom kita main kat taman nak?” ajak Anisa.
            “Kejap eh, aku nak bagitahu along dulu.” Aku menaiki tangga. Sampai saja depan bilik along, aku mula mengetuk. Ketukan pertama tak berhasil, aku mengetuk lagi kuat. Apabila masih tiada reaksi dari along, aku mula memanggil namanya.
“Along, cepat bukak pintu! Along, cepatlah!”
            Pintu bilik dibuka dari dalam.
“Nak apa ni, Mia? Kacaulah, along nak tidur ni.” Along sambil menguap kemudian bersandar di muka pintu dengan mata yang sedikit tertutup.
            “Mia nak pergi taman dengan Lily, Laila dan Nisa, boleh?” Aku meminta keizinan along untuk keluar.
            “Mia kan puasa? Nanti dahaga siapa yang susah? Mia jugak... berbuka lambat lagi...” Along menggaru lehernya.
            “Alah, along. Mia janji Mia duduk je kat taman tu. Bolehlah, along.” Aku menggoncang tangan along.
            “Suka hati Mia la. Jangan balik lambat-lambat, jangan main jauh-jauh tau.” Along menutup semula pintu biliknya.
            “Yeay!!!” Laju aku turun tangga mendapatkan Laila, Lily dan Anisa. Selepas menutup pintu, kami berjalan menuju ke taman yang berhampiran dengan kawasan perumahan.
                                                            *****
SAMPAI saja di taman, ramai yang sedang bermain. Aku mengajak Laila, Lily dan Anisa duduk di papan longsor.
            “Kita nak main apa ni?” soal Anisa.
            “Kita main kejar-kejar nak?” Lily memberi cadangan.
            “Tak naklah nanti dahaga. Kita duduk kat sini jelah tengok orang main.” Aku menongkat dagu melihat budak-budak lain bermain dengan cerianya. Sedang kami leka memerhati kanak-kanak lain bermain, Devi dan Mei Ling muncul di hadapan kami dengan aiskrim di tangan. Terliur pula aku tengok aiskrim coklat itu. Dahlah nampak sedap!
            “Kamu semua tak mahu main ke?” soal Mei Ling sambil menjilat aiskrim yang sudah meleleh di tangannya
            “Tak naklah, kami puasa.” Laila menjawab bagi pihak kami.
            “Buat apa mahu puasa kamu budak kecik lagi maa...” Mei Ling menjilat-jilat aiskrim yang mula mencair..
            “Ayah aku cakap kalau aku puasa penuh ayah nak bagi seratus ringgit.” Aku memberitahu. Seperti yang kujangkakan, Devi dan Mei Ling terkejut mendengarnya. Aku tersengih bangga.
            “Wah, itu macam ka? Banyak seronok woo... Kalau saya dapat itu duit, saya beli aiskrim banyak-banyak...” Mei Ling sudah teruja.
            “Kalau saya ha, saya mahu beli itu mercun. Hari raya ada jual banyak mercun boleh main puas-puas sama itu bunga api. Ayoyo, banyak seronoklah.” Devi sudah berangan.
            “Mama aku cakap tak elok main mercun. Kalau putus jari tak boleh beraya tau.” Lily memberi nasihat.
            “Kalau saya puasa, saya dapat duit jugak tak macam awak, Mia?” tanya Devi.
            “Dapat... mama Nisa cakap, dia akan bagi seringgit setiap hari kalau Nisa puasa dari siang sampai malam. Kalau separuh hari, mama bagi lima puluh sen je.” Anisa pula menyampuk.
            “Kalau macam tu saya mahu puasa jugaklah esok. Mesti amma dengan appa bagi duit sama saya,” kata Devi sambil menghabiskan aiskrimnya.
                                                            *****
PETANG ahad yang membosankan. Selalunya, setiap petang ahad ayah akan membawa kami sekeluarga pergi berkelah. Memandangkan sekarang bulan puasa, terpaksalah kami terperap di dalam rumah.
            Ting tong!!!
            Loceng rumah berbunyi ketika kami sekeluarga sedang bersantai menonton televisyen. Ibu bangkit menyelak langsir tingkap melihat gerangan yang menekan loceng tadi.
            “Siapa, Min?” tanya ayah.
            “Nampak macam Saraswathy.” Tanpa berlengah ibu membuka pintu melangkah mendapatkan Auntie Saras.
            Aku mengekori ibu dari belakang.
            “Ayoyo, Mia... pasal apa buat anak auntie itu macam?” tanya Auntie Saras sebaik saja ibu membuka pintu pagar utama.
            “Kenapa ni, Saras?” soal ibu pelik.
            “Awak mahu tahu apa dia sudah buat? Anak saya Devi dari pagi tak mahu makan. Tengah hari tadi dia muntah-muntah. Saya tanya sebab apa tak mahu makan? Apa yang dia merajukkan? Dia cakap Mia suruh dia puasa. Kalau dia puasa saya akan kasi duit macam awak mahu kasi pada Mia,” terang Auntie Saras. Kemudian, dia menarik nafas. Mungkin penat bercakap tanpa henti.
            “Betul ke Mia suruh Devi puasa?” Lembut suara ibu bertanya padaku.
            “Mia tak suruh Devi puasa. Mia cuma kata ayah dengan ibu nak bagi seratus ringgit kalau Mia puasa penuh. Lepas tu Devi pun nak puasa jugak sebab dia nak auntie bagi dia duit.” Aku jawab bersahaja.
            Ibu merendahkan badan setara dengan ketinggianku.
“Mia, Devi agama lain. Perayaan dia tak sama macam kita. Kita Raya Aidilfitri, dia Deepavali. Lain kali jangan buat macam ni lagi tau,” nasihat ibu.
            Aku mengangguk.
            “Sekarang mintak maaf kat auntie,” arah ibu.
            Aku menghulurkan tangan kepada Auntie Saras.
“Mia mintak maaf, auntie.”
            Auntie Saras menggosok kepalaku.
“Okeylah, Min... saya balik dulu. Mahu bagi Devi makan. Tadi dia tidur, lembik sangat badan dia.”
            “Yalah, jalan baik-baik.” Ibu menutup semula pintu pagar dan mengajakku masuk ke dalam rumah.
                                                            *****
TAMAT saja waktu persekolahan, aku terus pulang ke rumah. Aku pelik melihat pintu rumah terbuka luas. Aku nampak kereta ibu dah ada kat garaj. Perlahan-lahan aku melangkah masuk dan terdengar suara ibu memarahi seseorang. Aku mengintai di balik pintu masuk. Kepala kujenggukkan sedikit ke dalam. Telinga aku buka seluas-luasnya.
            “Kenapa along tak puasa? Bukan ke masa mula-mula nak puasa tu along dah janji nak puasa penuh?!” Mencerun mata ibu memandang along.
            Aku terkejut. Along tak puasa? Aku tengok along menundukkan wajah ke lantai.
            “Along dahaga sangat lepas main bola tadi,” jawab along takut-takut.
            “Siapa suruh along main bola bulan-bulan puasa ni?”
            “Kawan along tak cukup orang sebab tu dia ajak along main sekali.”
            “Along ni dah besar tahu tak? Sepatutnya tahan sikit dahaga tu. Berpuasa menyuruh kita menahan lapar dan dahaga. Dalam kes along ni, nampak sangat along tak kuat iman. Mia yang kecik tu pun pandai tahan makan dengan minum tau! Buat malu je kalau Mia tahu,” leter ibu lagi.
            Acum!!!
            Tiba-tiba aku bersin. Along dan ibu memandang ke arah pintu masuk.
            “Hehehe...” Aku tersengih.
“Mia tak dengar apa-apa...” Sepantas kilat aku berlari menaiki tangga takut kena marah sebab mencuri dengar.
                                                            *****
AKU sudah tersandar di kerusi. Akhirnya siap juga kerja sekolah. Aku melangkah keluar dari bilik untuk menonton televisyen di ruang tamu.
            “Mia, mari tolong ibu kat dapur,” panggil ibu ketika aku sedang khusyuk menonton televisyen.
            “Mia tengah tengok kartunlah, bu.”
            “Tinggalkanlah tv tu sekejap. Mari tolong ibu, kejap lagi dah nak berbuka.”
            “Kejap lagilah, bu.” Aku masih lagi leka dengan rancangan kartun.
            “Orang perempuan tak baik malas-malas, nanti tak ada siapa nak.” Ibu sudah berdiri di hadapanku.
            “Mia kecik lagi, mana boleh kahwin. Apalah ibu ni.”
            “Kecik-kecik macam nilah kena belajar buat kerja dapur. Bila dah besar nanti senang tak payah asyik nak makan kat luar je. Jom tolong ibu.” Ibu mengambil alat kawalan jauh lalu mematikan televisyen. Kemudian tanganku ditarik.
            Dengan malasnya, aku mengekori ibu ke dapur. Ibu memintaku mengopek ikan bilis sementara ibu memasak lauk lain.
            Selesai memasak, aku menolong ibu menghidangkan di atas meja di ruang tamu.
            “Mia pergi panggil ayah dengan along turun. Lagi beberapa minit aje nak berbuka.”
            Aku berlari menaiki tangga lalu mengetuk pintu bilik ayah.
            “Masuk jelah, pintu tak kunci,” kata ayah dari dalam.
            Aku memulas tombol pintu.
“Ayah, ibu panggil turun.”
            “Kejap lagi ayah turun. Ayah nak baca surah ni dulu, sikit je lagi.” Ayah menyambung semula membaca al-Quran.
            “Okey, ayah...” Aku menutup pintu bilik ayah semula lalu melangkah ke bilik along. Pintu bilik along aku ketuk.
“Ibu suruh turun,” kataku sebaik saja along membuka pintu. Kemudian aku berpusing mahu turun kebawah, diikuti Along. Sebaik sampai di meja makan, aku dan Along duduk di kerusi.
            Ibu keluar dari dapur sambil menatang satu jag air sarsi lalu diletakkan di atas meja.
“Along tak boleh makan kat sini. Along kan tak puasa, kenalah makan jauh sikit. Pergi duduk kat sofa sana,” arah ibu. Nadanya sedikit marah.
            Perlahan-lahan along mencedok nasi dan lauk ke dalam pinggan serta menuang air ke dalam gelas. Kemudian dia melangkah ke sofa.
            Beberapa minit kemudian ayah turun lalu melabuhkan punggung di kepala meja.
“Along, mari duduk sini. Kejap lagi nak berbuka,” panggil ayah.
            “Biarkan dia, bang. Orang tak puasa mana boleh duduk semeja dengan kita.”
            “Dia tak puasa? Mana Min tahu?” Ayah terkejut.
            “Siang tadi guru besar call Min suruh datang sekolah. Sampai je kat bilik guru besar, Min nampak dia dengan kawan-kawan dia kat dalam. Guru besar cakap along dan kawan-kawan dia ditangkap masa tengah minum air kat belakang makmal,” terang ibu.
            “Astaghfirullahalazim... apa nak jadi dengan kamu ni, along?!” Suara ayah sudah meninggi.
            “Min dah marahkan dia. Nampaknya kita kena tarik baliklah seratus ringgit yang kita dah janjikan dulu,” kata ibu.
            Aku sudah terkejut.
            “Tapi ibu, satu hari je pun along tak puasa.” Along tidak puas hati.
            “Satu hari pun dikira tak penuh jugak. Ibu tetap akan tarik balik,” kata ibu tegas.
            Muka along bertukar muram.
            “Mia dapat kan, ibu?” Takut juga kalau aku pun tak dapat.
            Ibu dan ayah memandangku.
“Mia mestilah dapat sebab Mia belum pernah tinggal puasa lagi,” kata ibu sambil tersenyum.
            Lega aku dengarnya sambil tersengih jahat memandang along yang jeling tak puas hati. Tulah, siapa suruh tak puasa.
            “Dah azan dah tu. Mia, baca doa,” arah ayah sebaik saja mendengar laungan azan maghrib.
                                                            *****
SEDAR tak sedar sudah hampir sebulan aku berpuasa. Lagi beberapa hari seluruh umat islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Aku dan keluarga sudah berada di kampung halaman ketika ini. Kata ibu, beraya di kampung lebih meriah berbanding beraya di bandar kerana ramai sanak saudara ada di sini.
Kata along pula, beraya kat kampung banyak dapat duit raya. Aku tak kisah beraya di mana saja asalkan dapat makan dan kumpul duit raya!
            Aku bangkit dari katil apabila terdengar suara orang bercakap di bawah rumah atuk. Aku berdiri di hadapan tingkap dengan mahu melihat gerangan yang sedang bercakap namun ketinggianku yang tak berapa tinggi tak membolehkan aku untuk melihat ke bawah.
Aku pandang sekeliling bilik atuk. Mata terhenti pada bangku di meja solek. Aku mengangkat bangku itu dan bawa ke depan tingkap. Kemudian aku panjat bangku dan menjengukkan kepala ke bawah. Aku lihat along dan kawan-kawannya, Abang Zali dan Abang Kamal sedang berbincang sesuatu. Lain macam sangat kalau bersembang pun kat tempat tak ada orang macam ni.
            “Jadi tak plan kita esok?” tanya along.
            “Jadi. Mercun aku dah siap beli semalam, tinggal nak bakar je,” jawab Abang Zali.
            “Mercun apa yang kau beli?” tanya along lagi.
            “Aku beli mercun mancis, mercun naga, mercun papan, pop-pop pun ada.”
            “Hek eleh... pop-pop pun kau beli? Tak mencabar langsunglah mercun yang kau beli ni, Li. Yang aku beli lagi gempak!” sampuk Abang Kamal.
            “Apa dia?” tanya along tidak sabar.
            “Aku beli mercun das, mercun lalat, mercun rocket, mercun mancis. Barulah best sikit,” ujar Abang Kamal dengan bangganya.
            “Along nak main mercun ke? Jangan main nanti ibu marah. Ibu cakap bahaya main mercun. Nanti jari putus,” sampukku dari tingkap bilik.
            Along, Abang Kamal dan Abang Zali mendongakkan kepala ke atas.
“Alamak, kantoi! Bila masa pulak budak kecik ni ada kat situ, Syah?” tanya Abang Zali.
            “Yang ibu cakap tu untuk Mia je sebab Mia budak kecik, tak pandai main mercun. Along dah besar, pandai jaga diri. Dahlah, masuk dalam. Tak payah nak terintai-intai orang lelaki nak bercakap.” Along menghalauku.
            “Mia bagitahu ibu yang along nak main mercun...” Aku turun dari bangku.
            “Eh, Mia... jangan! Mia!”
            Aku tak pedulikan panggilan along, terus melangkah ke dapur mencari ibu.
“Ibu...” Perlahan-lahan aku menuruni tangga yang diperbuat daripada papan itu.
            “Ya, sayang? Nak apa ni? Mia nak berbuka ke? Tinggal dua hari je nak habis puasa. Tahan sikit ya?” Ibu mengusap bahuku.
            “Bukan... bukan...” Aku menyangkal sambil tangan dilarikan ke kiri dan kanan.
            “Habis tu?”
            “Tadi Mia dengar along dengan kawan dia cakap esok nak main mercun.”
            “Apa? Nak main mercun? Pergi panggil along kejap.” Suara ibu bertukar garang.
            “Aku berlari ke luar rumah.
“Along, ibu panggil,” kataku sebaik saja sampai di belakang along.
            “Kecohlah, Mia ni. Hesy!” Along menyekeh kepalaku.
            Aku menjelirkan lidah lalu mengekori along dari belakang.
            “Betul ke apa yang Mia cakap?” tanya ibu sebaik saja along sampai di dapur.
            “Mia cakap apa?” Along. pura-pura tak tahu.
            “Mia cakap along nak main mercun esok. Betul ke?” Ibu sudah bercekak pinggang.
            Along menganggukkan kepala.
            “Jangan nak mengada-ngada ya!”
            “Tapi Kamal dengan Zali dah beli, ibu. Rugilah tak dapat main sekali.”
            “Mercun tu bahaya tahu tak? Tak tengok ke kat dalam tv tu ramai yang cedera sebab benda alah tu? Along nak ke beraya kat hospital? Nak?” marah ibu.
            “Tak nak...” Along menggeleng kepala.
            “Kalau tak nak, dengar cakap ibu. Jangan main mercun, ya?”
            “Yalah.” Usai berjanji, along keluar semula mendapatkan kawan-kawannya. Sebelum itu, dia sempat memberiku satu jelingan yang paling tajam.
            Aku balas dengan menjelir lidah. Heh, tak takut pun!
                                                            *****
“IBU, along sakit perut,” ujarku kepada ibu yang sudah bersiap untuk ke surau.
            “Sakit perut? Eh, tadi elok je masa berbuka?” soal ibu pelik. Dia melangkah ke bilik yang dihuni along, diikuti oleh aku.
“Along, betul ke sakit perut ni?” soal ibu risau.
            “Sakit sangat ni, bu. Along ingat tak jadilah nak pergi surau hari ni. Boleh tak, bu?” tanya along  mengiringkan badannya menghadap ibu. Tangannya pula dilekatkan di atas perut.
            “Sakit kat mana ni?”
            “Kat ulu hati.” Along bersuara perlahan menahan sakit.
            “Kalau macam tu along duduk berehat kat rumah. Mia temankan along ya?” arah ibu.
            “Eh, tak payah, ibu. Biarlah Mia pergi, along boleh tinggal sorang-sorang.” Bersungguh along menolak.
            Aku tengok along nampak kalut. Macam ada sesuatu yang tak kena saja.
            “Betul ni tak nak Mia temankan?” tanya ibu lagi.
            Along mengangguk lemah.
            “Along rehat dulu ya. Mia, jom kita pergi surau.” Ibu menarik tanganku.
            Sebelum sampai ke pintu, aku menoleh ke belakang. Aku pelik tengok along senyum senang hati. Dah agak dah!
                                                            *****
“ASSALAMUALAIKUM...”
            Ada suara memberi salam ketika kami semua sedang berehat di ruang tamu. Ayah melangkah ke pintu.
“Waalaikumussalam. Eh, kenapa dengan along ni?” Terkejut ayah melihat along balik dipimpin Pak Cik Ali, salah seorang orang kampung sini. Dengan tangan kiri berbalut.
            “Tadi aku hantar Syahril ke hospital.”
            “Hospital? Rasanya tadi perut dia yang sakit, ni kenapa tangan pulak yang berbalut?” Ibu yang berdiri di sebelah ayah menyampuk.
            “Macam ni ceritanya. Masa aku nak balik rumah tadi Kamal panggil aku. Dia kata Syahril jatuh masa tengah main mercun kat tanah lapang. Doktor cakap tak serius pun, cuma terseliuh sikit.”
            Terjegil mata ibu mendengar cerita Pak Cik Ali. Aku nampak ibu menjeling tajam ke muka along.
            “Terima kasihlah, Abang Ali tolong hantarkan Syahril ke hospital. Berapa kos rawatan tadi?” Ayah menyeluk tangan ke poket baju Melayu mahu mengeluarkan dompet.
            “Tak apalah, sikit je. Aku mintak diri dululah ya.” pinta Pak Cik Ali.
            “Terima kasih sekali lagi, bang. Kalau tak ada abang tak tahulah macam mana anak saya ni.” Ayah bersalam dengan Pak Cik Ali.
            “Masuk!” Keras suara ibu memberi arahan pada along.
            Along masuk dengan wajah menunduk. Dia melabuhkan duduk di kerusi.
            “Kenapa along tipu ibu?” suara ibu masih lagi keras.
            “Along mintak maaf, ibu.” Air mata along mengalir.
            “Along dah janji dengan ibu semalam yang along tak akan main mercun, kan? Kenapa along degil sangat ni ha?!” marah ibu dengan suara yang masih perlahan.
            “Sudahlah, Min. Yang penting along tak apa-apa. Jangan marah-marah, lusa dah nak raya.” Ayah menggosok bahu ibu.
            Ibu mendengus.
“Nilah balasan untuk orang yang menipu! Esok mainlah lagi, biar tangan sebelah lagi pulak terseliuh.” Terus ibu melangkah ke bilik.
“Dah, along. Pergi masuk bilik.” Ayah mengarah.
“Ibu tak maafkan along lagi, ayah.” Along mengesat air mata.
“Sekejap je tu ibu marah. Nanti okeylah. Jom, Mia masuk bilik, tidur.” Ayah memimpin tangan aku membawa ke bilik.
                                                            *****
TAKBIR raya bergema. Hari ini, bermula satu syawal. Selepas balik dari sembahyang sunat hari raya, keluarga kami berkumpul di ruang tamu untuk sesi bermaaf-maafan. Aku berdiri di belakang along, memerhatikan cara along memohon maaf.
            Along melutut di depan ayah sambil menghulurkan tangan kanannya yang tidak berbalut.
“Ayah, maafkan segala salah along.” Along menangis teresak-esak.
            “Yalah, ayah maafkan. Dah, pagi-pagi raya ni tak elok menangis.” Ayah menepuk belakang badan along.
            Along melangkah ke sebelah ayah lalu melutut di depan ibu pula.
“Ibu, along tahu along banyak buat silap. Along degil, along menipu ibu dan along mungkir janji. Along mintak maaf, ibu. Kali ni along janji yang along takkan menipu ibu lagi. Maafkan along ya, ibu?”
            Ibu tersenyum.
“Sudahlah, along... yang lepas tu biarlah lepas. Sempena hari raya ni ibu maafkan segala kesalahan along. Sakit tak tangan tu?” Ibu menyentuh perlahan tangan along yang berbalut.
            “Sikit je.” Along tersenyum.
            Ibu menyeluk poket baju kurungnya lalu menghulurkan angpau kepada along.
            “Ibu cakap tak jadi bagi sebab along tak puasa penuh?” soal along pelik. Lambat-lambat along menyambut huluran itu.
            “Ibu bergurau je. Takkanlah ibu tak nak bagi duit raya kat anak ibu ni. Tapi lain kali jangan sekali-kali nak tinggal puasa lagi tau.” Ibu memberi amaran.
            “Baik ibu.” Along bangkit.
            Tiba giliran aku pula untuk bersalaman dengan ayah.
“Selamat hari raya, ayah...” Hanya itu saja yang aku ucapkan. Yalah, budak-budak mana tahu nak ucap apa.
            “Selamat hari raya... ayah bangga dengan anak perempuan ayah ni. Tahun depan bolehlah puasa penuh lagi ya, Mia.”
            “Boleh. Tapi kalau Mia puasa penuh dapat duit lagi tak?” soalku lurus.
            Ahli keluargaku ketawa mendengar soalanku.
            “Dapat...” Ayah mencium kedua belah pipiku.
            Usai bersalaman dengan ayah, aku melutut di depan ibu pula.
“Selamat hari raya, ibu,” ucapku sambil mencium tangan ibu.
            “Selamat hari raya... anak ibu ni tak nak mintak maaf kat ibu ke?”
            “Mia ada buat salah macam along ke, ibu? Rasanya tak ada.” Berkerut dahi aku cuba mengingat. 
            “Takkan tak ingat kot?” Ibu mengangkat sebelah kening.
            “Mana ada.”
            “Kan Mia pernah suruh Devi puasa. Sampai muntah-muntah budak tu.” Ibu cuba mengingatkan aku kembali.
            “Tu salah Mia ke, ibu?” Aku mengerut dahi.
            “Salah Mia la sebab Mia yang beria-ia cerita pasal duit kalau puasa penuh.”
            “Mia mintak maaf ya, ibu? Nak duit raya...” Aku sudah menghulurkan tangan.
            “Amboi, tak sabar betul budak ni. Ibu belum maafkan lagi dah mintak duit raya.” Ibu menghulurkan angpau.
            Ahli keluargaku ketawa melihat telatahku.
            “Yeay... yeay... dapat duit raya...” Aku bersorak sambil terlompat-lompat kesukaan. Kemudian aku berlari mahu ke bilik.
            “Eh, nak ke mana tu?” tanya along.
            Aku berpaling.
“Nak simpan duit dalam tabung,” jawabku laju.
            “Dengan along pun tak salam lagi dah nak masuk bilik,” rungut along.
            Aku memuncung. Perlahan-lahan aku mengatur langkah ke arah along. Aku menghulurkan tangan untuk bersalam.
“Selamat hari raya...” Aku menggoncang kuat tangan along lalu berlari ke bilik.
            “Hesy, budak ni kan!” Hanya itu yang aku dengar. Mungkin tangan along terasa sakit dengan perbuatanku tadi.
                                                            *****
“MIA, jom masuk makan tengah hari.”
Panggilan ummi mengembalikan aku dari zaman lampau. Lama juga aku duduk di luar sampai tak sedar matahari sudah terik. Zaman kanak-kanak merupakan kenangan manis yang tak mungkin dapat aku lupakan.
            Aku mengekori ummi masuk ke rumah. Sampai saja di meja makan, aku melabuhkan duduk di sebelah uumi.
            Aku mencedokkan nasi ke dalam pinggan ummi dan walid. ummi dah penat masak takkan nak tunggu ummi cedokkan pulak kan. Hari ini kami hanya makan bertiga. Kak Ifa, Abang Nan dan Zarif tak balik makan tengah hari. Manakala Alif pula bersekolah.
            “Ummi, nanti Abang Rif balik kerja jangan bagitahu dia yang Mia ada kat bilik bawah tau,” pintaku.
            “Kenapa pulak?” tanya ummi pelik.
Walid turut melemparkan pandangan ke arahku.
            “Saja nak bagi kejutan kat Abang Rif.” Aku tersengih. Terbayang muka kalut Zarif mencariku nanti.
            “Yalah...”
            Selepas makan, aku mengangkat pinggan mangkuk untuk dicuci namun ummi menghalang. Ummi menyuruh aku menonton televisyen tapi aku tetap berkeras mahu mencuci. Rasa bersalah tak tolong ummi memasak tadi. Akhirnya ummi mengalah dengan syarat, aku hanya dibenarkan mencuci pinggan dan gelas yang aku gunakan saja. Aku hanya akur.
            Dari satu siaran ke satu siaran aku tukar namun tiada satu rancangan pun yang berjaya menarik minatku. Mata mula terasa berat dan aku menguap. Macam nilah rutin harianku. Makan, tengok tv, tidur. Perlahan aku bangkit melangkah ke bilik mahu merehatkan badan.
                                                            *****
AKU terjaga apabila terdengar bunyi bising. Perlahan-lahan aku bangkit dari katil melangkah ke pintu. Pintu bilik kukuak sedikit mengintai ke luar. Aku lihat Zarif mundar mandir di ruang tamu.
            “Ummi,” panggil Zarif.
            “Ada apa yang bising-bising ni, Rif?” Ummi muncul di ruang tamu dengan memakai telekung manakala walid pula dengan berkain pelekat dan berkopiah.
            “Mia, ummi... Mia dah hilang. Dia tak ada dalam bilik.” Zarif duduk di sofa sambil memicit kepalanya.
            “Rif dah cari betul-betul ke?” tanya ummi.
            “Dah... Rif dah cari tapi tak jumpa pun Mia. Mana dia pergi?” Zarif meramas rambutnya.
            “Rif cari kat mana?”
            “Kat balkoni. Dalam bilik air pun tak ada...” Zarif mengeluh.
            “Kat bilik tu Rif dah cari?” Walid menudingkan ibu jari ke arah bilik yang kuhuni sekarang.
            Aku mengecilkan lagi pintu bilik apabila terlihat Zarif merenung ke pintu bilik.
            “Takkan dia ada kat bilik tu kot sebab dia janji tak nak turun ke bawah.”
            “Cubalah cari dulu,” kata walid lagi.
            Aku menutup pintu perlahan apabila nampak Zarif bangun menghampiri bilik ini. Perlahan-lahan aku melangkah ke katil lalu duduk menunggu Zarif sampai ke bilik. Beberapa saat menunggu, pintu bilik terkuak. Aku memaniskan muka sebaik saja wajah Zarif berada di depan mata.
            “Ya Allah... kat sini rupanya Mia!” Zarif melabuhkan punggung di sebelahku. Dia meraup wajahnya.
“Sayang tahu tak abang risau cari sayang tak jumpa-jumpa? Kenapa turun? Kan sayang janji tak nak turun?” Wajahnya serius. Aku tahu dia sedang menahan marah tapi aku suka. Nampak sangat dia sayangkan aku.
            “Abang, Mia mintak maaf. Mia pindah bilik ni pun sebab tak nak menyusahkkan ummi. Kalau Mia pindah bilik bawah tak payahlah ummi asyik turun naik tangga hantar makanan je.” Aku mengulang jawapan yang kuberikan pada ummi tadi.
            “Mia tak ada buat kerja rumah, kan?” Zarif mengecilkan mata. Laki aku ni risau tak bertempat.
            “Tak ada...” Aku geleng. Macam mana nak buat kerja, bila aku nak tolong, ibu mentuanya menghalang.
            "Bagus. Okey, abang nak pergi mandi dulu." Zarif bangkit melangkah keluar mahu ke bilik atas. Barang-barangnya masih ada di bilik atas.
                                                            *****
PERUTKU terasa memulas. Aku memanjangkan tangan membuka lampu tidur. Terasa ada sesuatu yang basah di kainku. Perlahan-lahan aku bangkit dari katil. Air ketuban dah pecah ke?
Aku melangkah ke tempat beg pakaianku diletakkan lalu mengeluar baju dan tudung. Aku menahan rasa mencucuk pada perut lalu melangkah ke bilik mandi untuk menukar pakaian. Selesai menukar pakaian, aku mengejutkan Zarif, ingin meminta dia membawaku ke hospital. Aku dapat merasakan sudah tiba masanya untuk aku melahirkan.
“Abang... bangun, bang...” Aku menggerakkan tubuhnya.
            “Dah nak sahur dah ke? Kejap lagilah abang bangun.” Zarif mengiring tubuh membelakangiku.
            “Abang, bangunlah... Mia rasa dah sampai masa ni...” Aku menggerakkan badannya lagi.
            “Belum lagi tu. Imsak lama lagi. Sayang tidurlah dulu nanti ummi kejutkan.” Zarif berkata dengan mata terpejam.
            “Abang, ni bukan pasal sahur tapi perut Mia ni sakit sangat!” Sedikit keras suaraku sambil menahan sakit di perut yang kerap datang setiap lima minit.
            “Hah, dah nak bersalin ke? Ya Allah, kenapa Mia tak cakap awal-awal? Jom kita ke hospital!” Dia menarik tanganku.
“Ummi! Walid! Abang Nan! Kak Ifa! Mia nak bersalin ni!” jerit Zarif ketika kami berada di ruang tamu.
            Pintu bilik ummi dan Kak Ifa segera terbuka sebaik saja mendengar jeritan Zarif yang kuat. Ummi, walid, Kak Ifa dan Abang Nan segera turun mendapatkan aku.
            “Mia dah nak bersalin?” tanya ummi risau.
            “Mia rasa macam nak bersalin sebab perut ni sakit sangat. Aduh!” Perutku terasa memulas lagi. Tangan kananku sudah memegang pinggang.
            “Cepat, ummi... kita ke hospital sekarang,” ajak Zarif.
            “Takkan kamu nak pergi hospital pakai macam tu, Rif?” kata walid.
            Aku dan Zarif memandang pakaian yang dipakai Zarif. Zarif terkejut manakala aku pula sudah tergelak melihat dia memakai kain pelekat dan t-shirt pagoda.
“Mia tunggu kejap, abang nak tukar baju.” Zarif memasuki bilik untuk menukar pakaian.
            “Ummi pun nak tukar baju kejap.” Ummi dan walid turut masuk ke bilik.
            Setelah semua selesai menukar pakaian, Zarif memimpinku masuk ke dalam kereta. Kak Ifa dan Abang Nan pula akan menyusul nanti kerana anak mereka masih tidur.
                                                            *****
“ADUH! Sakitnya, bang!” jeritku ketika berada di bilik bersalin. Wajahku sudah dibasahi peluh. Aku menggenggam kuat tangan Zarif.
            “Sabar, sayang. Sekejap je lagi baby kita akan lahir.” Zarif memberiku kekuatan.
            “Puan, tarik nafas perlahan-lahan. Kalau saya kata push, puan push ya.” ujar doktor.
            Perlahan-lahan aku menarik nafas, cuba mengikut arahan doktor. Kesakitanku sedikit berkurang dengan berbuat begitu.
            “Okey, puan... push!” arah doktor.
            Aku menarik nafas lalu meneran.
Arrgghh!!” Terasa sedikit lelah.
            “Tarik nafas...”
            Aku mengikut arahan doktor.
            “Push!
            “Arrrggghhh!!” Sekali lagi aku meneran.
            “Sikit je lagi, puan... kepala dah nampak!”
            Aku menarik nafas dan menahannya.
            “Push!
            Dengan sekuat tenaga aku meneran.
“Allahu akbar! Arrgghh!” Aku menarik nafas lemah sebaik saja mendengar suara tangisan bayi.
            “Tahniah, encik dapat anak lelaki.” Doktor memberikan bayiku kepada jururawat untuk dibersihkan dan ditimbang. Selepas itu bayi itu diserahkan pada Zarif.
            Zarif menyambut lalu mula mengazankan bayi kami. Selesai mengazankan, Zarif menunjukkan bayi itu kepadaku.
            Aku mengucup pipi dan dahi bayiku.
            Zarif menggenggam tanganku.
“Sayang, terima kasih kerana sudi melahirkan anak abang. Rupanya dia pun nak sambut puasa dengan mama dan papa dia.” Zarif mengucup tanganku.
            Aku tersenyum lemah. Terima kasih, Ya Allah. Terima kasih permudahkan segala-galanya. Hari ini tepat pukul 4 pagi aku selamat melahirkan seorang bayi lelaki seberat 3.05 kilogram.
Pada pertama ramadan aku sudah bergelar seorang ibu dan ini merupakan pertama kali aku menyambut puasa sebagai isteri kepada Syed Zarif Uwais. Semoga ramadhan kali ini lebih bermakna dengan kehadiran anak kami. Amin...

~TAMAT~



p/s: Pertama kali guna POV1... Susah jugak nak buat cerita guna POV1 ni... rasa macam kurang idea... huhuhu